Wednesday, April 10, 2013

SEINDAH TAKDIR CINTA

Alhamdulillah!... Terima kasih ALLAH... Dengan rahmat dan pertolonganNYA maka akhirnya lahir jugalah novel nekcun yang ke tujuh bertajuk SEINDAH TAKDIR CINTA terbitan Buku Prima dari Grup Buku Karangkraf. InsyaALLAH ianya akan mula berada di pasaran mulai 30/4/2013 nanti dan juga bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) nanti.

Hakikatnya memang nekcun teruja sangat menunggu kelahiran novel ini kerana ketika mula menggarap manuskripnya dulu, niat utama nekcun adalah untuk berkongsi sedikit ilmu yang ALLAH beri pada nekcun bagi mendidik dan juga menarik remaja-remaja yang tersasar ke pangkal jalan. Di samping itu, SEINDAH TAKDIR CINTA juga banyak memaparkan kisah tauladan dan tip-tip yang boleh dimanfaatkan oleh ibu bapa di dalam membina keluarga yang diredhai ALLAH dari dunia hingga akhirat.

Secara dasarnya nekcun cuba mengupas erti CINTA dalam kehidupan setiap insan bernama manusia di dalam skop yang lebih luas. Bagi nekcun, rasa cinta adalah sesuatu yang unik yang ALLAH anugerahkan kepada setiap manusia kerana hanya dengan rasa cinta yang ikhlas manusia akan dapat hidup dengan aman dan bahgia bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat. Rasa Cinta yang ikhlas kepada ALLAH dan RasulNYA akan banyak mempengaruhi bagaimana rasa cinta antara manusia dapat dinikmati keberkatannya. 

Di kesempatan ini nekcun turunkan sinopsis novel SEINDAH TAKDIR CINTA untuk rujukan sahabat2 semua;-


Mia Karmila, anak gadis kesayangan Dato’ Kamal dan Datin Mariam yang biasa hidup dengan cara moden dan penuh kemewahan, langsung tidak menyangka pertemuannya dengan seorang pemandu teksi bernama Shahriman telah berjaya merubah keseluruhan cara hidupnya. Dari seorang gadis moden dan sosial telah dalam sekelip mata mahu berjihad mengumpul saham akhirat. Tanpa mereka sedari, melalui beberapa pertemuan yang tidak pernah dirancang telah membenihkan bibit-bibit cinta yang tulus dalam hati mereka.

Manakala Adrian, satu-satunya anak lelaki Tan Sri Affendy dan Puan Sri Zalina terus tidak berputus asa untuk menjinakkan Mia Karmila sebagai kekasih yang dapat memenuhi kerakusan nalurinya sebagai seorang lelaki mancho, bergaya dan kaya raya, walaupun ramai perempuan lain yang lebih dari bersedia untuk memenuhi segala kehendak Adrian itu.

Perubahan sikap Mia Karmila benar-benar mencabar kelelakian Adrian sehingga dia bertekad, walau apa jua pun syarat yang diminta oleh Mia Karmila, Adrian tidak peduli. Yang pasti Mia Karmila mesti jadi miliknya. Tekad Adrian menjadi bertambah kuat apabila kedua ibu bapanya dan juga ibu bapa Mia Karmila bagaikan menggalakkan dan merestui niatnya itu.

Dalam kepayahan dan kepiluan yang mencengkam jiwa, Mia Karmila terpaksa juga akhirnya menerima ijabkabul Adrian apabila lelaki itu telah berjaya memenuhi setiap syarat yang dipintanya. Pilu di hati Mia Karmila bertambah parah apabila mengetahui bahawa Shahriman bagaikan dalang yang membolehkan Adrian menikahinya. Siapakah Shahriman sebenarnya?...

Namun hanya ALLAH yang sesungguhnya maha mengetahui segala apa yang diaturkannya. Adrian terpaksa di masukkan ke hospital sebaik sahaja dia dan Mia Karmila dinikahkan. Sebagai seorang gadis solehah, Mia Karmila sedar akan tanggung jawabnya di sisi Adrian kini seandainya Syurga ALLAH adalah tujuan destinasinya.

Dengan itu Mia Karmila bertekad menjadi seorang isteri yang sentiasa diredhai oleh suaminya untuk mendapatkan Syurga ALLAH itu. Maka dengan seikhlas hatinya Mia Karmila cuba melupakan Shahriman dan terus tabah menjaga Adrian di hospital.

Bagaimanakah dapat Mia Karmila meneruskan hari-hari kehidupannya menjaga Adrian di hospital manakala hubungan Shahriman dengan keluarga Adrian semakin rapat, dan  dengan itu juga membuatkan dia dan Shahriman sering bertentang mata.

Ia juga bagaikan luka lama berdarah kembali bagi Shahriman ketika menemankan Adrian dan Mia Karmila serta ibu bapa mereka menunaikan Ibadah Umrah di Mekah. Shahriman benar-benar tidak mampu lagi untuk terus menyorokkan segala derita jiwa dan hatinya yang gersang selama ini apabila melihat gadis yang pernah bertahta di hatinya itu menerima segala ujian dan dugaan ALLAH dengan begitu ikhlas dan tulus.

Demi cintanya pada Mia Karmila yang tidak pernah luak walau sezarah pun, Shahriman terus berusaha untuk mendapatkan kembali cinta itu walau pun dia tahu cinta Mia Karmila kini hanyalah untuk Adrian apabila kedua suami isteri itu mengakuinya di hadapan Baitullah.

Berjayakan Shahriman memujuk dan mendapatkan kembali cinta Mia Karmila yang pernah direlakannya untuk diberikan kepada Adrian? Hanya SEINDAH TAKDIR CINTA yang akan dapat memberikan jawapannya.    

Nekcun amat berharap sahabat2 semua akan memberi sokongan padu terhadap novel ini. Ianya amat sesuai untuk dibaca oleh semua golongan masyarakat dan peringkat umur. Semoga novel ini akan dapat memberi kebaikkan dan manafaat kepada setiap pembacanya di dalam mengharungi kehidupan yang penuh pancaroba di dunia yang fana ini... Ameennn...

    

Wednesday, March 13, 2013

Tahniah Wira-wira ku!...

Hati nekcun memangnya akan mudah sebak setiap kali membaca berita mengenai para 'wira-wira' kita yang terkorban di Lahad Datu & Semporna, Sabah baru-baru ini. Sesungguhnya memang nekcun sentiasa mendoakan roh-roh mereka itu akan dimasukkan ke dalam golongan para syuhada'...InsyaALLAH. 

Hati nekcun juga turut gembira apabila pihak Kerajaan mengikhtiraf akan segala usaha dan perngorbanan anggota-anggota keselamatan iaitu PDRM dan juga ATM dengan menaikkan gaji mereka setara dengan lain-lain jawatan perkhidmatan awam.

Bagi nekcun imbuhan itu sepatutnya telah lama dahulu diberikan kepada mereka dan bukannya setelah berlaku perkara yang tidak kita ingini baru-baru ini, kerana secara dasarnya nekcun berpendapat bahawa anggota2 PDRM & ATM inilah yang sebenarnya layak diberi imbuhan yang tinggi kerana kesediaan mereka mengambil resiko yang tinggi bagaikan menggadaikan nyawa ketika melaksanakan tugas-tugas mereka jika dibandingkan dengan pegawai-pegawai jawatan perkhidmatan awam yang lain yang duduk di dalam bilik pejabat yang selesa dengan hawa dingin dan perabut2 yang lengkap. 

Tidak dinafikan setiap kerja dan jawatan itu ada nilai tugas dan tanggung jawabnya masing-masing. Tetapi, cubalah kita bayangkan kalau semua orang di Malaysia ini hanya mahu jadi pegawai yang duduk di pejabat dan tiada siapa yang mahu mengambil resiko untuk menggadaikan nyawa mereka sebagai wira-wira yang perlu berhadapan dengan perlbagai kemungkinan di dalam menjaga keamanan negara, apakah akan jadi pada kita semua dan juga tanah airku yang tercinta ini? Maka tidak dapat nekcun nafikan bahawa pengorbanan seorang anggota polis atau tentera itu adalah lebih mulia dan bernilai dari seorang pegawai yang duduk di bilik pejabat yang selesa.

"Alaahh... kau tu pandai cakap jer!... Kalau betul begitu kenapa dulu kau tak masuk jadi polis atau pun askar?" kedengaran seorang mengejek nekcun ketika kami berbicara tentang perkara itu.

"Aku mengaku aku tidak seberani mereka, sebab itulah aku tak jadi askar atau polis. Jadi sebab itulah aku amat mengkagumi mereka-mereka yang benar-benar ikhlas & jujur ketika melaksanakan tugas-tugas mereka sebagai anggota tentera atau polis. Aku sentiasa menganggap mereka sebagai 'mujahid' semasa menjalankan tugas-tugas mereka kerana mereka sanggup mengambil resiko atas nyawa mereka untuk kebaikkan dan keselamatan orang lain. Bukankah itu 'berjihad' namanya?" soal nekcun agak emosional.

"Bukankah 'mujahid' atau 'berjihad' itu hanyalah bagi orang-orang yang sukarela berkorban untuk menegakkan Kalimah ALLAH atau tugas-tugas ke jalan ALLAH? Anggota2 tentera dan polis di bayar gaji untuk bertugas, jadi memang patutlah mereka menjalankan tugas-tugas yang dipertanggung jawabkan kepada mereka!.." komen seorang lagi kawan nekcun.

"Betul, mereka di bayar gaji. Tetapi kita harus faham bahawa makna 'jihad' itu adalah amat luas. Setiap perbuatan atau kerja yang diniatkan kerana ALLAH dan dilaksanakan untuk memberi kebaikkan atau manafaat kepada orang lain adalah juga dianggap sebagai 'jihad'. Cumanya 'degree' jihad itu yang berbeza-beza..."

