Tuesday, November 8, 2016

Novel terbaharu NekCun...

Salam sejahtera semua sahabat2 yang disayangi. Wah!... dah lama betul NekCun tak singgah di teratak NekCun ni... Asyik sebuk bermusafir ajer... Hari ini, NekCun nak mengambil kesempatan untuk mengajak sahabat2 semua me'nerjah' ke Komplek Karangkraf di Syeksyen 15, Shah Alam untuk mencari novel NekCun yang baru terbit Ogos tempoh hari kerana sekarang sedang ada jualan gudang di Karangkraf. Jadi walaupun novel2 baru, tetap mereka beri diskaun hebat... Jadi, tunggu apa lagi?... Jom kita terjah ke sana dan dapatkan novel terbaharu NekCun... ALAHAI... RINDUNYA USTAZ HANDSOME... Dan boleh dapatkan juga novel2 NekCun yang lain dengan diskaun yang hebat2 juga...


Tuesday, April 5, 2016

SEINDAH TAKDIR CINTA - Drama adaptasi novel.

Bila mata bertentang mata,
Lidah kelu untuk berbicara.
Bila mata mula bertaut,
Hati di dalam rasa terpaut.
Bila senyum berbalas senyum,
Cinta di hati semakin menguntum.


Bergetarkah jiwa Ust. Shariman melihat senyuman manis Mia Karmila???... Terputikkah cinta di hati Mia Karmila tatkala mengetahui si pemandu teksi adalah seorang ustaz yang luas ilmu ugamanya???...

Itulah indahnya rahsia di sebalik SEINDAH TAKDIR CINTA... Drama adaptasi novel yang akan menggetarkan naluri dan perasaan kita.

Mari kita sama2 baca dan hayati novelnya sebelum menonton dan menghayati dramanya... 

#dramaadaptasinovelseindahtakdircinta.


Tuesday, March 29, 2016

Remember... We're not alone!...

Never burn the bridge that we have passed,
We never know that we may need it again one day.

Never easily be attracted by the greener look of our neighbor's lawn.
It could be just a synthetic grass.
Appreciate what we have as we knew best about it genuineness.


Never curse or hate a person who daringly tell us about our weaknesses.
We never know that he/she may be the one who will help us to save our life and shows us the way to heaven. 

Remember that we are not alone.
ALLAH is always with us and willingly guiding us whenever we need a guide.
Look for ALLAH's blessing & love as ALLAH will never turn us down.

Tuesday, December 29, 2015

Apa istimewanya cerita CINTA?...

Tak ada novel lain ke? Kenapa mesti novel2 cinta jer? Apa istimewanya novel SEINDAH TAKDIR CINTA?...

Berdesing juga telinga bila ada orang yang komen pasal novel popular ni asyik2 cerita cinta... cinta... cinta... Dah tu cinta picisan pulak!... Tapi, orang yang bercakap tu tahu ke apa makna picisan tu?...
Lagi pun bagi NekCun, tidak setiap cerita 'cinta' itu picisan atau pun tak memberi faedah untuk dibaca kerana setiap penulis mempunyai objektif mereka masing-masing di dalam penulisan yang mereka lahirkan. Jadi, tidak adillah kalau kita mengulas 'pakai borong' ajer kepada semua novel cinta...

Di sini NekCun nak kongsikan sedikit mengapa NekCun suka menulis novel 'cinta' kerana bagi NekCun 'cinta' itu membawa makna yang amat besar. Sebagai orang Islam yang beriman, tidakkah kita 'cinta' kepada ALLAH? Kepada Rasul kita Nabi Muhamamad SAW? Kepada ibu bapa kita? Kepada adik beradik, saudara mara dan sahabat2 sejati kita?.... Jadi, tidakkah perkataan 'cinta' itu besar maknanya?...

Bagi NekCun sendiri, perkataan CINTA itu mengandungi makna dan pengertian yang amat besar dan berharga dalam hidup ini kerana CINTA adalah...
C - Cemerlang
I   - Iman
N - Niat
T - Taqwa
A - Amalan & Akhlak yang baik

CINTA boleh membawa kepada kehidupan yang CEMERLANG apabila kita menjadi orang yang berIMAN. Iman seseorang yang cemerlang adalah berlandaskan NIAT yang ikhlas kerana ALLAH. Apabila Iman dan Niat itu benar2 ikhlas kerana ALLAH barulah seseorang itu tinggi TAQWAnya sebagai seorang yang soleh/solehah. Tetapi Taqwa juga tidak akan terbukti tanpa AMALAN-amalan ibadah dan AKHLAK yang baik.  Akhlak yang baik ialah apabila kita berjaya menghubungkan silaturrahim yang baik sesama manusia berlandaskan perasaan 'CINTA' yang diredhai ALLAH.

Secara dasarnya, bagi NekCun perkataan C I N T A itu memang besar maknanya dan amat berharga untuk kita menjadi seorang yang CEMERLANG di dunia dan akhirat... Oleh itu, NekCun amat berharap agar janganlah kita terlalu senang untuk 'menghukum' bahawa novel2 popular yang bertemakan 'cinta' itu tidak akan memberi faedah untuk dibaca. Tolong jangan hukum seseorang itu sebelum terbukti kesalahannya... Wallahualam...


Mari kita sama-sama hayati #seindahtakdircinta ....

Thursday, September 10, 2015

Poligami... Perkara HALAL tapi tidak disukai oleh wanita...

Sampai saat ini NekCun masih tak dapat nak fikir kenapa sahabat2 Nekcun memberikan komen sedemikian ketika kami ke majlis perkahwinan anak salah seorang sahabat kami.
"Siapa menantu dia tu?" soal A.
"Entah. Dengarnya Ustaz. Baru balik dari Al-Azhar." Jawab B.
"Oh, iya ke? Untung anak dia dapat Ustaz." Komen A.
"Betul ke untung? Mula2 ajer kot untung, lepas empat lima tahun mulalah makan hati." Komen B pula.
"Kenapa pulak? Ustaz kan selalunya baik2." Soal C.
"Memanglah Ustaz semuanya baik2... tapi sebagai isteri Ustaz kena sentiasa bersedia untuk dimadukan." Jawab B, selamba.
"Hah? Bersedia di madukan? Apasal pulak?" A terkejut.
"Sebab kebanyakkan Ustaz suka kahwin lebih dari satu... Tengoklah ustaz2 yang kita kenal tu... semuanya punya isteri lebih dari satu..." Jelas B agak emosional.

NekCun yang sedang nak menyuap nasi tiba-tiba rasa macam nak tersedak mendengarkan perbualan sahabat2 NekCun tu... NekCun tak berani nak komen apa-apa... Itu semua adalah hak peribadi masing-masing...

Takat dengar, boleh... nak komen tak berani sebab NekCun pun memang ada kenal ramai Ustaz2 yang mempunyai lebih dari satu isteri... So, no comments... NekCun mohon maaf zahir batin sekiranya ada yang terasa atau terguris perasan dengan posting ini... Hakikatnya ia adalah sesuatu yang tidak boleh kita pertikaikan kerana Islam menghalalkan poligami, asalkan ianya tidak menzalimi mana-mana pihak.

