Wednesday, July 22, 2015

Carilah redha ibu bapa untuk mendapatkan redha ALLAH...

Masih segar dalam ingatan NekCun satu komen yang diungkap oleh seorang 'VIP' yang telah di'viral'kan oleh pengguna2 media sosial iaitu 'tak payah balik kampung kalau budget tak cukup'. Namun apa yang NekCun nak coretkan bukanlah samada komen itu wajar atau tidak tetapi adalah lebih kepada apakah impak yang terjadi akibat dari komen itu.

Mungkin ramai antara kita yang tidak bersetuju dengan komen tersebut kerana kalau mengikut dari segi akhlak dan silaturrahim dengan kaum keluarga memanglah tidak wajar hakikatnya. Adakah hanya sebab mahu jimat belanja kita perlu mengguris hati kedua ibu bapa dengan tidak menziarahi mereka ketika menyambut syawal ini? Sudahlah hari-hari biasa pun kita amat jarang untuk menziarahi mereka, takkanlah ketika menyambut syawal ni pun kita perlu melupakan mereka hanya kerana nak jimat belanja? Mahukah kita terhalang untuk masuk syurga hanya kerana kita telah mengguris hati kedua ibu bapa kita sebab tidak mahu balik kampung ketika mereka amat mengharapkan kehadiran kita?

Tetapi, siapakah yang perlu disalahkan dalam perkara ini jika memang kita benar-benar tidak mampu untuk balik ke kampung? Nak membeli keperluan harian anak isteri pun ada yang tak cukup, apa tah lagi nak belanja untuk pengangkutan, tol, minyak kereta dan sebagainya untuk sampai ke kampung. Dengan kenaikkan harga semua keperluan dengan bermacam-macam alasan yang diberikan oleh kerajaan, haruskah kita dipersalahkan sekiranya kita terpaksa mengguris hati ibu bapa kita kerana memang benar-benar tidak mampu untuk balik ke kampung menziarahi mereka?... 

Nekcun yakin inilah dilema yang dihadapi oleh ramai di kalangan rakyat marhaen masa kini. Terutamanya yang bekerja di Lembah Klang di mana semuanya mahal. Sewa rumah mahal, apatah lagi nak beli rumah yang harganya memang berkali-kali ganda dengan harga di luar bandar atau di negeri lain. Sebuah rumah pangsa di Lembah Klang sama harganya dengan sebuah rumah teres di negeri-ngeri lain. Bayangkanlah betapa peritnya seorang yang bergaji bawah RM3,000 mahu membeli rumah di Lembah Klang. Itu belum lagi harga tambang pengangkutan awam, apatah lagi untuk membeli sebuah kereta. Belum lagi harga keperluan harian dan macam-macam lagi yang semuanya berganda-ganda kenaikkan harganya dari setahun dua yang lalu.

Namun, ketika NekCun balik dari kampung pada hari Isnin lalu setelah 4 hari di kampung, NekCun lihat lebuhraya utara selatan masih penuh dengan kenderaan yang bermacam2 jenis. Lebuhraya sesak teruk sehinggakan beberapa kali kereta terpaksa berhenti tidak bergerak di atas jalan raya kerana kesesakan yang terlampau sepanjang lebuh raya walaupun hari raya telah masuk hari yang ke 5. Keadaan itu tidak langsung membayangkan kerisauan kita tentang tidak cukup wang untuk balik kampung ketika menyambut syawal ini. Kesesakkan itu bukan hanya sehari tetapi berlaku beberapa hari. Itu menunjukkan bahawa entah berapa juta kenderaan yang menggunakan lebuhraya semasa menyambut syawal ini untuk balik ke kampung masing-masing.

Adakah itu tanda kita lebih mementingkan menjaga hati ibu bapa untuk mendapat keredhaan mereka dengan tekad "apa jadi pun, aku tetap akan balik kampung. Jumpa emak bapa aku!.." Dan adakah itu juga menandakan kita lebih mementingkan kredhaan ibu bapa daripada keperluan kita sendiri kerana kita percaya "ALLAH akan redha dengan kita kalau ibu bapa kita redha pada kita"... "Jika kita sanggup berkorban untuk ibu bapa kita, pasti ALLAH akan lapangkan dan tambah rezeki kita."... 

Hakikat yang sebenarnya, memang itulah yang sepatutnya kita lakukan. Kita wajib yakin akan kekuasaan ALLAH dan kasih sayangnya pada hamba-hambanya yang sentiasa bertawakal kepadaNYA. Hamba-hambanya yang sentiasa menurut perintahNYA dan sentiasa yakin bahawa rezeki kita adalah DIA yang menentukannya. Jika ALLAH redha dengan kita kerana ibu bapa kita redha dengan kita, pasti akan ada jalan keluar walau apa pun masaalah yang kita hadapi di dalam mengharungi kehidupan yang penuh ranjau dan duri ini. Jadi ambillah peluang menyambut syawal ini untuk mendapat keredhaan kedua ibu bapa agar ALLAH akan juga meredhai kita.

Ingatlah... duit boleh dicari tetapi kedua ibu bapa tidak ada galang gantinya. Syurga seorang anak adalah di telapak kaki ibunya, maka jagalah telapak itu agar pintu syurga ALLAH akan sentiasa terbuka untuk kita... Wallahualam...   

No comments: