Saturday, July 31, 2010

Ma'afkan daku, wahai sahabat-sahabatku!..

Pejam celik pejam celik, tak sedar kita dah hampir ke penghujung Syaaban, dan tak berapa hari lagi kita akan menyambut bulan Ramadhan Al-Mubarak pulak. Alhamdulillah, kalau dipanjangkan umur lagi dalam beberapa hari ni, dapatlah nekcun merasa lagi menyambut Ramadhan yang barakah ini.

Sebenarnya kekadang tu berdebar juga hati, takut-takut kalau tak dapat jumpa lagi bulan yang penuh dengan keberkatan ini. Iyalah!... ajal maut itu kan Allah yang menentukan dan kita tak tahu pun bila masanya akan sampai untuk kita. Mungkin hari ini kita sehat walafiat, tiba-tiba esok lusa dah dipanggil untuk mengadapNYA. Maka, kita sebagai hambaNYA harus redha akan apa pun yang diaturkanNYA untuk kita.

Sehubungan bulan Ramdhan Al-Mubarak ini, sukacitalah nekcun nak minta ma'af pada semua kekawan yang mengenali nekcun, dan semoga siratulrahim antara kita akan terus terjalin di dalam mengukuhkan ukhwah sesama Islam. Disamping itu, semoga amalan puasa kita akan diterima dan diberkati oleh ALLAH SWT.

"Sesungguhnya tidak akan masuk syurga orang-orang yang menyekutukan ALLAH dan juga orang-orang yang memutuskan siratulrahim sesama insan".

Lanjutan dari firman di atas itulah, nekcun mengambil kesempatan ini memohon ampun dan ma'af dari semua kekawan sekiranya ada nekcun terkasar bahasa selama kita berkenalan dan amat diharapkan persahabatan kita akan terus kukuh sehingga ke akhir hayat. Janganlah kita memutuskan siratulrahim hanya disebabkan berkecil hati di atas kesilapan kekawan kita yang mungkin tidak disengajakan. Mema'afkan sesama insan adalah sesuatu yang amat ALLAH sukai.

Selamat menyambut bulan Ramdhan Al-Mubarak kepada semua kawan-kawanku!... Semoga segala amalan kita semua akan lebih diberkati dan diterima oleh ALLAH. InsyaAllah.

Saturday, July 24, 2010

Eh!.. tertipu lagi ke?...

Masa nekcun pergi ke kedai runcit yang berhampiran rumah nekcun pagi tadi kerana hendak membeli kelapa parut, nekcun terdengar seorang pakcik tu bertengkar dengan tauke kedai.

Hangat juga pertengkaran mereka itu, tetapi nasib baiklah tauke kedai tu tahu etika menghormati pelanggan, maka akhirnya pertengkaran itu dapat diselesaikan dengan amannya.

Pakcik : "Kenapa pulak harga gas ni jadi RM16.30? Dulu kan hanya RM14.90 sen sahaja?"

Tauke: "Harga gas dah naik, pakcik."

Pakcik: "Iyalah... itu pakcik tahu! Kan kerajaan kata naik 10 sen sahaja sebab nak kurang subsidi, tetapi kenapa kedai kamu naikkan sampai RM1.40 sen? Kamu nak tipu pembeli ya?" sergah pakcik tu, seolah marah benar kerana tauke kedai cuba menipunya.

Tauke: "Apa pulak saya tipu, pakcik!.. betullah Kerajaan kata gas naik 10 sen, tapi itu untuk satu kilo, sedangkan kapasiti gas dalam tong ni 14 kilo, jadi kenaikan satu tong gas adalah RM1.40 sen lah!.." balas tauke kedai tu dengan suara yang tenang dan sabar.

Pakcik: "Eh!.. kalau gitu kenapa Kerajaan beria-ia mencanang kata kenaikan harga petrol dan gas tidak akan membebankan rakyat iaitu 5 sen dan 10 sen sahaja!.. Dah tu semua orang yang di interview dalam TV pun bukan main lagi menyokong!... Kenapa mereka tak terangkan betul-betul perkara ini pada rakyat macam pakcik ni?.. Nampaknya kami rakyat marhain ni tertipu lagilah ya?.." ujar pakcik tu meluahkan perasaannya sambil mengeluh.

Tauke: "Itu saya tak berani nak komenlah pakcik!.. bukan pakcik rakyat marhain sahaja yang susah sekarang, kami peniaga-peniaga runcit pun terkena juga percikkannya bila kerajaan nak menyelaraskan subsidi sekarang ni!.."