Namun NekCun selalu berpegang pada kata-kata seorang Ustazah yang agak popular, selalu keluar di TV iaitu "Saya tidak membantah poligami, asalkan dia bukan suami saya"... hehehe...


Semoga ALLAH sentiasa merahmati kebahgian dan keharmonian rumahtangga kita selamanya, dari dunia hingga ke syurga... Aamiinn...

Wednesday, July 22, 2015

Carilah redha ibu bapa untuk mendapatkan redha ALLAH...

Masih segar dalam ingatan NekCun satu komen yang diungkap oleh seorang 'VIP' yang telah di'viral'kan oleh pengguna2 media sosial iaitu 'tak payah balik kampung kalau budget tak cukup'. Namun apa yang NekCun nak coretkan bukanlah samada komen itu wajar atau tidak tetapi adalah lebih kepada apakah impak yang terjadi akibat dari komen itu.

Mungkin ramai antara kita yang tidak bersetuju dengan komen tersebut kerana kalau mengikut dari segi akhlak dan silaturrahim dengan kaum keluarga memanglah tidak wajar hakikatnya. Adakah hanya sebab mahu jimat belanja kita perlu mengguris hati kedua ibu bapa dengan tidak menziarahi mereka ketika menyambut syawal ini? Sudahlah hari-hari biasa pun kita amat jarang untuk menziarahi mereka, takkanlah ketika menyambut syawal ni pun kita perlu melupakan mereka hanya kerana nak jimat belanja? Mahukah kita terhalang untuk masuk syurga hanya kerana kita telah mengguris hati kedua ibu bapa kita sebab tidak mahu balik kampung ketika mereka amat mengharapkan kehadiran kita?

Tetapi, siapakah yang perlu disalahkan dalam perkara ini jika memang kita benar-benar tidak mampu untuk balik ke kampung? Nak membeli keperluan harian anak isteri pun ada yang tak cukup, apa tah lagi nak belanja untuk pengangkutan, tol, minyak kereta dan sebagainya untuk sampai ke kampung. Dengan kenaikkan harga semua keperluan dengan bermacam-macam alasan yang diberikan oleh kerajaan, haruskah kita dipersalahkan sekiranya kita terpaksa mengguris hati ibu bapa kita kerana memang benar-benar tidak mampu untuk balik ke kampung menziarahi mereka?... 

Nekcun yakin inilah dilema yang dihadapi oleh ramai di kalangan rakyat marhaen masa kini. Terutamanya yang bekerja di Lembah Klang di mana semuanya mahal. Sewa rumah mahal, apatah lagi nak beli rumah yang harganya memang berkali-kali ganda dengan harga di luar bandar atau di negeri lain. Sebuah rumah pangsa di Lembah Klang sama harganya dengan sebuah rumah teres di negeri-ngeri lain. Bayangkanlah betapa peritnya seorang yang bergaji bawah RM3,000 mahu membeli rumah di Lembah Klang. Itu belum lagi harga tambang pengangkutan awam, apatah lagi untuk membeli sebuah kereta. Belum lagi harga keperluan harian dan macam-macam lagi yang semuanya berganda-ganda kenaikkan harganya dari setahun dua yang lalu.

Namun, ketika NekCun balik dari kampung pada hari Isnin lalu setelah 4 hari di kampung, NekCun lihat lebuhraya utara selatan masih penuh dengan kenderaan yang bermacam2 jenis. Lebuhraya sesak teruk sehinggakan beberapa kali kereta terpaksa berhenti tidak bergerak di atas jalan raya kerana kesesakan yang terlampau sepanjang lebuh raya walaupun hari raya telah masuk hari yang ke 5. Keadaan itu tidak langsung membayangkan kerisauan kita tentang tidak cukup wang untuk balik kampung ketika menyambut syawal ini. Kesesakkan itu bukan hanya sehari tetapi berlaku beberapa hari. Itu menunjukkan bahawa entah berapa juta kenderaan yang menggunakan lebuhraya semasa menyambut syawal ini untuk balik ke kampung masing-masing.

Adakah itu tanda kita lebih mementingkan menjaga hati ibu bapa untuk mendapat keredhaan mereka dengan tekad "apa jadi pun, aku tetap akan balik kampung. Jumpa emak bapa aku!.." Dan adakah itu juga menandakan kita lebih mementingkan kredhaan ibu bapa daripada keperluan kita sendiri kerana kita percaya "ALLAH akan redha dengan kita kalau ibu bapa kita redha pada kita"... "Jika kita sanggup berkorban untuk ibu bapa kita, pasti ALLAH akan lapangkan dan tambah rezeki kita."... 

Hakikat yang sebenarnya, memang itulah yang sepatutnya kita lakukan. Kita wajib yakin akan kekuasaan ALLAH dan kasih sayangnya pada hamba-hambanya yang sentiasa bertawakal kepadaNYA. Hamba-hambanya yang sentiasa menurut perintahNYA dan sentiasa yakin bahawa rezeki kita adalah DIA yang menentukannya. Jika ALLAH redha dengan kita kerana ibu bapa kita redha dengan kita, pasti akan ada jalan keluar walau apa pun masaalah yang kita hadapi di dalam mengharungi kehidupan yang penuh ranjau dan duri ini. Jadi ambillah peluang menyambut syawal ini untuk mendapat keredhaan kedua ibu bapa agar ALLAH akan juga meredhai kita.

Ingatlah... duit boleh dicari tetapi kedua ibu bapa tidak ada galang gantinya. Syurga seorang anak adalah di telapak kaki ibunya, maka jagalah telapak itu agar pintu syurga ALLAH akan sentiasa terbuka untuk kita... Wallahualam...   

Saturday, June 13, 2015

BENARKAH CINTA ITU INDAH?

Cinta itu fitrah insani
Cinta itu anugerah Ilahi
Cinta itu sesuatu yang tidak nampak pada lahiriah
Tetapi sangat terkesan pada batiniah.
Masya ALLAh, Tabarakallah indahnya cinta,
Bukti kewujudan ALLAH.
Dengan cinta itulah kita kenal Pencipta Cinta
Dengan cinta itulah kita kenal Rasul tercinta
Dengan cinta itulah kita bersaudara
Dan dengan cinta itulah wujudnya bahagia…

Cinta kepada ALLAH itulah cinta yang utama
Jagalah cinta pada-NYA, nescaya akan beroleh cinta sesama manusia…

Cintailah ALLAH sebelum kita belajar untuk mencintai hamba ALLAH.
Selami hati, selami jiwa dimana kita letakkan ALLAH di hati kita?
Di mana DIA di hati kita?
Sering kita terlupa ALLAH, tika kita senang dan bergembira.