"Maksudnya?..."

"Jika kita melaksanakan sesuatu tugas itu kerana mengikut perintah ALLAH dan ditambah pula hasil dari tugas kita itu akan banyak memberi manfaat atau kebaikkan kepada orang ramai, sementara kita pula terpaksa mengambil resiko yang tinggi untuk melaksanakan tugas-tugas itu, maka pastinya ALLAH akan memberi pahala atau balasan yang lebih tinggi dan mulia berbanding tugas-tugas yang tidak memerlukan resiko yang tinggi..."

"Secara dasarnya semua kerja yang kita laksanakan yang tidak menyalahi syariat Islam adalah sebagai 'berjihad'. Contohnya, seorang lelaki bekerja sebagai pegawai pentadbir yang duduk di pejabat yang selesa tanpa sebarang bahaya kerana untuk mencari rezeki yang halal untuk menyara anak isterinya adalah juga satu 'jihad' kerana menyara anak isteri itu adalah perintah ALLAH. Manakala, seorang lelaki yang bekerja sebagai anggota tentera juga bekerja untuk mencari rezeki yang halal untuk menyara anak isterinya tetapi tugasnya memerlukan resiko yang tinggai terhadap nyawanya sendiri dan hasil tugasannya itu pulak dapat memberi kebaikkan bukan sahaja kepada anak isterinya tetapi juga kepada orang ramai atau negara, maka sudah pastinya nilai pengorbanan kedua jawatan itu adalah berbeza..."

Bagi pemikiran nekcun berdasarkan ilmu yang sedikit yang telah nekcun perolehi dari ustaz2 & ustazah2, memang setiap kerja dan tugas itu adalah 'jihad' sekiranya kita laksanakan kerana mengikut perintah ALLAH dan dapat memberi kebaikkan kepada orang lain sebagaimana yang diwajibkan dalam Islam. Hanya tahap ketinggian nilai 'jihad' itulah yang berbeza-beza. Bagaimana pun nekcun tidak berani untuk menghuraikan dengan lebih lanjut kerana nekcun bukanlah seorang yang arif atau yang layak untuk mempertikaikan hukum-hukum ALLAH itu.

Namun nekcun yakin ALLAH itu maha mengetahui dan maha adil, maka pastinya orang-orang yang lebih berkorban untuk kebaikkan orang lain akan mendapat lebih kerahmatan dan keredhaan ALLAH. Dan sebab itu jugalah nekcun tetap berpendapat bahawa tugas seorang anggota tentera dan polis itu adalah lebih tinggi nilai 'jihad'nya berbanding dengan jawatan-jawatan perkhidmatan awam yang lain.... Wallahualam.

Semoga ALLAH akan sentiasa memelihara keselamatan anggota-anggota tentera dan polis Malaysia yang sentiasa bertungkus lumus menjaga keselamatan dan kesejahteraan tanah air tercinta ini dan semoga para wira yang telah gugur itu akan termasuk ke dalam golongan para syuhada'... Ameennn...           

Sunday, February 17, 2013

Sahabat sejati atau hanya seorang kawan?...

Tersentuh benar hati nekcun apabila  menerima satu email yang nekcun ingatkan 'spam' kerana tidak pernah melihat email address itu. Namun untuk mengetahui lebih lanjut, nekcun teruskan jugalah membaca email tersebut dan akhirnya barulah nekcun sedar bahawa email itu dihantar oleh seorang sahabat nekcun ketika kami sama-sama belajar di sekolah rendah dulu tetapi telah terpisah apabila kami memasukki sekolah menengah di tempat yang berasingan.

Sejak itu kami terpisah kerana nekcun tinggal di asrama sedangkan dia pula berpindah ke lain negeri kerana ayahnya bertukar tempat kerja. Dia memberitahu yang dia mendapat email nekcun melalui seorang kawannya yang juga sahabat fb nekcun dan juga peminat novel2 nekcun. Oh!.. betapa besarnya kuasa ALLAH yang boleh menemukan seorang sahabat dengan sahabat yang lain hanya melalui petikkan jari di atas keyboard komputer. Maka terjalinlah kembali silaturrahim yang telah terputus hampir lebih dari 40 tahun.