Pakcik: "Hah!.. itu satu lagi. Kata penyelarasan susbsidi adalah kerana tidak mahu orang yang tidak layak mendapat subsidi turut mendapat faedahnya dan sebab itulah susbsidi dikurangkan. Habis tu rakyat marhain macam pakcik ni, warganegara yang sah yang telah berkorban membangunkan negara sejak zaman sebelum merdeka dulu, macam mana? Bukankah pakcik layak mendapat subsidi barangan tu? Jadi bolehkah pakcik bayar harga gula dengan harga RM1.65 lagi sekarang walaupun harga setelah pelarasan subsidi jadi RM1.90 sen?" soal pakcik tu dengan naifnya.

Nekcun tengok tauke kedai itu hanya menggeleng, namun jelas nampak riak simpatinya pada pakcik itu.

Berdetik juga hati nekcun bila mendengar pertengkaran mereka itu. Ada juga betulnya apa yang dikatakan oleh pakcik tu!.. Tak semua rakyat marhain faham akan tektik bagaimana pelarasan subsidi ini dilaksanakan. Dan yang paling mustahak bagi mereka, mengapakah rakyat marhain warganegara yang sah, yang telah banyak berkorban untuk negara tercinta juga perlu menderita kerana pelarasan subsidi ini hanya kerana Kerajaan mahu mengurangkan defisit negara yang semakin meningkat? Siapakah yang telah merasa 'manisnya' sehingga defisit negara meningkat begitu banyak? Adakah orang-orang kampung yang masih perlu kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang?

Nekcun benar-benar tidak berani hendak menjawab persoalan ini kerana, siapalah nekcun untuk memberi jawapan!...

p/s: Ada kekawan nekcun yang memberi komen pada N3 yang terdahulu supaya kita bertukar. Bertukar apa ya?... tukar tong gas ke?....hehehe... sendiri mau ingatlah kan beb!..

Sunday, July 18, 2010

Asyik naik sajer... bila nak turun?


Semalam nekcun pergi pasaraya yang dekat dengan rumah nekcun untuk beli sedikit barang keperluan dapur.
Macam biasalah kalau hujung minggu, orang akan ramai di pasaraya dan que nya agak panjang ketika hendak membayar.

Dalam masa menunggu que tu nekcun terdengar satu couple yang berbaris di belakang nekcun berleter pasal harga barang-barang dah mula naik terutamanya harga gula dan telor ayam.
Isteri: "Minyak petrol naik 5 sen, kenapa gula kena naik 25 sen?"
Suami: "Kerajaan nak kurangkan subsidi sebab negara dah banyak defisit!"
Isteri: "Siapa yang buat defisit banyak-banyak tu? Bukan kita! tetapi kita rakyat pulak yang kena tanggung bebannya sekarang!.. Dahlah semuanya kena tax... kita kerja terok-terok 12 bulan tetapi bila dah kena bayar tax, kita hanya dapat gaji untuk 10 bulan sahaja setahun sebab yang 2 bulan lagi tu kena tolak untuk bayar tax!.." kedengaran si isteri seolah melepas geram.
Suami: "Alaah... awak bising-bising kat sini pun siapa nak dengar komen awak tu!" balas si suami seolah bosan dengan leteran isterinya.
Isteri : "Itulah abang tu!.. kita ni bolehlah tahan lagi kalau gula atau telor naik harga, tapi macam mana orang yang mencari rezeki dengan menjual kueh tu? Saya hairan betullah... setiap kali nak masuk bulan Ramadhan & Syawal, pasti gula dan telor ayam akan naik harga! Kalau tak naik harga, barang2 tu pulak susah nak dapat!.. Tak tahulah macam mana harga kueh-kueh raya tahun ni, saya pasti mesti melambung juga harganya!.."
Suami : "Haaa!.. kalau begitu, bulan puasa nanti tak payah buat bubur atau kueh manis! cukuplah makan manis buah kurma sahaja. Dan bila hari raya nanti tak payah beli biskut-biskut macam selalu tu lagi..!"
Isteri : "Hah? Tak payah beli biskut raya? Habis tu kalau ada tetamu datang nak jamu dengan apa?" dengan nada yang agak tegang si isteri bertanya.
Suami: "Apa susah!... kalau tetamu datang, jamu sajer dengan jejemput bawang atau ikan bilis!.. lagi sedap!.."
Isteri: "Senangnya abang bercakap!.." gertus si isteri seolah kecewa dengan sikap suaminya.
Eeemm... entahlah! Nekcun yang mendengar perbualan mereka tu pun agak bersetuju juga dengan apa yang dikatakan oleh si isteri tadi tu. Memang ada betulnya, terutamanya tentang kenaikan harga barang-barang keperluan setiap kali kita hendak menyambut bulan Ramadhan dan Syawal. Itu belum lagi kenaikan harga barang-barang makanan basah seperti ayam, daging, cili dan sayur-sayuran!.. Sekarang ni, kalau ke pasar basah, bawa duit takat RM100.00 tak nampak apa pun... Ikan kembung yang setahun lalu RM9.00 sekilo sekarang sudah RM13.00 sekilo.
Tentang bayar tax tu lagilah nekcun setuju sangat! Memang betul apa yang dikata oleh si isteri itu kerana ianya memang nekcun rasai. Kita kerja setahun tetapi pada hakikat sebenar kita hanya mendapat gaji paling lebih untuk 10 bulan sahaja. Terutamanya bagi pekerja yang mendapat gaji RM10,000-00 ke atas sebulan kerana % cukai adalah yang maksima 26%. Cuba bayangkan, kita dibayar gaji RM10,000-00 sebulan tetapi potongan cukai berjadual yang dipotong dari gaji kita adalah sekitar RM2,300-00 sebulan.
Itu belum lagi termasuk cukai pintu, cukai tanah, cukai kereta, cukai kerajaan/perkhidmatan 5 -10% dan macam-macam cukai lagi.
Tak tahulah, macam mana kita rakyat marhain nak menghadapi semua ini... Kalau orang yang bergaji puluhan ribu pun mengeluh, macam manalah agaknya orang-orang kampung yang pendapatannya tidak menentu itu hendak menghadapi semua ini... sedangkan di sana sini dilaungkan bahawa ekonomi negara kita sedang meningkat! Apa yang meningkat ya?... nekcun pun tak faham dan tak berani nak komen kalau RM100.00 sudah tidak banyak nilainya ketika ke pasar sekarang ini...