Rasa cinta kepada manusia itu akan hadir tanpa dipaksa
Rasa cinta kepada manusia itu akan wujud tanpa diminta
Rasa cinta kepada manusia itu adalah kebahgiaan yang ALLAH beri pada kita
Namun, cintailah mereka kerana cinta kita kepada ALLAH yang Esa,
Dan bukan hanya kerana nafsu semata…

Usah ditagih kasih yang tak pasti
Usah diharap cinta insani, jika cinta kepada ALLAH sering kita nodai.
Bermunajatlah kepada Yang maha Pencipta cinta,
Berdoalah padaNYA,
Meminta yang terbaik daripadaNYA,
Merayulah keampunanNYA,
Mohonlah cintaNYA…

Cinta yang bertandang di lubuk hati itu fitrah
Namun apabila ia disusuli tindak tanduk yang tidak diredhai ALLAH
Ia pasti akan bertukar menjadi fitnah yang membarah…
Oleh itu, cintailah seseorang itu kerana ALLAH
ALLAH tidak akan menolak cinta insan yang beriman kepadaNYA dan RasulNYA
Dan cinta ALLAH itulah yang kekal abadi selamanya…

Ya ALLAH, anugerahkanlah kepada kami cinta yang suci,
Agar hari-hari yang kami lalui sentiasa indah,

 SEINDAH TAKDIR CINTA yang KAU aturkan untuk kami… 

Thursday, May 7, 2015

Apa nilai kekayaan & kuasa???

Emas berlian dan wang ringgit bukan nilai kekayaan,
Pangkat dan darjat juga bukan ukuran kekuasaan,
Apa guna kuasa dan kekayaan,
Jika hati dan fikiran sering bergolakkan,
Di manakah kebahgiaan yang diharapkan. 
Jadilah ianya hanya sebuah bayangan dan angan-angan.


Bersyukurlah dengan apa yang kita ada,
ALLAH maha mengetahui apa yang baik untuk kita,
DIA tidak pernah zalim pada hamba-hambaNYA,
Kerana kekayaan di syurga adalah lebih baik dari kekayaan di dunia...

###Semoga ALLAH akan sentiasa merahmati hidup kita, hamba-hambaNYA yang beriman dan bertaqwa kepadaNYA... Aamiinn...

Monday, April 20, 2015

Malu ke nak ikut sunnah Rasullullah?

Bagai nak terguling-guling NekCun ketawa apabila seorang sahabat yang sama-sama bermusafir dengan NekCun baru-baru ini mengusik.

"Kau ni kan Kam, bermusafir dah nak hampir 3/4 dunia, tapi aku heran betul tengok perangai kau ni. Kenapa kau langsung tak mahu cuba makanan-makanan negara orang lain?. Daging tak makan. Cheese tak makan. Semua yang orang jamu kau tak mahu makan. Asyik-asyik kau akan buka bekal yang kau bawa dari M'sia tu ajerlah makanan kau." Omel sahabat NekCun tu.

"Dah tekak aku tak boleh nak terima, nak buat macam mana? Kang kalau aku muntah tengah-tengah kau orang seronok-seronok makan tu camna? Jadi lebih baik aku jangan makan makanan mereka tu." Jawab NekCun selamba.

"Dah kau tak mahu cuba, macam mana kau nak tahu tekak kau boleh terima atau tidak? Rugi tau kalau kau tak cuba makanan negara-negara lain." Sahabat NekCun terus memujuk.


"Alaahhh... aku kan anak Melayu sejati Malaysia. Jadi apa salahnya aku hanya memakan makanan yang selalu aku makan di M'sia? Yang aku yakin halal 100%. Aku bangga dengan makanan orang Melayu M'sia tau..." Balas NekCun pula.

"Hhhmmmm... suka hati kaulah. Tapi..."

"Tapi apa pulak lagi?" NekCun bertanya apabila sahabat tu agak keberatan nak teruskan kata-katanya.

"Tu... kau tu. Orang lain makan guna sudu dan garpu, kau tetap makan dengan tangan. Tak kira kat mana pun. Sampai kat New York dan kat hotel 7 bintang pun kau tetap nak makan dengan tangan. Tak malu ke kalau orang lain tengok?" Sahabat NekCun akhirnya berkata.

"Hei, makcik!... apa yang nak dimalukan? Aku bukan buat salah apa-apa. Aku bukan ambil makanan orang lain atau kacau orang lain. Aku makan pakai tangan aku sendiri. Bukan aku ambil tangan orang lain. Aku orang Islam. Ugama Islam menggalakkan umatnya makan dengan tangan kanan. Jadi mengapa aku perlu malu makan dengan tangan? Rasulullah makan dengan tangan kanan. Malah Rasulullah akan menjilat jari-jarinya setelah habis menyuap makanannnya. Aku ikut sunnah Rasulullah. Mengapa aku perlu malu pada manusia jika apa yang aku lakukan mendapat keredhaan ALLAH?"  Agak emosional NekCun menjawab.

"Good!... Bravo!... I like your attitude... Aku sajer jer nak test engkau... Aku pun suka makan guna tangan. Lebih selesa dan puas. Betul kata kau, apa perlu kita malu pada orang lain kalau kita boleh menunjukkan kepada mereka apa yang Rasulullah suka buat. Kita patut bangga jadi seorang Muslim dan sentiasa mempraktikkan sunnah Rasulullah. Mengapa mesti kita malu pada orang2 yang hanya mementingkan darjat dunia tetapi melupakan sunnah Rasulullah kan?.. Yes!... same like you, I'm proud to be a Muslim.." Sahabat NekCun berkata sambil menepuk-nepuk belakang NekCun.

"Oooohhh... kau sajer nak test akulah rupanya ya?... Tak apa... lain kali aku test kau pulak!..." NekCun balas sambil kami terus ketawa mengekek-ngekek...

Walaupun dalam gurauan, tetapi apa yang kami bincangkan adalah satu hakikat kehidupan yang ramai orang Islam tidak ambil kisah. Mereka lebih malu kepada sesama manusia dan sanggup mengagongkan cara hidup al-kafirun yang kononnya moden dan bertamadun, tetapi mereka malu untuk mempraktikkan sunnah Rasulullah yang mana mereka lupa bahawa ianya akan banyak membantu kita untuk mendapat shafaat Baginda ketika di akhirat kelak... Marilah sama-sama kita fikir-fikirkan... Wallahualam... 

Tuesday, March 31, 2015

PENTING SANGAT KE HANDPHONE?

Aku membesar di zaman tiada handphone,
Arwah abah hanya mampu pesan belajar tekun-tekun,
Bicaraku dengan sahabat2 tak pernah terputus pun,
Janji temu pula tak pernah lewat walau seminit pun.

Sekarang handphone dah bagaikan nyawa,
Temu janji boleh terbatal kalau terlupa bawa,
Sebab pusing-pusing cari tempat tak jumpa,
Bagaikan sms, whatsapp, & messenger yang kawal hidup kita.

Wahai kawan-kawan dan sahabat handai,
Jangan biarkan handphone buat kita lalai,
Azan dah dilaungkan tapi masjid kita masih tak sampai,
Takut nanti Malaikat Izrail pula yang sampai.

Mulai 1hb April 2015 dah mula ada GST,
GST untuk harga handphone pun memang sudah pasti,
Jadi bersabar-sabarlah kalau nak tukar handphone lagi,
Takut nanti duit tak cukup nak belanja anak isteri.
  
