Malam tadi nekcun dengan atok pergi ke pasaraya yang berhampiran rumah kami untuk membeli sedikit barang-barang dapur untuk keperluan bulan Ramadhan kelak. Nekcun tak mahu pergi pada hujung minggu kerana selalunya pasaraya akan penuh sesak pada hujung minggu, sehingga nak menolak troli pun tak muat.
Sebenarnya nekcun tak beli banyak barang pun. Hanya beberapa barang-barang harian seperti susu, gula, tepung dan bahan-bahan minuman untuk berbuka puasa kelak.
Ketika nekcun menghampiri tempat gula pasir, nekcun dapati tidak ada banyak bungkusan gula seperti selalunya. Dah tu, ada pula kertas notis diletakkan di situ: “setiap pembeli hanya dibenarkan 5 kilo sahaja”. Nekcun pun agak terkejut juga kerana sebelum ini tidaklah ada had sebegitu untuk membeli gula. Namun, itu tidak memberi masaalah pada nekcun kerana keluarga kami memang tidak banyak menggunakan gula (kerana nekcun memang dah manis!…. bukan diabetes ya!… hehehe… perasanlah pulak!) demi menjaga kesihatan sekeluarga.
Bagaimanapun nekcun ambil jugalah 2 kilo sahaja kerana dalam bulan puasa ni kekadang tu guna juga gula untuk air teh O panas semasa berbuka puasa. Itu pun selalunya nekcun bancuh tak manis sangat, takat manis buah sahaja kerana sudah ada manisan dalam buah Kurma. Atok pun tak suka manis-manis. Jadi bila gula kena catu camni, kami tidaklah masaalah sangat.
Sedang nekcun mahu mengambil bungkusan gula itu tetiba ada satu perempuan datang mendekati nekcun.
“Dek!… adik ambil berapa kilo gula tu?” tanya wanita itu.
“Saya tak perlu banyak, 2 kilo sajer dah cukup!” jawab nekcun selamba.
“Dek, ambil 5 kilo… nanti kat luar akak bayar kat adik!” pintanya dengan nada merayu.
“Eh!… nak buat apa pulak saya nak sampai 5 kilo? 2 kilo ni pun tak habis sebulan!…” jawab nekcun agak hairan.
“Bukan untuk adik!… tapi untuk akak!…” jawabnya seolah berbisik. Mungkin takut didengari oleh pelanggan lain.
“Eh!... kalau akak nak beli, akak ambil sahajalah untuk akak!” balas nekcun dengan nada agak tegang.
“Akak dah ambil 5 kilo, anak akak pun dah ambil 5 kilo, tapi tak cukup lagi…” jawabnya seolah merayu.
“Akak buat apa gula banyak-banyak tu?” soal nekcun lagi. Atok hanya memerhatikan kami.
“Akak ni miaga kueh dik… jadi bulan Ramadhan ni, akak kenalah tambah jualan dan sudah tentu akak kena banyak gunakan gula!… tolonglah dik, ambil 3 kilo tu untuk akak!” rayunya lagi.
“Oh gitu!… kalau akak miaga, pergilah beli kat pasaraya kat sana tu, ada jual secara pukal, boleh beli banyak-banyak!…” nekcun menyarankan.
“Akak dah pergi sana, tapi gula pun dah habis!… kena catu camni gak!…” jawab wanita itu, merayu belas ihsan nekcun.
Begitulah keadaannya bila barang makanan utama kekurangan di pasaran. Orang akan berbuat apa sahaja untuk mendapatkannya. Nekcun sendiri pun tak tahu kenapa tiba-tiba sahaja gula kurang di pasaran.
Malah dalam akhbar Star semalam ada mengatakan ianya adalah kekurangan di seluruh global bukan di Malaysia sahaja, Betul ke tu? Kenapa boleh jadi macam tu? Bila nak bulan Ramadhan sahaja, gula pasti akan berkurangan. Tahun lepas pun camtu jugak!… tak sangka pulak pokok tebu gula ni tahu bulan Ramadhan atau tidak ya?…
Eeemmm… entahlah… nekcun pun tak tahu apa nak cakap… mungkin ini adalah salah satu dugaan Allah kepada semua Umat Islam yang akan menghadapi Bulan Ramadhan. Allah tidak mahu kita membazir-bazir makanan semasa berbuka puasa! Cukuplah manisan dengan buah kurma sahaja!…
Tetapi bolehkah rakyat Malaysia berbuka puasa dengan buah kurma sahaja!… sana sini nekcun lihat hotel-hotel telah membuat promosi Juadah berbuka puasa!… dan harganya… bukan seringgit dua ringgit… tetapi ada yang sampai beratus ringgit seorang. Mampukah kita menghabiskan makanan sebegitu banyak ketika berbuka puasa kelak? Sedarkah kita bahawa ini adalah salah satu hasutan syaitan yang sangat halus terhadap umat Islam… Ada firman mengatakan: Membazir itu adalah sahabat Syaitan!… jadi mahukah kita menjadi sahabat syaitan ketika kita berebut-rebut mencari ‘bonus’ yang Allah janjikan sepanjang Ramadhan kelak?… marilah sama-sama kita fikirkan…. Wallahualam!…
p/s: Selamat menyambut Ramadhan AlMubarak kepada semua kekawan yang berugama Islam. Marilah kita sama-sama menyemarakkan bulan yang penuh keberkatan ini.... Nekcun juga ingin minta ma'af kepada semua kekawan sekiranya ada salah silap selama kita berhubungan...