Apa yang amat menyentuh hati nekcun ialah apabila sahabat itu menuliskan beberapa ciri-ciri sahabat yang perlu kita renung-renungkan samada kita ini seorang 'sahabat' ataupun hanya seorang 'kawan'. Sahabat sejati adalah:-

1) Jika kita membantu dia, dia pasti akan membantu kita balik.
2) Jika kita rapatkan persahabatan, dia pasti akan balas balik persahabatan itu.
3) Jika kita memerlukan pertolongan, dia akan dengan senang & rela hati menolong.
4) Jika kita hulurkan kebaikkan, dia terima seadanya.
5) Jika dia menerima bantuan dari kita, dia menghargainya & akan selalu menyebut2 kebaikkan itu.
6) Jika dia melihat sesuatu yang buruk dari kita, dia akan tutup rapat2 aib kita itu.
7) Jika kita meminta bantuan, dia akan berusaha membantu walaupun dia sendiri kesusahan.
8) Jika kita berdiam diri kerana malu hendak meminta, dia akan bertanya kesusahan kita itu.
9) Jika kita ditimpa sesuatu bencana, dia akan meringankan kesusahan kita itu.
10) Jika kita berkata kepadanya, dia akan mem'benar'kan kata-kata itu dan menasihati kita jika kata-kata kita itu adalah yang tidak baik.
11) Jika kita merancang sesuatu (yang baik), dia akan membantu kita merialisasikan rancangan itu. 
12) Jika berselisih faham, dia akan lebih senang mengalah untuk menjaga persahabatan.

Marilah kita renung-renungkan, adakah kita atau sahabat-sahabat kita mempunyai ciri-ciri di atas yang mana boleh dianggap sebagai sahabat sejati, sebagaimana 'para sahabat Rasulullah' dahulu. Sekiranya tiada, di manakah harus kita mencarinya? Adakah pada sahabat-sahabat kita yang sedia ada sekarang ini atau pun pada diri kita sendiri terlebih dulu? Fikir-fikirkanlah.... Wallahualam  

Monday, January 28, 2013

Adilkah melabelkan Novel Popular sebagai 'picisan'?

Berdetap juga hati nekcun menahan geram apabila membaca komen/kritikan seorang penulis dalam Mingguan Malaysia 27/1/2013 berkenaan 'Penulisan Picisan' yang diadaptasikan ke filem atau drama. Bagi nekcun komen-komen beliau itu adalah amat 'bias' tanpa penyelidikkan yang teliti.

Bukan kerana nekcun ini seorang novelis sehingga menyebabkan nekcun merah muka menahan marah tetapi meletakkan diri nekcun sebagai seorang pembaca, nekcun merasakan apa yang dikomen oleh penulis itu tidak boleh diambil kira sebagai 100% betul walaupun ada beberapa fakta yang beliau katakan ada kebenarannya.

Pada pendapat nekcun, melabelkan novel-novel popular sebagai 'Penulisan Picisan' adalah agak keterlaluan kerana tidak semua novel-novel popular memaparkan kisah cinta murahan. Dan apa yang terjadi apabila novel-novel ini diadaptasikan ke dalam lakonan drama atau filem, tidak dinafikan banyak apa yang sebenarnya tertulis di dalam novel telah disalah gambarkan oleh pihak penerbitan drama/filem sehingga ada beberapa drama yang diadaptasikan dari novel-novel popular telah benar-benar lari dari cerita asal yang dituliskan di dalam novel. Dan itu dengan tidak secara langsung telah memesongkan 'message' asal yang dikemukakan oleh penulis novel sehingga penonton drama/filem menganggap cerita yang ditonjolkan adalah penulisan picisan.

Anggapan begitu adalah amat tidak adil, lebih-lebih lagi jika penonton atau pun pengekritik hanya melihatnya melalui lakonan drama/filem yang ditonjolkan sahaja tanpa terlebih dahulu menghayati apa yang sebenarnya tertulis di dalam novel berkaitan.

Maka, sukalah nekcun mengajak semua pengkritik-pengkritik penulisan atau drama/filem supaya tidak mem'bundle'kan semua novel popular sebagai penulisan picisan sebelum tuan/puan sendiri membaca dan menghayati tulisan yang dipaparkan dalam novel yang asal. 

Sebagai contohnya, semua novel-novel nekcun memang tidak lari dari menceritakan tentang cinta kerana sebagai manusia kita tidak boleh lari dari cinta. Cinta bukan sahaja antara lelaki dan perempuan tetapi cinta juga ujud di hati manusia untuk ALLAH dan RasulNYA. Maka dengan itu setiap penulisan novel tidak boleh lari dari memperkatakan tentang cinta. Namun apa yang sering nekcun tonjolkan adalah kisah-kisah yang boleh dijadikan tauladan dan iktibar disamping ilmu-ilmu yang boleh dimanfaatkan oleh pembaca untuk lebih mendekatkan diri kepada ALLAH dan RasulNYA. 

Cinta manusia kepada ALLAH dan RasulNYA hanya dapat dihayati dan dirasakan oleh kita apabila ianya digambarkan melalui kisah-kisah yang terjadi antara cinta sesama manusia yang mana ianya dapat kita lihat dan rasakan. Jika rasa cinta kepada ALLAH dan RasulNYA tidak kita gambarkan melalui watak-watak manusia, bagaimana manusia akan dapat menghayatinya kerana sudah menjadi fikrah manusia bahawa mereka akan lebih rasa terkesan apabila sesuatu dalam dilihat atau dirasakan.  