Thursday, July 8, 2010

Tahniah, rakan-rakan novelis tersohor!...

Minggu ini nekcun agak sebuk sedikit kerana banyak pula aktiviti yang kebetulan perlu dihadiri di sepanjang minggu.

Petang tadi baru nekcun sampai kembali di rumah setelah 3 hari 2 malam terpaksa 'berkurung' dan boleh dikirakan '2nd honeymoon' dengan atuk. Dan dengan sebab itu juga nekcun terpaksa batalkan tugas-tugas lain untuk tiga hari tu...
Tapi, apa yang nekcun nak cerita ni bukanlah pasal '2nd honeymoon' nekcun tu, tapi pasal majlis lawatan Dato' Seri Najib Tun Razak, yang mana juga telah melancarkan akhbar SINAR Harian di Kumpulan Karangkraft pada hari Selasa 6/7/2010.
Nekcun rasa seronok sangat bila pihak Kump. Karangkraft telah juga menjemput nekcun untuk turut serta memeriahkan lawatan YB, PM kita tu, walau pun nekcun tidak dapat berlama-lama di sana kerana perlu pula berkejar ke tempat 'berkurung' tu.


Bagi nekcun acara sebegitu memang nekcun tidak akan lepaskan peluang kerana pada acara-acara begitulah dapat kami para novelis Kump. Karangkraft berjumpa dan bermesra-mesra.
<> nekcun bersama novelis tersohor Esya Sofea, Anis Ayuni & Dmya Hana

Nekcun seronok sangat dapat berjumpa dengan beberapa rakan-rakan novelis yang sudah 'established' dan memang telah lama mewarnai dunia novel Melayu popular di Alaf 21 dan Buku Prima termasuklah novelis-novelis tersohor yang telah dianugerahkan 'golden awards' oleh YB, Dato Seri Najib iaitu novelis Ramlee Awang Murshid, Esya Sofea, Anis Ayuni, Sharifah Abu Salim dan Dmya Hana.
Bila semua novelis-novelis berjumpa dan berbual mesra begitu memang menyeronokkan dan sentiasa tak kering gusi. Tambah-tambah lagi dengan kehadiran novelis-novelis seperti Meen Zulaikha, Ramlah Rashid, Iris Ixora, Eka Fahara dan Afiqah Farzana yang sentiasa ada sahaja idea yang hendak dibualkan.
Namun apa yang nekcun rasa seronok ialah apabila mereka semua terus memanggil nekcun dengan panggilan manja 'nekcun' dan bukannya KA. Tapi nekcun tak kisah, malahan nekcun memang seronok kalau kekawan yang mengenali nekcun memanggil nekcun dengan panggilan manja itu!.. sebabnya.... ada perkataan 'cun' tu.... hehehe... (perasanlah pulak nenek ni!..)