Maafkan daku wahai sahabat-sahabat yang dikasihi,
Sekiranya hatimu terguris dengan bicaraku ini,
Ku hanya ingin ingat mengingati,
Agar hidup kita sentiasa ALLAH rahmati.

Tuesday, March 3, 2015

ILMU ITU CAHAYA... Betul ke?

Ilmu itu cahaya. 
Tetapi ilmu tidak akan bercahaya kalau tiada keberkatan. 
Keberkatan ilmu ialah apabila ia diamalkan
Untuk kebaikkan dan kesejahteraan dalam kehidupan.

Orang yang berilmu tidak semestinya bijaksana
Kalau ilmu yang dipelajari tidak dimanfaatkan dengan sebaiknya
Ilmu juga tidak akan menjadikan seseorang itu hebat
Kalau ilmu yang dipelajari membawa ke jalan yang sesat... 


Tuntutlah ilmu walau sampai ke negeri Cina,
Itulah peribahasa popular nenek moyang kita,
Kiasan yang amat dalam isi maksudnya,
Namun tetap ada kebenaran yang boleh kita fikirkan bersama...

Marilah kita terus mencari ilmu dengan banyakkan membaca
Tak kira apa pun bahan bacaan yang nak dibaca
Asalkan ianya dapat memberi petunjuk yang baik kepada kita
Kebaikkan kehidupan di dunia hingga ke syurga... 

Tuesday, February 10, 2015

DARI MATA TINTA...

Salam sejahtera semua sahabat2 yang NekCun sayangi... Tiada apa sebenarnya yang NekCun nak coretkan kali ini. Sekadar mahu mengajak sahabat2 semua berkongsi beberapa info yang boleh dimanfaatkan tentang penulisan novel2 NekCun, In sya ALLAH esok - Rabu 11hb February, 2015 di SELANGOR.fm frekuansi 100.9 (Lembah Klang) jam 3.10 - 3.40 petang. 

Kepada sesiapa yang ada masa terluang esok... marilah sudi2kan untuk mendengar 'celoteh' NekCun di Selangor.fm itu. Tak rugi dengar tetapi rugi kalau tak dengar... hehehe...

Terima kasih dan selamat mendengar.   

Sunday, January 25, 2015

Musibah... ujian, peringatan atau bala...

Masih terngiang-ngiang di telinga NekCun suara lirih seorang 'makcik' ketika NekCun dan kawan-kawan berbicara dengannya semasa dalam misi bantuan pasca banjir baru-baru ini.

"Apa-apa pun makcik redha dengan segala apa yang berlaku ini. Mungkin ini adalah cara yang terbaik yang ALLAH aturkan untuk kami di kampung ni membersihkan dosa-dosa kami, jadi makcik redha..." ujar makcik itu yang jelas kedengaran keikhlasan dalam suaranya.

"Tabah sungguh hati makcik. Saya benar-benar kagum dengan ketabahan makcik melihat rumah makcik yang sudah musnah keseluruhannya ini." komen salah seorang geng kami di dalam misi bantuan itu.

"Tak mengapalah nak... mungkin ALLAH nak beri makcik rumah yang lebih besar dan indah di syurga nanti. Dapat berteduh di masjid ni buat sementara waktu ni pun, makcik dah rasa syukur sangat." jawab makcik tu lagi dengan penuh keikhlasan.

Subhanallah... itulah sedikit sebanyak reaksi mangsa-mangsa banjir yang dapat kami temui ketika membantu membersihkan kampung yang terlibat. Hampir keseluruhan mereka begitu sabar dan tabah menghadapi musibah yang telah menimpa mereka itu.

NekCun teringat kata-kata seorang ustaz bahawa ALLAH timpakan musibah pada manusia atas 3 sebab iaitu:-

1) Sebagai ujian ALLAH kepada makhluknya kerana ALLAH sayang pada makhluknya dan dengan ujian itu DIA mahu makhluknya sentiasa kembali mengingatiNYA. Merayu padaNYA.
2) Sebagai amaran atau peringatan ALLAH kepada makhluknya agar tidak mudah lalai di dalam melaksanakan segala perintahNYA. Apabila sudah ditimpa musibah, barulah manusia akan sering bermuhasabah diri dan akan mula mempebaikki apa yang kurang untuk mencari redha ALLAH.
3) Bala atau azab yang ALLAH turunkan kepada semua (tidak kira siapa) oleh sebab kemungkaran dan kekufuran yang dilakukan oleh sebilangan manusia. Inilah yang kita khuatirkan, kerana jika ada di kalangan kita orang yang mungkar dan apabila ALLAH murka, maka musibah yang terjadi akan menimpa sesiapa sahaja dan bukan hanya orang2 yang mungkar itu sahaja.

Secara dasaranya, musibah boleh berlaku dan menimpa sesiapa sahaja di dunia ini, cuma tahap atau peringkat penerimaan terjadinya musibah itu yang berbeza-beza. Sekiranya seseorang itu adalah seorang yang beriman, berilmu yang menafaat, baik akhlak dan amal ibadahnya, maka musibah yang terjadi padanya mungkin adalah hanya ujian dari ALLAH untuk menaikkan darjatnya di sisi ALLAH.  

Begitu jugalah bagi seseorang yang beriman dan baik akhlaknya tetapi kekadang lalai di dalam melaksanakan amal ibadahnya, maka musibah yang berlaku padanya adalah sebagai amaran atau peringatan dari ALLAH agar mereka kembali  meningkatkan amalan-amalan mereka sebaik-baiknya.

Namun bagi orang yang tiada iman serta sentiasa engkar perintah ALLAH, akan merasakan segala musibah yang terjadi adalah merupakan bala atau azab ALLAH kepada mereka. Mereka akan terus sombong dan menyalahkan ALLAH. Mereka tidak sedar bahawa azab ALLAH di akhirat kelak adalah lebih terok jika mereka terus sombong dengan kemungkaran mereka, melainkan jika mereka sedar dan bertaubat. 

Manakala orang yang teguh imannya tidak akan pernah menyalahka ALLAH sekiranya ditimpa musibah sebaliknya mereka akan bermuhasabah diri dan redha akan segala yang terjadi kerana bagi mereka semua itu adalah ujian ALLAH untuk menguji sejauh mana teguhnya iman dan taqwa mereka kepada ALLAH, serta sejauh mana ALLAH mahu menguji kesabaran mereka. Sesungguhnya orang yang sabar dan redha akan ujian ALLAH akan ALLAH naikkan darjat mereka di akhirat kelak. Itulah salah satu hikmah yang kita manusia biasa tidak sedar dan sering mengeluh ketika ditimpa musibah. 

Semoga dengan segala musibah yang terjadi di negara kita sepanjang tahun 2014 lalu akan dapat memberi peringatan kepada kita semua untuk segera bermuhasabah diri. Semoga ALLAH akan mengampunkan dosa-dosa kita, samada yang kita sedar atau yang tidak kita sedar dan akan menaikkan darjat kita di sisiNYA. Semoga ada hikmah yang mulia menanti kita di akhirat kelak. Aammiinnn... 

Sunday, December 28, 2014

Konsep 5S bagi kehidupan Umat Islam...