Bagaimana pun, apa yang nekcun tuliskan ini adalah sekadar pendapat peribadi nekcun. Maka terserahlah kepada kekawan semua untuk menilainya sendiri. Namun apa yang nekcun harapkan adalah agar para pengkritik tidaklah sewenang-wenangnya melabelkan semua novel popular sebagai penulisan picisan sekiranya dia sendiri belum membaca atau menghayati novel-novel tersebut. Tidak dinafikan kritikan yang membina akan mendorong kepada peningkatan kemajuan yang lebih tinggi, tetapi berilah kritikan yang adil berdasarkan fakta-fakta yang betul dan bukan mengambil sesuatu itu secara 'pakai borong' sahaja.

Nekcun sentiasa mendo'akan dunia penulisan novel popular di Malaysia ini akan terus maju dengan penghasilan novel-novel yang berkualiti di dalam usaha mendidik pembaca dan anak bangsa kepada manusia yang lebih berguna di dunia hingga akhirat. InsyaALLAH...

Monday, December 17, 2012

Haruskah kita membiarkan 'Qarun' ada di M'sia ini?

Hati Nekcun benar-benar tersentuh apabila membaca Sirah Nabi Musa apabila sampai kepada cerita berkenaan saudaranya (sepupunya) yang bernama Qarun. Nekcun yakin semua orang tahu siapa Qarun ini kan? Dia ialah orang yang kaya tetapi tamak sehingga melupakan ALLAH dan akhirnya ALLAH telah menenggelamkan dia bersama-sama semua hartanya ke dalam dasar bumi dan itulah apa yang kita kenali sekarang sebagai Tasek Qarun, di Mesir.

Hati Nekcun jadi tambah terharu apabila mengenangkan bahawa sudah ramai sekarang ini orang-orang seperti Qarun ini di negara kita. Mereka sebuk mengumpul harta sehingga lupa pada ALLAH pemilik sekelian alam ini sehingga merasakan bahawa segala kekayaan yang mereka ada itu adalah hak mereka selamanya. Mereka jadi tamak dan lupa bahawa harta yang mereka perolehi itu adalah semua hak ALLAH yang ALLAH pinjamkan sahaja kepada mereka di dunia ini. 

Dan sebab itu jugalah ALLAH memerintahkan agar orang-orang yang berharta ini mengeluarkan zakat sebahagian dari harta-harta mereka dan juga membanyakkan sedekah kepada orang-orang miskin, tetapi apa yang terjadi adalah sebaliknya. Mereka jadi tamak dan terus berebut-rebut mengumpul harta sehingga ada yang sanggup menzalimi orang lain di dalam mengumpul harta dan kekayaan. Tidakkah orang-orang seperti ini ingat apa yang terjadi kepada Qarun yang tamak itu?... Nekcun rasa bukan mereka tidak ingat tetapi perasaan tamak yang dikuasai oleh syaitan itu lebih kuat mempengaruhi nafsu mereka daripada iman yang dapat mengawal mereka dari terus kesesatan... Mereka jadi lupa akan kisah Qarun yang telah dilaknat ALLAH... Na'uzubillah...

Suka Nekcun berkongsi pasal cerita siapa Qarun ini sebenarnya. Pada asalnya Qarun ini adalah seorang yang amat rapat dengan Nabi Musa dan ta'at kepada perintah ALLAH. Di masa sahaja Nabi Musa bersolat, Qarun pasti ada di sebelahnya. Memandangkan kehidupan dia yang terus miskin walau pun bekerja keras, Qarun telah memohon kepada Nabi Musa supaya mendo'akannya agar ALLAH akan memberi kekayaan kepadanya. 

Di hadapan Tasik Qarun di Fayyoum, Mesir.
Pada awalnya Nabi Musa agak keberatan dan menasihati Qarun bahawa walaupun miskin tetapi dia adalah lebih baik jika dia sentiasa mendapat keredhaan dari ALLAH. Bagaimana pun Qarun terus merayu dan mengaku bahawa dia akan tetap mentaati ALLAH walaupun kalau dia sudah kaya kelak dan dia juga berjanji bahaya dia pasti akan menolong Nabi Musa untuk terus menegakkan ugama yang diredhai ALLAH dengan kekayaan yang akan diperolehinya jika Nabi Musa mendo'akan agar ALLAH memberikan kekayaan kepadanya.

Dengan berkat doa Nabi Musa dan ALLAH yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang telah pun memakbulkan permintaan Qarun itu. Dari beberapa ekor kambing yang dipeliharanya, ia terus berkembang dan bertambah-tambah hartanya. 

Daripada asalnya Qarun yang tidak pernah tinggal hadir mengerjakan solat berjemaah setiap waktu bersama Nabi Musa, kini dia telah mula terlewat beberapa kali kerana kesibukkan menguruskan harta-hartanya dan lama kelamaan dia sudah mula meninggalkan solat dan tidak lagi berada di sebelah Nabi Musa seperti awalnya.