Dikesempatan ini sukalah nekcun mengucapkan tahniah kepada lima orang novelis tersohor yang telah dianugerahkan 'golden award' oleh YB, Perdana Menteri kita itu kerana novel-novel mereka telah terjual melebihi 300 ribu setiap judul. Nekcun turut bangga kerana ini membuktikan bahawa novelis Melayu juga boleh duduk setanding dengan novelis-novelis luar negara. Semoga semua rakyat Malaysia akan terus memberi sokongan kepada novel-novel Melayu kerana pada pendapat nekcun, kualiti novel-novel Melayu tidak kurang juga hebatnya dari novel-novel Barat atau pun Indonesia.
p/s: Teringin nak jadi novelis tersohor macam rakan-rakan yang 5 orang tu... Tak tahu bilalah agaknya novel nekcun nak mencecah jualan macam novel-novel mereka ya?.... Nekcun selalu berdo'a agar satu hari nanti novel-novel nekcun juga akan mendapat sambutan di pasaran dengan jumlah yang sedemikian. InsyaAllah, semoga Allah akan memakbulkan do'a dan harapan nekcun ini, kerana nekcun percaya Allah itu maha Pengasih lagi maha Penyayang.

Wednesday, June 30, 2010

Baju Raya atau persediaan puasa?...

Oleh kerana nekcun ada hal sedikit di SUK pagi tadi, maka nekcun tidak ikut kekawan lain makan tengahari, sebaliknya nekcun makan sendiri selepas urusan di SUK selesai.
Kalau makan berseorangan begitu memang biasalah nekcun suka ambil tempat yang agak tersorok jadi tak adalah nampak canggung sangat sebab sorang-sorang.
Tengah nekcun sedap menyuap nasi ke mlulut tiba-tiba nekcun terdengar suara isteri satu couple yang duduk di meja sebelah nekcun mengomel pasal tukang jahit yang dah tak mahu ambil bajunya untuk disiapkan sebelum raya. Si suaminya, nekcun tengok buat selamba ajer bila isterinya mengomel tu.

Isteri : Bang!.. macam mana ni, kalau baju raya tak ada?
Suami : Pakailah mana baju yang ada!
Isteri : Mana boleh?... Malulah!.. nanti orang ingat abang tu 'sengkek' sangat sampai tak mampu nak belikan Ayang baju baru!
Suami : Memang betul pun abang sengkek!... nak buat macam mana?
Isteri : Hish!.. tak baik tau abang cakap macam tu!... nanti elok-elok duit banyak, hilang pulak!
Suami : Sebab abang takut Allah marah dan ambil balik rezeki kita, maka abang tak mahu Ayang sibuk-sibuk pasal baju raya tu!
Isteri : Abang!.. apa abang cakap ni... susahlah cakap dengan abang macam ni... Tu, baju Rina dengan Shafiq pun belum cari lagi, nanti kalau shopping lambat, banyak baju yang cantik-cantik dah habis dibeli oleh orang lain!...
Suami : Itu lagi buat abang sengkek!..
Isteri : Hai!... belanja untuk anak-anak pun abang kata sengkek!... Dah tu duit gaji abang yang beribu-ribu tu abang buat apa?

Kedengaran suara si isteri telah agak tinggi sehingg nekcun boleh dengar dengan jelas.

Suami : Sebab perangai Ayang yang tak sudah-sudah sebuk pasal persiapan Hari Raya sedangkan puasa pun belum lagi... itulah yang akan membuatkan abang 'sengkek' di hadapan Allah!..

Kedengaran si suami berkata seolah mengeluh! Si isteri membeliakkan matanya seolah tidak puas hati dengan komen si suami.
Suami : Ayang!.. cubalah sekarang ini Ayang fikirkan macam mana nak membuat persiapan diri kita anak beranak untuk menyambut puasa!.. macam mana nak memastikan solat kita dan anak-anak kita betul sebelum kita mengerjakan ibadah puasa kerana tidak ada gunanya kita berpuasa kalau solat kita tidak terjaga! Jangan asyik nak sebuk pasal persiapan untuk menyambut hari raya sahaja!... Tahu tak, hari raya itu adalah hari kemenangan untuk orang-orang yang telah berjaya menjalankan ibadah puasa dengan betul!... Tapi kalau solat kita pun asyik ada yang 'missed', macam mana kita nak berjaya dalam ibadah puasa?

Isteri : Eh!.. bila pulak abang dah jadi ustaz ni!...

Suami : Itulah yang buat abang rasa 'sengkek' sangat di hadapan Allah kerana abang masih tidak berjaya membimbing Ayang menjadi isteri yang solehah dan anak-anak kita sebagai anak yang soleh dan solehah. Mungkin abang ini telah terlalu memanjakan Ayang dan anak-anak dengan tidak menitik beratkan syariat Islam tetapi hanya kepada keperluan keduniaan semata-mata sahaja!...

