Dua malam lepas, entah macam mana nekcun tertengok satu siaran di Astro… (tak ingat pun siaran channel mana kerana tengah sibuk mencari siaran kartun untuk cucu…) yang begitu menarik minat nekcun, sehingga membuat nekcun terleka sebentar mendengar isu yang dibincangkan. Tokoh yang berbincang itu adalah Dr. Redzuan Tee Abdullah dan yang sorang lagi nekcun pun tak ingat siapa namanya…
Apa yang menarik minat nekcun sangat-sangat ialah bila isu perkauman yang sedang menjadi-menjadi di negara kita ini dibincangkan. Ahli panel juga membincangkan kenapa ianya terjadi sekarang dan apakah tindakan yang perlu diambil bagi membendung gejala ini dari terus membelenggu sentimen semua rakyat Malaysia.
Nekcun rasa semua orang kenal siapa Dr. Redzuan Tee Abdullah. Seorang saudara baru Islam dan menjadi pendakwah bebas. Apa yang dikatakan oleh beliau memang banyak benarnya dan nekcun rasa amat bangga kerana walaupun beliau asalnya seorang Cina tetapi beliau benar-benar berfikiran rational ketika menyatakan pendapatnya.
Beliau mengatakan: Semua bangsa itu ada tanah air mereka sendiri dan semua tanah air mereka itu diberi nama mengikut bangsa masing-masing. Contohnya, orang-orang Cina berasal dari negeri Cina dan sebab itu negerinya di panggil negeri Cina, orang India berasal dari negeri India, orang Siam berasal dari negeri Siam dan lain-lain. Semua hak mutlak bangsa-bangsa itu di negara mereka tidak boleh digugat ganti oleh mana-mana pihak. Begitu juga dengan orang Melayu, di mana jadilah negara ini di panggil Tanah Melayu kerana asalnya ialah kepunyaan orang Melayu. Maka orang lain yang mendatang ke Tanah Melayu tidak sepatutnya menggugat ganti hak mutlak orang Melayu di tanah air mereka. Orang-orang yang mendatang ini sepatutnya bersyukur kerana telah diterima oleh orang Melayu untuk menjadi sahabat dan kemudian sama-sama mendudukki tanah Melayu ini. Tetapi apa yang terjadi sekarang adalah sebaliknya!
Bila ditanya, mengapa boleh jadi begitu? Maka jawab beliau: Ini adalah disebabkan kesalahan orang yang mentadbir negara ini. Orang-orang ini banyak yang mempunyai kepentingan peribadi dari mempertahankan hak bangsa dan rakyat asal Tanah Melayu. Pentadbir-pentadbir ini sanggup meminda cara-cara pentadbiran untuk mendapatkan sokongan dari sahabat-sahabat yang mendatang ini hanya untuk memenuhi keperluan peribadi mereka semata-mata.
Contoh yang beliau beri: Hanya untuk menjadi popular dan memastikan boleh menang dalam pilihan raya, ahli politik (Pentadbir negara) akan sanggup menukar pelembagaan atau pun cara-cara mentadbir negara misalnya pindaan terhadap akta Pelajaran di mana dulunya Bahasa Melayu adalah sebagai bahasa Ibunda / Utama tetapi sekarang tidak lagi. Seseorang yang pandai berbahasa Melayu dan tidak pandai berbahasa Inggeris / bahasa lain akan dipandang rendah dan akan susah untuk mendapat pekerjaan. Sedangkan kalau di negara-nagara lain contohnya di negara Cina, kalau seseorang itu tidak dapat menguasai bahasa Cina / bahasa ibunda, meraka tidak akan diberi keutamaan dalam sebarang hal. Begitu juga di India dan negara-negara lain di mana mereka mementingkan bahasa ibunda tanah air itu. Tetapi apa yang terjadi di Malaysia sekarang adalah sebaliknya. Alangkah malangnya anak Melayu kerana sudah tiada hak mutlak di Tanah Melayu.
Beliau juga ditanya mengapakah perlunya pengetahun sejarah kepada semua pelajar? Jawab beliau, sejarah sesebuah negara itu memang perlu diketahui oleh setiap rakyatnya supaya mereka sedar siapa diri mereka dan bagaimana mereka boleh menjadi rakyat negara ini. Dengan pengetahuan itu, maka akan timbul perasaan sayangkan negara dan menanam rasa ta’at setia kepada negara tercinta ini tanpa menganggu gugat hak mutlak bagi mereka yang hak.
Beliau juga mengatakan, mengapa mesti ada bermacam-macam jenis sekolah di Malaysia ini, misalnya mengapa mesti ada sekolah Cina dan sekolah Tamil. Kalau kerajaan mahu semua rakyat bersatu, maka hanya ada perlu satu sekolah sahaja iaitu sekolah Kebangsaan di mana semua anak-anak dari berbagai kaum dan bangsa berkumpul dan bersatu. Mempelajari satu pemahaman. Jika dari kecil lagi mereka telah dipisah-pisahkan dan diajar mengikut pemahaman yang berlainan, apakah yang kita harapkan bila mereka telah meningkat dewasa. Tentu sahaja pemahaman yang berlainan akan terus menguasai pemikiran mereka. Jadi macam mana kita mahu semua rakyat yang berbilang kaum dan bangsa ini bersatu tanpa ada rasa prejudis antara satu sama lain? Inilah salah satu isu yang dibangkitkan oleh Dr. Redzuan Tee yang amat menarik minat nekcun sehingga terleka sebentar mendengarnya.
Nekcun memang solute pada Dr. Redzuan Tee di atas keterbukaan cara dia berfikir di dalam usaha menyatukan kembali semua bangsa di Malaysia ini tanpa mengganggu gugat hak-hak bagi yang berhak. Kekadang, kita orang Melayu sendiri tidak sedar siapa diri kita sehingga sanggup menggadai maruah ugama, bangsa dan negara hanya untuk memenuhi kepentingan peribadi. Walau apa-apa pun, bagi nekcun, yang penting adalah sekiranya semua ahli politik dan pentadbir negara mengamalkan cara-cara mentadbir berlandaskan Islam dan Al-Quran, insyaAllah semuanya akan selamat. Cara pentadbiran yang disarankan oleh Islam telah lebih dari cukup untuk menjaga kepentingan dan kesejahteraan semua insan di dunia ini tanpa mengira bangsa atau pun ugama yang mereka anuti.
Marilah kita sama-sama fikir-fikirkan apa yang dibangkitkan ini… Kekadang nekcun pun takut nak menghadapi apakah kesudahan keadaan politik dan pentadbiran negara yang sedang melanda negara kita ini… Hanya kepada ALLAH nekcun selalu berserah. Semoga hidup kita sentiasa diberkati dan dirahmati di dunia dan di akhirat…. Amiiiinnn…