Bukan setakat mula meninggalkan solat berjemaah, Qarun juga tidak mahu membayar zakat atas harta-hartanya sebagaimana yang dinasihatkan oleh Nabi Musa. Qarun sudah mula lupa diri kerana baginya mengapa harus dia memberikan sebahagian hartanya kepada orang lain sedangkan semua hartanya itu adalah dari usahanya sendiri. Qarun sudah menjadi tamak dan dia sudah mula lupa akan kekuasaan ALLAH yang telah memberikan rezeki itu kepadanya sebelum ini. Qarun sudah tidak mahu lagi mendengar nasihat Nabi Musa dan menganggap dirinya berkuasa melakukan apa sahaja dengan kekayaan yang dimilikkinya. Qarun sudah benar-benar lupa diri dan yang lebih teruk Qarun telah lupa kepada ALLAH SWT.

Qarun lupa bahawa ALLAH adalah pemilik sekelian alam dan berkuasa melakukan apa sahaja yang dikehendakkiNYA. Qarun lupa bahawa ALLAH yang memberi dan DIA juga boleh menarik kembali segala apa yang telah diberikanNYA. Dan ianya sudah terlambat bagi Qarun untuk bertaubat apabila ALLAH telah murka kepadanya dan menenggelamkan dia bersama-sama semua hartanya sehingga tiada siapa pun yang akan dapat menikmati harta-hartanya itu. 

Dan sehingga ke hari ini, kita umat Islam yang beriman kepada ALLAH dapat melihat kekuasaan ALLAH di dalam menghancurkan makhluk yang cuba menentangNYA di mana Tasik Qarun itu masih ada di bumi Mesir dan boleh kita lawati untuk memberi kita peringatan dan iktibar supaya tidak sekali-kali menjadi manusia yang tamak seperti Qarun.

Lanjutan dari kisah Qarun ini, sukacita nekcun menasihati diri nekcun sendiri dan juga semua sahabat handai agar kita sentiasa bermuhasabah diri setiap masa. Adakah kita selalu bersyukur dengan segala rezeki yang telah ALLAH anugerahkan kepada kita dengan menjalankan tanggungjawab kita di dalam mengeluarkan zakat dan juga sedekah dari harta-harta dan kekayaan kita?.. Barakahkah rezeki kita jika apa yang kita perolehi itu adalah atas kesengsaraan orang lain?... 

Mungkin tidak semua orang macam tu, tetapi tidak mustahil juga bahawa ramai pemimpin-pemimpin kita yang hampir-hampir menjadi 'Qarun' apabila sentiasa sibuk mengkayakan 'anak2 dan kroni' sehingga sanggup menzalimi rakyat marhain... Siapa yang peduli jika harga barang keperluan terus-terusan meningkat naik setiap hari?... Ramai anak-anak terbiar dan akhirnya meningkatkan masaalah sosial serta keruntuhan moral kerana ibu bapa sentiasa sebuk mencari rezeki bagi menampung kos sara hidup yang semakin tinggi!... Siapakah yang harus disalahkan?... Marilah kita fikir-fikirkan dan haruskah kita terus membiarkan lebih ramai 'Qarun' berkuasa di tanah air tercinta ini?...  

Wednesday, November 7, 2012

Kerja kerana gaji atau pahala?...

Nekcun teruja betul bila dengar ustaz cakap, semua orang yang bila dia tanya 'mengapa anda bekerja?' menjawab; "nak cari rezeki halal, nak cari nafkah untuk anak bini, nak dapat gaji" atau jawapan2 yang sewaktu dengannya. Tidak ada seorang pun yang menjawab 'saya bekerja kerana nak cari pahala'...

Lama juga nekcun termenung memikirkan komen yang ustaz kata tu. Memang banyak maksud yang tersirat dalam komen itu. Ya... kita manusia disuruh oleh ALLAH untuk berusaha mencari rezeki yang telah ALLAH sediakan di atas muka bumi ini. ALLAH tidak menurunkan emas atau perak dari langit tetapi ALLAH memberi manusia akal dan kudrat tubuh badan untuk mencari rezeki yang ALLAH telah sediakan itu. 

Maka, di dalam mencari rezeki itu, manusia perlu berusaha iaitu bekerja. Dengan itu, bekerja itu adalah perintah ALLAH dan sekiranya kita melaksanakan perintah ALLAH dengan niat ikhlas dan cara yang betul mengikut syariatNYA, maka sudah pasti ALLAH akan memberikan balasan yang sewajarnya kepada kita iaitu rezeki yang halal dan juga pahala untuk bekalan di akhirat, kerana kita telah melaksanakan suruhanNYA. 

Apabila kita membuat satu (1) perkara tetapi mendapat dua (2) balasan, tidakkah itu menyeronokkan? Maka, tidakkah BEKERJA itu satu ibadah yang menyeronokkan?...