Kedengaran si suami berkata perlahan dengan nada kesal dan wajahnya agak sugul. Kelihatan isterinya terkedu sambil menunduk tanpa berkata apa-apa.
Nekcun tiba-tiba teringat kata-kata ustaz di satu kelas yang nekcun hadiri bahawa, seorang suami yang tidak membimbing isteri dan keluarganya ke jalan yang diredhai Allah adalah seolah dia sengaja membuka jalannya sendiri ke neraka. Na'uzubillah!..
Ustaz juga berkata bahawa tidak bermakna puasa seorang Islam itu melainkan lapar dan dahaga kalau dia tidak memberatkan solatnya sedangkan solat adalah penentu bagi amalan-amalan yang lain. Sebab itulah ada dikatakan bahawa solat itu adalah tiang ugama.
Kebetulan kita sudah berada dan menghampiri bulan-bulan yang suci lagi barakah iaitu di bulan Rejab, dan kemudian bulan Syaaban dan selepas itu bulan Ramadhan, maka sukalah nekcun mengingatkan diri nekcun sendiri dan juga kekawan lain agar kita saling ingat mengingati akan keperluan kita menjaga dan memberatkan solat kita supaya segala amalan-amalan lain yang kita lakukan juga akan beroleh keredhaan dan keberkatan dari Allah SWT, InsyaAllah.
*** 'Sengkek' ertinya tidak berharta, jadi di sini sengkek bermakna tiada amalan yang boleh membantu atau dibawa kepada Allah ketika seseorang itu mengadapNYA kelak.

Tuesday, June 22, 2010

Di mana kita akhirnya nanti?...

Suka nekcun nak berkongsi beberapa perkara yang boleh kita menfa’atkan bersama di dalam mengharongi hidup pada akhir zaman ini, sebagai pedoman dan ingatan.

Semasa dalam kelas siang tadi, ustaz ada mengatakan bahawa:

“ALLAH tidak melihat di mana kita bermula, tetapi DIA melihat di mana kita berakhir”

Memang kata-kata itu sungguh simbolik dan kita tidak akan faham kalau kita tidak mahu memahaminya. Apa yang dimaksudkan di sini ialah Allah mahu melihat bagaimanakah kita akan mengakhirkan hidup kita di dunia ini sebelum kita dibangkitkan semula di akhirat kelak. Adakah kita akan mati dalam keadaan seorang yang mukmin, atau seorang yang fasik atau seorang munafik.

Kita juga harus ingat bahawa dunia ini hanyalah seperti jambatan yang akan menyampaikan kita ke alam akhirat kelak kerana dunia ini tidak kekal. Setiap yang lahir ke dunia pasti akan mati dan pasti akan menempuh alam barzah sebelum kita mendapat tempat yang kekal di akhirat kelak.

Allah yang maha mengetahui segalanya. Dia yang mengetahui segala kelebihan atau kekurangan atau kelemahan setiap makhluk yang diciptaNya. Dan sebaik-baik makhluk yang Allah cipta di dunia ini adalah manusia. Allah memberi manusia akal untuk membolehkan manusia menjadi Khalifah untuk mentadbir kehidupan di dunia ini. Allah kurniakan segala rezeki dan nikmat kepada manusia di dunia ini.

Akan beruntunglah manusia yang sentiasa mensyukuri nikmat dan rezeki yang Allah berikan dengan sentiasa bertakwa dan beriman terhadapNYA tetapi akan rugilah manusia yang tidak mengingati Allah dalam hidupnya.

Namun Allah itu maha pengasih, maha adil dan maha penyayang. Allah juga maha pengampun. Allah sentiasa mengampunkan segala dosa dan kesalahan hamba-hambaNya sekiranya hamba-hambaNya sentiasa memperbaiki diri dengan bertaubat.

Orang-orang yang sentiasa bertaubat, Allah akan beri beberapa kelebihan, antaranya:-

1) Orang yang selalu bertaubat dengan menyesali segala perbuatan dosa yang telah dilakukannya, akan sentiasa diberkati dan akan diberikan kejayaan di dalam kehidupan dan usahanya.
2) Orang yang sentiasa bertaubat adalah tanda orang yang bertaqwa.
3) Orang yang selalu bertaubat juga akan Allah kukuhkan kedudukannya.
4) Orang yang sentiasa bertaubat akan dikurniakan Allah dengan nikmat yang banyak.
5) Orang yang selalu bertaubat juga akan menjadi orang yang sentiasa diperkenankan do’anya.


Itulah beberapa kelebihan-kelebihan bagi orang-orang yang sentiasa bertaubat, menyesali segala dosa-dosa yang telah dilakukan dan hidupnya hanya bergantung kepada Allah. Segala kelebihan itu akan Allah beri dari dunia sampai ke akhirat.