Selalu kita dengar konsep 5S adalah piagam yang diamalkan oleh kebanyakkan syarikat2 dan jabatan2 untuk memastikan kelancaran pentadbiran serta suasana yang menarik di syarikat2 atau jabatan2 terlibat bagi memastikan pelanggan2 mereka berpuas hati dengan perkhidmatan syarikat atau jabatan mereka.

Namun hakikatnya, tidak ramai yang sedar bahawa konsep 5S itu sebenarnya sudah memang sedia ada dalam Ugama Islam untuk memastikan umatnya mendapat kesejahteraan dan kebaikkan hidup di dunia dan akhirat. Sesungguhnya ALLAH yang maha mengetahui segalanya dan DIA telah mewajibkan setiap umat Islam mempraktikkan konsep 5S untuk menjadi hamba yang diredhaiNYA, dunia akhirat.

Sahabat2 nak tahu apa konsep 5S yang perlu dipraktikkan oleh setiap umat Islam itu?... Hah... mari kita sama-sama menghayatinya.

1) SYAHADAH - Tidak akan sah seseorang itu sebagai umat Islam jika dia tidak mengucap dua kalimah syahadah. Maka adalah wajib bagi setiap umat Islam mengucapkan dua kalimah syahadah untuk membuktikan bahawa dia benar2 percaya dan menyerahkan dirinya kepada ALLAH dan RasulNYA. Dan sebagai umat Islam seseorang itu juga mesti percaya,yakin dan patuh pada Rukun Islam dan Rukun Iman sebagaimana yang disampaikan oleh Junjungan kita Nabi Muhamad SAW.

2) SYARIAT - Islam mempunyai syariat atau hukum hakam yang telah ditetapkan oleh ALLAH kepada setiap hamba2NYA untuk diamalkan seperti hukum-hukum halal, haram, wajib, sunat dan harus. Maka untuk memastikan seseorang itu benar-benar diterima oleh ALLAH sebagai umat Islam dan untuk mendapat rahmat dan redhaNYA dunia akhirat, wajiblah kita melaksanakan dan mengamalkan semua syariat-syariat yang telah ditetapkan dengan penuh ikhlas dan tawaduk. Contohnya, solat 5 waktu adalah wajib dan merupakan 'tiang' ugama, maka seseroang yang tidak melaksanakan atau menjaga solatnya adalah sebagai engkar kepada perintah ALLAH. Di dalam kehidupan harian ini pun sekiranya seorang pekerja itu engkar arahan 'tuan' nya, maka susahlah untuk dia meningkatkan kedudukan kerjayanya. Dan dengan itu mungkin agak susah untuknya mendapat kenaikkan pangkat. Maka begitu jugalah kedudukkan kita dengan ALLAH. Untuk menaikkan darjat kita di sisiNYA, kita perlu sentiasa melaksanakan dan mengamalkan setiap arahanNYA melalui syariat yang telah ditetapkanNYA itu, agar kita mendapat redhaNYA dari dunia hingga akhirat.

3) SILATURRAHIM - Di dalam menjalani hidup di dunia, Islam telah mengenalkan dua sistem yang amat cantik untuk diamalkan oleh setiap insan iaitu Habluminallah (hubungan dengan ALLAH) dan Habluminannas (hubungan sesama manusia). Mengeratkan silaturrahim sesama manusia adalah amat penting di dalam kehidupan harian setiap insan. Tiada siapa pun di dunia ini yang boleh hidup tanpa berhubung dengan orang lain waimma sebanyak mana pun kekayaannya. Maka untuk menjadi insan yang diredhai ALLAH dan mendapat kerahmatan dan keberkatan hidup di dunia dan akhirat, kita wajib untuk sentiasa menyambungkan silaturrahim dengan insan-insan lain terutama kaum keluarga, jiran tetangga dan sesiapa sahaja yang tidak memusuhi kita. Si kaya akan sentiasa bersedia menolong si miskin dan orang yang senang akan sentiasa bersedia menolong orang lain yang dalam kesusahan. Apabila sifat tolong menolong dan bertolak ansur wujud dalam setiap umat Islam, maka ukhwah di kalangan masyarakat umat Islam pastinya akan lebih teguh dan harmoni. Keadaan itu akan menjadikan hidup kita lebih aman, bahgia dan sejahtera.

4) SYUKUR - Sesungguhnya ALLAH yang menjadikan dunia ini dan juga segala seisinya. DIA yang maha berkuasa mencipta segalanya. Sebagai makhluk ALLAH, kita wajib bersyukur dengan segala apa yang kita ada di dunia ini kerana semua itu adalah milik ALLAH jua. DIA hanya 'meminjamkan'nya kepada kita atau kepada sesiapa yang DIA kehendakki. Maka bersyukur kepada ALLAH sebagai tanda kita menghargai segala anugerah ALLAH kepada kita sekiranya kita mahu mencari keredhaanNYA. Orang yang tidak bersyukur adalah orang yang sombong pada ALLAH kerana sesungguhnya manusia ini tidak akan mampu untuk melawan kekuasaan ALLAH. Maka carilah redha ALLAH dengan sentiasa bersyukur kepadaNYA. Sesungguhnya ALLAH menyayangi makhluknya yang sentiasa bersyukur. Insan yang disayangi ALLAH, pasti hidupnya beruntung dunia akhirat.

5) SABAR - Orang yang penyabar akan dapat melalui setiap detik hidup di dunia ini dengan lebih tenang dan aman. Islam amat menitikberatkan sifat sabar. Rasulullah sendiri pernah bersabda bahawa 'Sabar adalah separuh dari iman'. Rasulullah juga adalah sebaik-baik contoh seorang yang sabar. Maka mengamalkan sunnah Radulullah adalah sebaik-baik amalan untuk kita mendapat keberkatan di dalam hidup ini. Sesungguhnya ALLAH menyayangi orang-orang yang sabar.       
      
Sekiranya kita boleh mengamalkan konsep 5S yang kononnya diasaskan oleh orang-orang Jepun di dalam mentadbir kelancaran tugas-tugas harian di syarikat2 atau jabatan2 kerajaan, mengapa kita tidak boleh mengamalkan 'konsep 5S' yang telah terlebih dahulu diasaskan oleh Ugama Islam yang syumul ini di dalam kehidupan harian kita? Marilah kita fikir-fikirkannya.... Wallahualam.

###Marilah kita mengamalkan 5S yang disarankan oleh Islam dengan penuh keikhlasan dan tawaduk.  Semoga kita semua termasuk ke dalam golongan hamba2 ALLAH yang sentiasa mendapat keredhaan dan rahmatNYA dari dunia hingga akhirat... Aameen...

Sunday, November 30, 2014

BIASA atau LUAR BIASA?

Berbuat baik kepada orang yang berbuat baik pada kita adalah BIASA.
Berbuat baik kepada orang yang zalim pada kita adalah LUAR BIASA.
Mampukah kita menjadi seorang yang LUAR BIASA itu????

Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW adalah role model insan yang LUAR BIASA itu. Dan baginda adalah 'kekasih' ALLAH. Tidakkah kita mahu menjadi 'kekasih' ALLAH???...