Namun, ramai di antara manusia ini yang tidak menganggap bekerja itu sebagai IBADAH. Maka terjadilah ramai orang bekerja hanya mendapat imbuhan duniawi tanpa mendapat sebarang pahala untuk bekalan akhirat kerana banyak kemungkaran yang berlaku ketika mereka melaksanakan kerja. Tambah terok lagi imbuhan yang diterima itu juga yang mungkin akan mengheret mereka ke neraka ketika di akhirat kelak.     

Oleh itu, marilah kita sama-sama muhasabah diri kita samada kita ini termasuk ke dalam gulungan yang manakah antara dua gulungan pekerja iaitu "Pekerja yang dapat gaji belum tentu dapat pahala tetapi Pekerja yang dapat pahala sudah tentu juga dapat gaji..."

Marilah kita jadikan "Bekerja sebagai IBADAH yang menyeronokkan".... Hindarkanlah segala kemungkaran yang mungkin kita lakukan ketika melaksanakan tanggungjawab kita semasa bekerja. Sesungguhnya ALLAH memberi rezeki pada tanggungjawab yang ditunaikan. Jika tanggungjawab yang ditunaikan dengan jujur dan ikhlas mengikut Syariat Islam yang diwajibkan, maka rezeki yang diperolehi adalah rezeki yang berkat. Namun, jika sebaliknya yang dilakukan maka sebaliknya jugalah yang akan berlaku. 

Jadi jangan salahkan orang lain atau masyarakat sekeliling sekiranya keluarga sesorang itu kucar kacir, tetapi tengoklah akan sumber rezeki yang menjadi darah daging dalam tubuh keluarga itu kerana walaupun secara zatnya makanan itu halal tetapi kalau sumbernya haram maka akan jadi haramlah makanan tersebut. Marilah kita fikir-fikirkan... 

Monday, October 15, 2012

Antara Merokok, Minum Arak & Makan Khinzir... Sama atau Serupa?...

Sesak nafas betul nekcun dibuatnya ketika makan di restoran dengan atok tengahari tadi kerana ada seorang Mamat Melayu yang duduk di meja sebelah tu dengan senang hatinya menghembuskan asap rokoknya ke sana sini sedangkan papan tanda di larang merokok terpampang di restoran itu. Kalau ikutkan hati nekcun mahu sajer nekcun tolak kepala dia supaya baca papan tanda tu kuat-kuat.

Kekadang tu memang nekcun naik geram rasanya tengok orang Melayu yang pastinya Islam bagaikan tak pernah baca surat khabar atau pun menghadiri ceramah-ceramah Ugama. Sudah terang-terang dalam surat khabar menyiarkan bahawa Ahli Majlis Fatwa telah menyatakan bahawa merokok itu HARAM, tetapi mereka-mereka ni langsung tak ambil peduli.

Kalau pasal minum arak atau makan daging khinzir tahu pulak mereka takut nak minum atau makan kerana takut berdosa sebab benda-benda tu haram bagi ugama Islam. Tetapi mengapa bila tentang merokok ni mereka tak ambil pusing walaupun sudah terang-terang Majlis Fatwa kata HARAM iaitu maknanya sama 'standard' macam minum arak atau makan daging khinzir? Kenapa bila merokok mereka tak takut berdosa? Malah ada ustaz mengatakan, lelaki yang merokok tidak boleh menjadi wali atau Imam Solat kerana ianya sama macam minum arak atau makan daging khinzir yang telah difatwakan sebagai HARAM.

Namun pada pandangan nekcun, ia berbalik kepada penguat kuasaan!... Kerajaan tidak tegas tentang haramnya merokok bagi orang Islam sebagaimana haramnya orang Islam minum arak atau makan daging khinzir. Kalau Jabatan Ugama Islam boleh menangkap dan mendenda orang Islam yang minum arak secara terbuka, mengapa mereka tidak boleh kuat kuasakan undang-undang yang sama bagi orang Islam yang merokok secara terbuka terutamanya di tempat awam?

Kalau Kerajaan atau Jabatan Ugama Islam boleh melarang peniaga Islam (terutamanya Restoran-restoran yang menjual makanan HALAL) dari menjual arak atau daging khinzir, mengapa perkara yang sama tidak dikenakan ke atas penjualan rokok. Cubalah kekawan tengok hampir semua restoran yang menjual makanan halal terutamanya restoran2 mamak, mereka juga ada menjual rokok. Malah ada pulak yang menulis papan tanda 'penjualan rokok di larang bagi pelajar sekolah dan umar di bawah 18 tahun' dan ada juga yang menulis 'rokok perlu bayar dahulu sebelum ambil'.  

Apakah itu? Adakah rokok yang difatwakan HARAM itu halal untuk dijual oleh orang Islam? Kalau Islam sudah mengharamkan penjualan arak dan daging khinzir kerana ianya HARAM dan orang Islam yang menjualnya adalah berdosa, maka adakah orang Islam yang menjual rokok pula tidak berdosa?.. Mengapa perlu ada 'double standard' dalam penguat kuasaan dari pihak yang bertanggung jawab?..