Subhanallah!.. Maha besar Allah… semoga kita semua akan menjadi orang-orang yang sentiasa mendapat keredhaan Allah dari dunia hingga akhirat. InsyaAllah…

"Berpesan-pesanlah walaupun hanya sebaris ayat!.." Wallahualam...

Saturday, June 12, 2010

Banyaknya kaki lelaki...

Setelah beberapa hari berada di luar kawasan, nekcun rasa badan dah lenguh-lenguh, penat dan perlu berbuat sesuatu untuk memulihkan stamina. Jadi pagi tadi nekcun ke Kelab untuk mengeluarkan peluh di gym.

Nasib baik ada beberapa kekawan yang selalu nekcun jumpa di gym juga ada datang untuk mengeluarkan peluh pagi tadi. Dan biasalah… selepas berjaya mengeluarkan peluh beberapa titik, kami akan berkumpul pula di coffee house untuk mengganti peluh yang sudah menitik tadi…

“Hai Hajah… lama tak nampak kat gym, pergi mana?” Datin J membuka bicara.
“Ada kerja sikit kat luar kawasan. Baru baliklah ni…” balas nekcun.
“Oh!.. iyalah kan, sekarang musim cuti sekolah… ramai orang yang keluar kawasan…” ujar Datin J lagi.
“Eeemm… saya pun ingat nak ajak hubby pergi balik kampong minggu ni, tetapi dia tak mahu! Kesihan tengok bebudak kat rumah tu yang dah berangan-angan nak balik rumah Tok Wan dia!” Puan Ummi pula menyampok.
“Entahlah!... my hubby pun tak mahu pergi mana-mana dua minggu ni!... dia kata nak duduk di rumah sahaja!.. I pun hairan juga…” Mrs. Khor pula menambah.
“Eh… eloklah tu… kan elok kalau hubby-hubby kita nak duduk di rumah sajer!... tentu dia tak akan merayap tak tentu hala lagi!.. sekurang-kurangnya tidaklah kita susah hati memikirkan ke mana mereka pergi!..” sambil tertawa kecil Datin J berkata.
“Alaah!... kalau duduk di rumah tu dia melayan atau menolong kita buat kerja rumah tak mengapalah!... ini tidak!... asyik dok mengadap TV. Dah tu, siap suruh kita sediakan air kopi power root lah, tongkat ali lah dan macam-macam lagi… kononya nak tahan mengantuk!...” omel Pn. Ummi pula.
“Eh!... untuk apa pulak tu?” Puan Jee yang senyap sahaja dari tadi mula bertanya hairan.


“Apa lagi!... nak tahan mata tengok BOLA laaa…” balas nekcun sambil tertawa kerana teringat telatah atok malam tadi, sampaikan pagi tadi nekcun terpaksa tarik kakinya untuk bangun solat subuh.
“Eeeemmm… dah mula baliklah mereka tu…” rungut Mrs. Khor.
“Entah!... saya pun geram kekadang tu!... anak-anak yang lelaki kat rumah tu pun dah terikut-ikut perangai ayah mereka… semuanya kaki Bola!.. sanggup berjam-jam duduk depan TV, macamlah mereka tu pandai sangat main bola!...” Datin J turut merungut.
“Tak apalah Tin… biarlah mereka tu kaki bola dari macam-mcam kaki yang lain!...” ujar nekcun, sengaja mahu mengusik Datin J.
“Eh!... macam-macam kaki? Kaki apa tu?” berkerut-kerut dahi Mrs. Khor cuba memahami kata-kata nekcun tadi.
“Laaa… you tak tahu ke orang lelaki ni banyak kaki… boleh dikatakan semua lelaki suka banyak kaki!.. macam-macam jenis kaki mereka suka, sampai kekadang kita tak terkira dibuatnya!...” Puan Ummi pula seronok menambah serbuk perasa pada usikan nekcun tadi.
“Haiya!.. you jangan bikin gua peninglah, Ummi… mana orang lelaki ada lebih kaki… semua orang sama macam kita maaa… dua kaki jugak!..” Mrs. Khor menjawab, sengaja dengan pelat tionghuanya.
“Haiya Khor!... you balik rumah… you tanya you punya hubby, berapa kaki dia ada? I guarantee mesti dia beritahu you lebih dari dua!...” sambil ketawa terkekeh-kekeh Puan Ummi semakin seronok mengusik Mrs. Khor.
Kelihatan Mrs. Khor menggaru-garu kepalanya yang tak gatal itu. Mungkin pening dengan kata-kata Pn. Ummi tadi.
“Khor… your hubby suka tengok bola tak?”
“Suka!”
“Itu sudah kaki bola!”
“Dia suka minum minuman keras tak?”
“Suka tapi tak banyaklah!...” jawab Mrs. Khor, jujur.
“Itu sudah boleh kira macam kaki botol lah!”
“Dia suka tengok wayang?”
“Cerita bagus, mesti dia suka tengok!”
“Itu namanya kaki wayang!”
“Dia suka beli magnum ka?”
“Selalulah… mana tahu boleh menang, gua boleh jadi kaya lorrr…”
“Itu kita sebut kaki judi!..”
“Dia suka bawa perempuan lain tak?”
“Haiya!... kalau itu dia bikin, gua kasih ketuk dia punya kepala sampai pecah lorrr!...” balas Mrs. Khor sambil mengetapkan bibirnya.
“Itu macam… you banyak nasib baik sebab you punya hubby bukan kaki perempuan!” balas Puan Ummi sambil terus terkekeh-kekeh.
“Hah!... sekarang you kira… sudah berapa banyak kaki your hubby ada?” nekcun pula menyampok.
“Haiya!... itu punya kaki kah?... Kalau itu kaki, gua pun tahu maaa…” jawab Mrs. Khor sambil turut tertawa berdekah-dekah.