Memang tidak dapat dinafikan, sebagai manusia dan orang awam yang serba kekurangan adalah amat susah untuk kita menjadi seorang yang LUAR BIASA itu. Kita ada hati, ada perasaan, ada emosi dan ada nafsu yang sering membelenggu kita. Tetapi ALLAH juga ada memberi kita akal fikiran, hidayah dan iman yang akan dapat membantu kita mengawal perasaan, emosi dan nafsu dari tersasar ke jalan yang salah. Oleh itu, mengapa tidak kita berusaha sedaya upaya kita untuk menggunakan akal fikiran, hidayah dan iman dengan sebaik-baiknya untuk mendidik kita menjadi insan yang 'LUAR BIASA' sebagai membuktikan cinta kita kepada ALLAH dan Rasulullah... 

Kehebatan, kekayaan dan kecantikan seorang insan itu bukanlah hanya pada kekuatan tubuh badannya, harta wang ringgitnya atau paras rupaya, tetapi juga pada akhlak dan imannya. Sabar adalah separuh daripada iman. Kesabaran dan Iman yang teguh adalah sebahagian dari faktor yang boleh mendorong kita menjadi insan yang 'LUAR BIASA' dari keBIASAan seorang insan sebagai makhluk ALLAH yang serba kekurangan.  Oleh itu, marilah kita cuba untuk meningkatkan kesabaran dan meneguhkan Iman agar kita menjadi makhluk ALLAH yang sentiasa mendapat keredhaanNYA...In sya ALLAH... Aameenn...     

Tuesday, November 4, 2014

Siapakah orang yang paling berjaya?

Adakah ramai kawan2 akan memberi kita ketenangan?
Adakah keseorangan akan membuat kita kebingungan?
Adakah banyaknya wang ringgit akan memberi kita kesenangan?
Adakah wang yang sedikit akan membuat kita gelandangan?

Tanyalah hati, dugalah minda,
Samada jiwa dan perasaan akan rasa bahgia,
Jika ramainya kawan hanya ketika kita berada,
Tetapi hilang apabila harta sudah tiada.

Jangan terlalu leka tertawa dan bergurau senda,
Sehingga tidak sedar azan solat telah bergema,
Sahabat yang baik akan segera mengingatkan kita,
Agar segera bersujud kepada yang Maha Esa.

Madahku ini bukan madah pujangga,
Sekadar ingin ingat mengingati antara kita,
Agar kita sentiasa sedar dan berjaga-jaga
Bahawa hidup di dunia ini bukanlah kekal selamanya.

Sesungguhnya Rasulullah pernah bersabda:-
"Orang yang dihindarkan dari api neraka dan dimasukkan ke dalam syurga adalah orang yang paling berjaya."


Semoga ALLAH akan sentiasa merahmati dan memberkati persahabatan kita selamanya, dari dunia sehingga ke syurga. Aamiinnn... 

Saturday, October 18, 2014

KEKAYAAN atau KEBAHGIAAN???

"ALLAH tidak beri apa yang kita hendak tetapi DIA beri apa yang kita perlu"

Satu statement yang amat menarik perhatian NekCun pagi ini. Kita wajib yakin akan statement tersebut kerana kita wajib percaya yang ALLAH tidak pernah buat silap. ALLAH maha mengetahui apa yang terbaik untuk kita kerana kita adalah makhluk ciptaanNYA.
Ramai yang berdoa memohon untuk jadi kaya. Tetapi ALLAH tidak beri dia kekayaan sebaliknya ALLAH beri dia kebahgiaan seperti kesihatan tubuh badan yang baik, suami/isteri/anak2 yang soleh/solehah dan jiran tetangga yang prihatin. 
Ramai antara kita yang keliru sebenarnya. Mengapa kita minta jadi kaya? Kerana kita beranggapan dengan kekayaan itu kita boleh hidup bahgia. Jadi sebenarnya apa yang kita mahukan adalah kebahgiaan bukan kekayaan. Tidak dinafikan ramai orang yang kaya tetapi tak bahgia. Rumah tangga berantakkan sehingga bercerai berai, anak2 liar tidak dapat dikawal dan sebagainya. Lihatlah berapa ramai orang-orang kaya yang bunuh diri kerana kecewa dalam hidup dan tiada ketenangan dalam hati.
Manakala orang yang biasa2 sahaja hidup mereka lebih bahgia dan aman damai kerana hidup mereka dikelilingi oleh insan-insan yang ikhlas menyayangi mereka seadanya bukan kerana harta kekayaan yang mereka milikki. Hati mereka lebih tenang dan merasakan rezeki yang mereka ada itu telah mencukupi apa yang mereka perlukan. Mereka yakin, setiap makhluk yang ALLAH jadikan itu pasti ada rezekinya setelah mereka berusaha.   
Marilah kita renung2kan apakah yang Nekcun kongsikan ini benar atau tidak...


### Sekadar mengingatkan diri NekCun sendiri supaya sentiasa bersyukur dengan apa yang ada. Walaupun hati sentiasa penuh mengharap akan 'kemunculannya' tetapi jika ALLAH belum lagi mengizikannya, maka bersabarlah wahai hatiku... Mungkin ALLAH mahu memberi NekCun yang lebih baik dari apa yang NekCun harapkan. Kalau tidak di dunia, mungkin ia akan menjadi pahala yang akan membahgiakan NekCun di akhirat kelak... In sya ALLAH.

Tuesday, October 14, 2014

DEMIMU NAZWA - Bab 6.