Jadi dalam perkara ini, siapakah yang harus disalahkan dan yang harus menanggung dosa2 itu?.. Marilah kita sama-sama fikir-fikirkan, kerana sebagai umat Islam yang beriman kepada ALLAH dan RasulNYA, apakah peranan kita dalam perkara ini?... 

Saturday, September 22, 2012

Bahasa Jiwa Bangsa... betul ke?...

Entah kenapa nekcun tiba-tiba jadi agak emosi apabila ada orang yang tak hormat Bahasa Kebangsaan dan telah melebih-lebih menggunakan bahasa 'Mat Saleh' tu!.. Kalau awak tu 'Mat Saleh' tak mengapalah asyik cot-cet-cot-cet dalam bahasa tu, tetapi awak orang Melayu tulin, kenapa malu sangat nak cakap bahasa ibunda sendiri? Jatuh taraf ke kalau bercakap dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Kebangsaan?...

Mungkin juga sebab nekcun ni orang 'lama' yang memang amat sayang dan selalu bangga dengan bahasa ibunda sendiri, jadi sebab itulah agaknya nekcun mudah naik angin bila ada orang yang tak hormat bahasa ibunda sendiri. Nekcun memang amat kesal apabila sekarang ni banyak sangat Bahasa Melayu yang telah 'dirojakkan' sehingga kadang-kadang orang akan keliru apa maksud sebenar perkara yang mahu diperkatakan. Ini terjadi bukan sahaja dalam pertuturan tetapi juga di dalam penulisan.

Di dalam memperkatakan isu keliru ni... teringat nekcun ketika pergi ke satu jabatan kerajaan untuk menguruskan beberapa urusan penting. Sedang nekcun menunggu urusan itu diselesaikan, sempat nekcun bersembang-sembang dengan seorang wanita yang bertugas sebagai guru yang juga sedang berurusan di kaunter yang sama dengan nekcun.

"Pembantu rumah asing!.. Pada fahaman kakak, apa makna sebenarnya papan tanda tu?" tiba-tiba wanita tu bertanya.
"Itu menunjukkan kaunter untuk urusan berkaitan Pembantu rumah warga asing!.." jawab nekcun selamba namun agak tertanya-tanya mengapakah wanita itu bertanya begitu.
"Hah!.. Itu baru betul. Ia sepatutnya di tulis sebagai Pembantu Rumah Warga Asing, bukannya hanya Pembantu Rumah Asing!... Ia boleh mengelirukan jika disebut dalam intonasi yang berbeza... Apa yang asing? Pembantu ke rumah yang asing?... Tetapi kalau di tulis sebagai Pembantu Rumah Warga Asing, walaupun disebut dalam intonasi yang berbeza-beza, maksudnya tak lari, tetap sama iaitu berkenaan pembantu rumah warga asing!... Kakak dapat tak apa yang saya maksudkan?.." wanita itu berkata sebelum bertanya kembali pada nekcun.

Perlahan-lahan nekcun cuba menyebut perkataan2 itu beberapa kali dengan intonasi yang berbeza. Memang tepat apa yang dikatakan oleh wanita itu. Dan akhirnya nekcun menyetujui apa yang dipertikaikannya itu.

"Inilah akibatnya apabila kita sering ambil mudah akan penggunaan Bahasa Melayu/Kebangsaan yang betul. Ia boleh mengelirukan dan memberi makna yang salah kepada orang yang tidak tahu!.. Sebagai Pejabat Kerajaan, sepatutnya perkara sebegini tidak harus terjadi!.." wanita itu terus memberikan pendapatnya.

Nekcun hanya mampu mengangguk kerana hakikatnya memang nekcun setuju benar 100% dengan apa yang dikatakan oleh wanita itu. Sebagai Jabatan Kerajaan, sepatutnya ia harus menunjukkan contoh yang betul kepada orang awam dengan menggunakan tatabahasa yang betul dan tepat. Adakah ini boleh terjadi disebabkan sifat sambil lewa pegawai-pegawai berkenaan terhadap penggunaan Bahasa Melayu / Kebangsaan atau pun disebabkan memang mereka tidak faham tatabahasa Bahasa Kebangsaan yang betul kerana ianya agak kurang ditekankan ketika di Pusat-pusat Pengajian Tinggi? Siapakah yang harus dipertanggung jawabkan dalam perkara ini?...

Eeemm... entahlah!.. Nekcun pun tak berani nak komen macam-macam kerana Nekcun hanyalah seorang rakyat marhain yang biasa-biasa sahaja dan bukanya bijak pandai atau Professor-Professor atau YB Menteri-menteri yang sering melaung-laungkan bahawa rakyat Malaysia perlu memantapkan Bahasa Kebangsaan demi menegakkan maruah bangsa dan negara!... Bagaimanapun, sebagai rakyat yang cintakan tanahairku Malaysia, nekcun agak emosional apabila Bahasa Kebangsaan diremeh-remehkan...