Eeemmm… banyaknya kaki lelaki ya!... macam mana dengan orang perempuan, ada banyak kaki jugak ke?... Tak beranilah nekcun nak komen kerana zaman sekarang ni dah tak ada yang mustahil antara lelaki dan perempuan. Apa yang lelaki boleh buat semuanya boleh jugak dilakukan oleh perempuan!..

Tetapi… apa-apa hal pun, sukalah nekcun nak mengingatkan diri nekcun, suami dan anak-anak nekcun sendiri supaya berhati-hatilah bila dah mula nak ada ‘kaki’. Buatlah ‘kaki’ yang boleh memberi manfa’at kepada kehidupan kita di dunia dan akhirat kerana semua pancaindera dan anggota tubuh badan kita, termasuklah kaki tangan kita semua boleh berkata-kata ketika di dalam kubur dan di padang mashar nanti.

Sekadar ingat mengingati…

P/s: Bila berbual-bual begini, tiba-tiba terasa rindu pada member mini parlimen di cafeteria di pejabat lama nekcun. Atok Li dan Kak Haiza, apa khabar sekarang?... ada ke isu-isu baru?... hehehe…

Tuesday, June 1, 2010

Bermanjalah pada yang sayang...

Pagi tadi nekcun benar-benar terasa betapa kita perlu belajar berdikari dan tidak sentiasa mengharap kepada suami. Apa yang nekcun alami pagi tadi memang telah menyedarkan nekcun supaya jangan terlalu manja dan mengharapkan suami membuat segalanya untuk kita.

Eeemmm…. Suspense jer bunyinya kan?.... hehehe…

Selama ini memang nekcun tidak pernah mengisi minyak kereta. Nekcun memang selalu memandu sendiri tetapi tidak pernah mengisi minyak sendiri. Apa yang nekcun tahu adalah, start engine dan terus memandu ke mana yang nekcun nak pergi. Pasal minyak atau apa-apa hal tentang kereta tu, nekcun tak pernah ambil tahu kerana semuanya suami yang uruskan.


Memandangkan pada hari Ahad dan semalam nekcun ada beberapa hal yang perlu diuruskan di beberapa tempat dan suami juga agak sibuk semalam yang membuatkan beliau balik agak lewat, jadi nekcun pun terlupa nak beritahu dia untuk mengisi minyak kereta nekcun malam tadi.
Seperti biasa pagi tadi nekcun terus sajer start engine kereta untuk ke kelas tanpa melihat indicator minyak. Tiba-tiba sajer nekcun rasa kereta nekcun macam agak tersekat-sekat enginenya. Bila nekcun tengok oil indicator memang dah reserve fuel dan jarum tanda tu memang dah sampai line merah.

Alamak!... macam mana ni? Nekcun memang tak tahu nak isi minyak sendiri. Tak usahkan isi minyak sendiri, pembuka tangki minyak sebelah mana pun nekcun tak ingat. Tapi dan dalam keadaan darurat itu nekcun Tawakkal sahajalah… terus sajer masuk petrol station yang berdekatan dan memakirkan kereta dekat pump yang kosong.
Alhamdulillah… nekcun pakir kereta pada sebelah pembuka tangki minyak yang betul iaitu sebelah kanan. Tapi lepas tu, nekcun jadi gelabah bila cari di mana pembuka tangki tu tak jumpa-jumpa!... puas nekcun membelek-belek keliling tempat duduk pemandu dan juga bawah steering tetapi tak jumpa juga!... orang di kereta sebelah dah jeling-jeling semacam sahaja.