SELESAI mengerjakan Solat Isyak malam itu, Nazwa tiba-tiba teringat akan sampul surat yang diberi Edham sebelum balik kerja petang tadi. Segera Nazwa mengambil sampul surat itu di dalam beg tangan dan membukanya.
Terbeliak anak mata Nazwa melihat sekeping baucar dari Habib Jewel yang memaparkan berbagai bentuk cincin dan rantai tangan berlian. Terdapat nota kecil yang terselit bersama baucar itu.
Sayang, Ed telah pun buat tinjauan di beberapa kedai emas untuk mencari cincin pertunangan kita. Namun masih belum membelinya. Kalau boleh Ed mahu Sayang pilih sendiri yang mana Sayang suka. Ed harap Sayang takkan biarkan Ed tunggu lebih lama lagi. Yang mencintaimu, Ed.
Terkedu Nazwa membaca nota Edham yang penuh mengharap itu. Hati Nazwa benar-benar terharu. Tidak tahu bagaimana dia harus memberitahu Edham akan kedudukannya yang sebenar. Resah di hatinya semakin mencengkam jiwa setiap kali Edham melafazkan kata-kata cinta. Tidak tergamak Nazwa hendak mengatakan bahawa cinta Edham terhadapnya adalah cinta terlarang.
Tiba-tiba wajah Ahmad Saifulrizwan yang tampan dan bergaya menerjah memenuhi ruang tubir mata Nazwa. Walaupun sudah hampir empat tahun tidak bersua muka, Nazwa masih tidak dapat melupakan wajah tampan dan senyuman yang pernah mencairkan hatinya suatu ketika dulu.
Cinta pandang pertama Nazwa dan Ahmad Saifulrizwan berputik di hati masing-masing ketika pertama kali bertemu di Malaysia Hall. Nazwa masih dapat merasakan betapa hatinya terasa melambung-lambung keriangan pada pertama kali Ahmad Saifulrizwan melafazkan kata cinta.
Setiap denyutan jantungnya dipenuhi cinta Ahmad Saifulrizwan yang begitu mengasyikkan sehingga mereka tidak dapat lagi dipisahkan. Dan sebab itu juga, tanpa ragu-ragu Nazwa telah menerima lamaran Ahmad Saifulrizwan, apabila lelaki itu mengambil keputusan untuk bernikah dengannya walaupun tanpa pengetahuan kedua ibu bapa masing-masing.
Bagi Nazwa, Ahmad Saifulrizwan telah benar-benar membuktikan cintanya dengan menerima tanggungjawab sebagai suami yang sah dari hukum syarak apabila lelaki itu benar-benar jujur di dalam menjalinkan hubungan dengannya.
Ahmad Saifulrizwan bukan mahu berseronok-seronok, walaupun mereka berada di Kota Metropolitan, London. Di sini, pergaulan intim antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim boleh sahaja mereka lakukan dengan begitu bebas tanpa sebarang halangan.
Nazwa amat bersyukur kerana Ahmad Saifulrizwan lebih memilih untuk menjalinkan ikatan yang lebih diredhai ALLAH di dalam membuktikan cintanya. Mungkin juga kerana sikap Nazwa yang begitu menjaga tatasusilanya sebagai seorang muslimah, telah membuatkan Ahmad Saifulrizwan begitu nekad untuk menikahinya secara sah.
Dan kejujuran serta keikhlasan Ahmad Saifulrizwan itulah yang telah menambat hati dan jiwa Nazwa terhadap lelaki itu.
Secara dasarnya Nazwa tidak pernah tahu siapa keluarga Ahmad Saifulrizwan sebenarnya ketika mereka bernikah dulu, sehinggalah kira-kira dua tahun lalu apabila Ahmad Saifulrizwan dilantik sebagai CEO Al-Khusyairy Mega Holding. Dia menggantikan ayahnya yang mahu menumpukan kepada jawatan pengerusi eksekutif sahaja.
Nazwa benar-benar terkejut dengan berita yang dibacanya di dalam Business News itu. Langsung tidak menyangka bahawa lelaki yang pernah bertakhta di hatinya itu adalah pewaris tunggal Al-Khusyairy Mega Holding, iaitu salah sebuah konglomerat yang terkemuka di Malaysia ini.
Hati Nazwa jadi bertambah sendu dan pilu apabila mengetahui siapakah sebenarnya suami yang dinikahinya ketika mereka sama-sama belajar di UK dulu. Barulah Nazwa sedar kenapa Ahmad Saifulrizwan amat berat untuk memperkenalkan Nazwa kepada kedua ibu bapanya ketika mereka datang menziarahinya di London. Keengganan Ahmad Saifulrizwan itulah telah membuatkan Nazwa rasa amat kecewa terhadap lelaki yang amat dicintainya itu.
“Sayang... Riz minta maaf banyak-banyak kerana terpaksa tinggalkan sayang sorang-sorang beberapa malam ni. Riz terpaksa ikut ayah dan mama tidur kat hotel,” ujar Ahmad Saifulrizwan sambil memegang kedua-dua belah bahu Nazwa.
“Kenapa Riz tak beritahu sahaja mereka yang kita dah kahwin?” soal Nazwa agak terkilan.
“Masanya belum sesuai lagi sayang. Riz tak mahu percutian ayah dan mama di sini rosak hanya kerana berita yang kita sampaikan tu.”
“Habis tu, sampai bila kita nak rahsiakan perkahwinan kita ini?”
“Sabarlah, sayang. Riz janji, bila masa dah sesuai nanti, Riz pasti akan beritahu mereka dan kenalkan sayang sebagai menantu mereka. Berilah Riz sedikit masa lagi. Tambahan, sayang pun belum beritahu ibu bapa sayang, kan? Jadi Riz rasa, elok kita beritahu kedua ibu bapa kita apabila kita telah benar-benar bersedia untuk berhadapan dengan mereka,” pujuk Ahmad Saifulrizwan.
“Sampai bila? Sampai bayi dalam perut Naz ni lahir?” Nazwa terus mendesak dengan nada yang agak kecewa.
“Sayang... tolong percaya pada Riz. Berilah Riz sedikit masa lagi.”
“Tapi, bila? Adakah Riz mahu anak kita nanti tak kenal atuk dan neneknya? Ataupun memang Riz tidak menginginkan bayi ini?” soal Nazwa dengan suara yang agak bergetar menahan sendu.
Nazwa sendiri tidak tahu mengapa dia cepat benar terasa hati dengan suaminya sejak dia disahkan mengandung dan kini sudah pun berusia hampir enam minggu.
“Naz, janganlah cakap macam tu. Riz sayang sangat bayi kita ni, malah Riz rasa macam dah tak sabar nak tunggu dia lahir. Tapi untuk memberitahu keluarga kita tentang perkahwinan ini, Riz harap sangat Naz dapat bersabar sedikit masa lagi.
Riz yakin, bayi kita ini akan membawa rezeki pada kita untuk memudahkan kita bersemuka dengan kedua keluarga kita kelak,” pujuk Ahmad Saifulrizwan lagi sambil mengusap lembut perut Nazwa yang masih leper itu.
“Okey, kalau Riz tak tidur rumah beberapa hari ni, Naz pun tak nak tidur kat rumah ni,” balas Nazwa dengan nada tegang.
“Naz nak ke mana? Bukankah Naz masih ada kelas lagi sebelum final exam?” soal Ahmad Saifulrizwan, agak terperanjat.
“Naz nak tidur kat rumah Shila dan Joane. Naz nak ikut mereka pergi birthday party Rosalind malam esok,” jawab Nazwa, sengaja mahu membalas dendam pada suaminya.
“Naz nak pergi rumah Rosalind naik apa?”
“Ikut sahaja Shila dan Joane naik apa-apa pun,” ujar Nazwa selamba.
“Riz rasa, eloklah Naz jangan pergi. Dengan keadaan Naz yang sering pening-pening tu, Riz risau kalau terjadi apa-apa pada Naz nanti,” ujar Ahmad Saifulrizwan, terus memujuk isteri tercinta.
“Ah, kalau Riz risau, kenapa sanggup tingalkan Naz sorang-sorang kat rumah ni?” tempelak Nazwa.
“Macam yang Riz cakap. Bukan Riz sengaja tetapi Riz terpaksa sebab ayah dan mama Riz ada kat London. Tapi bukanlah lama sangat, tiga malam sahaja. Lepas tu ayah dan mama nak terus ke Dubai. Ada urusan sikit,” ujar Ahmad Saifulrizwan cuba menerangkan agar isterinya memahami keadaannya sekarang.
“Emm... suka hati Rizlah apa Riz nak buat tapi Naz tetap ikut Shila dan Joane pergi birthday party Rosalind tu,” dengus Nazwa seolah-olah sudah bosan mahu bersoal jawab dengan suaminya.
Nazwa benar-benar tidak sangka yang kandungannya begitu rapuh sehingga dia boleh mengalami keguguran. Dia tergelincir semasa keluar dari kereta Joane ketika mereka baru balik dari rumah Rosalind.
Nazwa terpaksa dirawat di hospital selama dua hari. Dia telah banyak kehilangan darah akibat keguguran itu. Ahmad Saifulrizwan benar-benar kecewa dengan apa yang telah berlaku.
Dia mengharapkan kelahiran bayi ini agar ibu bapanya dapat menerima pernikahan mereka dan cucu yang dilahirkan. Namun impiannya musnah sama sekali.
Apa yang amat mengecewakan Ahmad Saifulrizwan ialah sikap degil Nazwa. Dia sanggup pergi menuruti kawan-kawannya hanya disebabkan marah padanya.
“Sekarang, puaslah hati Naz!” tempelak Ahmad Saifulrizwan.
Ketika itu mereka sedang makan malam selepas hampir sebulan peristiwa yang amat mengecewakan itu berlaku.
Nazwa hanya tunduk tanpa suara. Tidak berani menentang mata suaminya yang kelihatan amat kecewa dengan sikapnya yang degil itu. Disebabkan itu mereka kehilangan cahaya mata yang diharapkan dapat membawa sinar dalam perkahwinan mereka.
“Naz tahu tak, betapa Riz mengharapkan bayi itu. Setidak-tidaknya, dapat memberi sinar di dalam usaha Riz memberitahu ayah dan mama pasal perkahwinan kita. Kalau sudah ada cucu yang comel, pasti ayah dan mama takkan menolak perkahwinan kita.
Tetapi sekarang segalanya telah hancur. Hancur! Sebab sikap degil Naz tu. Kalau Naz tak pergi ke birthday party Rosalind tu, mungkin bayi kita masih ada.” Dengan suara yang lirih Ahmad Saifulrizwan berkata lagi apabila Nazwa terus menyepi.
“Maafkan Naz, Riz! Naz tahu, Naz bersalah kerana melawan arahan Riz tempoh hari, tapi Naz...” Terhenti kata-kata Nazwa di situ.
Dia tidak berani mahu menyatakan kekecewaannya di atas sikap Ahmad Saifulrizwan yang lebih mementingkan kehadiran ibu bapanya di London daripada bersamanya. Dia kan isterinya yang sah.
“Tapi apa?” soal Ahmad Saifulrizwan.
“Riz takkan faham perasaan Naz ketika itu,” jawab Nazwa perlahan.
“Adakah Naz faham perasaan Riz ketika itu?” bidas Ahmad Saifulrizwan pula.
Nazwa terkedu. Tidak tahu apa yang harus dikatakan.
“Naz lebih pentingkan diri sendiri dan perasaan Naz aje. Entah-entah memang Naz tak mahu zuriat Riz ni,” sindir Ahmad Saifulrizwan.
“Riz! Jangan tuduh Naz macam tu! Naz sayang sangat kandungan Naz tu dan sebab itulah Naz mahu Riz sentiasa ada bersama Naz masa tu. Riz yang pentingkan diri sendiri sehingga sanggup tinggalkan Naz hanya untuk bersama ayah dan mama Riz. Kenapa Riz asyik nak salahkan Naz aje?” sembur Nazwa.
Dia sudah tidak tahan lagi menahan sabar. Tanpa disedari air matanya berlinangan jatuh ke pipi.
“Riz bukan tinggalkan Naz di tepi jalan. Lagipun bukannya lama. Hanya tiga hari aje. Naz yang terlalu emosional. Terlalu pentingkan diri sendiri. Adakah Naz mahu Riz jadi anak derhaka hanya untuk menjaga hati isteri yang langsung tidak mahu bertolak ansur,” bidas Ahmad Saifulrizwan lagi bagaikan air mata isterinya itu tidak memberi apa-apa bekas di hatinya.
Nazwa terkedu lagi. Benarkah aku terlalu emosional dan mementingkan diri sendiri sehingga suamiku berada dalam keadaan susah? Getus hati kecil Nazwa terus tertanya-tanya akan kebenaran kata-kata suaminya itu.
“Dahlah Naz! Riz malas nak bertekak lagi pasal ni! Suka hati Nazlah apa Naz nak buat sekarang,” ujar Ahmad Saifulrizwan lalu melangkah keluar.
Nazwa terdiam. Dia amat kesal dengan perbuatan keanak-anakannya. Kalaulah dia tidak mengikut rasa rajuknya itu, mungkin dia tidak akan kehilangan bayi yang di dalam kandungannya itu. Mungkin juga Ahmad Saifulrizwan tidak akan menyalahkannya. Nazwa hanya mampu menarik nafas panjang dan kemudian menelan air liurnya apabila melihat kelibat Ahmad Saifulrizwan hilang di balik pintu rumah yang sudah tertutup rapat.