Ingat hati nak telefon sajer hubby nak tanya macam mana nak buka tangki tapi takut pulak kerana di petrol station tidak boleh menggunakan handphone… merbahaya!.. jadi nekcun masih teruskan juga berusaha mencari di mana pembuka tangki.
Alhamdulillah… nasib nekcun baik ketika itu kerana tiba-tiba ada sebuah kereta yang sama jenis dan model macam kereta nekcun, masuk ke petrol station dan memakirkan betul-betul di sebelah pump di mana nekcun memakirkan kereta nekcun. Jadi apa lagi… nekcun pun cuba-cubalah mengintai kat mana dan macam mana dia buka tangki minyaknya.
Nak jadikan cerita, dia terpandang nekcun yang sedang terintai-intai itu dan mungkin memang rezeki nekcun agaknya, dia pun menegur…
Pemandu kereta sebelah :” Kenapa saudari? Ada problem ke dengan kereta you?”
Nekcun tergamam mendengar dia memanggil nekcun saudari!.. perasan muda lah pulak!... hehehe…
Nekcun:” Eeerrr… taaaak… tapi…”
Pemandu kereta sebelah: “Tapi apa?”
Nekcun: “ Encik boleh tolong tak?”
Pemandu kereta sebelah: “Tiada masaalah, apa yang saudari nak saya tolong?”
Nekcun: “Tolong isikan minyak kereta saya!”
Lelaki itu mengerutkan dahinya sambil merenung nekcun dengan pandangan hairan. Mungkin dia menyangka yang nekcun minta dia bayarkan harga minyak yang nekcun nak isi itu agaknya.
Nekcun: “Ma’af, bukan bayarkan minyak tetapi tolong macam mana nak pump minyak ni kerana saya tak tahu macam mana nak buka tangki minyak kereta ni!..” akhirnya nekcun terpaksa menebalkan muka menjelaskan perkara yang sebenar.
Pemandu kereta sebelah: “Oooohhh… ingatkan saudari tak cukup duit tadi!... Eemmm… kalau macam tu, mari saya tunjukkan!...” katanya sambil menekan sahaja penutup di mana pembuka tangki minyak kereta itu berada dan kemudian dia mengambil pump minyak dan masukkan ke dalam tangki kereta nekcun sehinggalah cukup harga minyak yang nekcun dah bayar tadi.
Pemandu kereta sebelah “Kereta baru beli ke?”
Nekcun: “Taaak… dah lama juga tetapi tak pernah isi minyak sendiri. Selalu hubby yang isikan!”
Pemandu kereta sebelah: “Biasalah tu orang perempuan!...bawa kereta canggih tapi tak tahu nak isi minyak!.. orang rumah saya pun macam saudari juga!... kereta tahu bawa sajer tapi bila tang isi minyak, semua harapkan suami sajer!..”
Berdesing telinga nekcun dibuatnya, tapi tahan sajerlah sebab dia dah tolong kita kan!...
Pemandu kereta sebelah: “Iyalah… tak semua perempuan macam yang saya cakap tu!... hanya yang manja dengan suami sajer yang camtu!...”
Segera dia membetulkan kata-katanya tadi. Mungkin rasa bersalah bila melihat riak muka nekcun yang agak tegang agaknya.
Nekcun: “Dah memang kenalah isteri manja pada suami!... kalau bukan isteri yang manja pada suami, siapa pulak yang suami nak manjakan? Nanti kalau isteri manja pada orang lain, suami pulak yang melenting!.. habis tu, janganlah salahkan isteri bila isteri nak bermanja!..”
Pemandu kereta sebelah: “Baiklah saudari… saya akan beritahu isteri saya yang dia sudah ada kawan yang sama sepertinya!..”
Pemandu kereta sebelah itu menjawab sambil tertawa terkekeh-kekeh. Mungkin geli hati bila teringatkan isterinya pun suka menjawab macam nekcun!...
Nekcun: “Terima kasih encik, kerana menolong saya!... dan kirim salam pada isteri encik!... katakan padanya – teruskanlah bermanja pada suami sebelum perempuan lain bermanja pada encik!..”
Pemandu kereta sebelah terus ketawa berdekah-dekah sambil menggoyang-goyangkan jari telunjuknya ke arah nekcun seolah menganggap apa yang nekcun sarankan itu satu yang amat melucukan.
Nekcun hanya tersenyum sebelum menutup pintu kereta dan kemudian meluncur laju meninggalkan petrol station itu dengan seribu macam pengajaran dan kesedaran.
p/s: Pada kekawan semua, tak salah isteri bermanja pada suami tetapi kena juga melengkapkan diri dengan pengetahuan dan bersedia kalau terpaksa berhadapan dengan keadaan yang tidak dijangka!.. Morale of the story, never ever take anything for granted.