Monday, October 13, 2014

Umur bukan halangan...

I may not be a champion, but I can be a good companion.
I may not be able to give the best, but read my novels and you can have a good rest...


Alhamdulillah... Sesungguhnya rezeki ALLAH itu amat luas dan tiada batasannya sekiranya DIA berkehendak memberinya kepada sesiapa sahaja yang DIA kehendakki. Maka marilah kita terus berusaha mencari rezeki yang halal dan jangan mudah berputus asa sekiranya rezeki yang kita harapkan itu masih belum kunjung tiba. Pasti ada hikmah disebaliknya kerana ALLAH itu maha mengetahui segalanya. Semoga ALLAH akan terus merahmati dan memberkati hidup kita selamanya dari dunia hingga akhirat... Aamiinn...

Monday, September 29, 2014

We're not alone...

When there's no one around us, it doesn't mean we're alone,
When we lost something that we really loved, it doesn't mean we lost everything,
When we can't get what we aimed, it doesn't mean it's the end.

Because... 
ALLAH knows everything, 
ALLAH knows what is best for us, not what we think is good, 
ALLAH knows that we may forget HIM if we get everything,
ALLAH gives us what we actually need not what we want,
ALLAH loves us, that's why ALLAH tested us so we will always come back to HIM.

Remember...
ALLAH created us and HE knows everything about us,
ALLAH gives us everything we need to live even though we may against HIS orders.

Thus...
Pray to ALLAH,
Ask for HIS forgiveness,
Ask for HIS loves,
Ask for HIS blessing,
Ask for HIS assistance,
As ALLAH will never ignore our requests, as other people would be. 

Alhamdulillah... Thank you ALLAH for all YOUR loves, blessings and gifts that we're enjoying now and ever after.


Hanya ALLAH Tuhan yang kami sembah, tiada Tuhan lain melainkan ENGKAU, Ya ALLAH. Redhailah kami, rahmatilah kami dan berkatilah hidup kami dari dunia hingga ke akhirat. Masukkanlah kami ke syurga Firdaus MU dengan tanpa hisab... Aaamiinnn...