Alhamdulillah... Novel Nekcun yang terbaharu telah pun berada di pasaran sejak penghujung July lalu. Namun kesibukkan NekCun menghadapi 10 hari terakhir Ramadhan dan kemudian diikuti pula dengan sambutan Syawal, maka masa Nekcun untuk mengemaskinikan blog ini agak terhad.
NekCun pasti sudah ramai sahabat-sahabat yang telah memilikki atau pun membaca novel NekCun yang bertajuk AKU TAK SALAH itu kan?... Hah???... belum lagi?... Kalau begitu, sudi2lah sahabat2 semua membaca sinopsis novel tersebut di sini ya!...
Sinopsis AKU TAK SALAH.
Tuesday, August 12, 2014
Novel: AKU TAK SALAH
Norsyazwani tidak pernah
menduga akan menjadi isteri Airil Amri hanya melalui perkenalan yang begitu
singkat. Dalam pada itu, hati Norsyazwani jadi amat terusik apabila majikanya
Badrul, membuat pengakuan bahawa dia amat mencintai Norsyazwani secara diam
selama ini. Namun pengakuan itu sudah terlambat apabila Norsyazwani sudah
membuat keputusan untuk menjadi isteri Airil Amri dan tekad meninggalkan Badrul
dengan tanpa dapat dikesan.
Sikap yang begitu
bertanggungjawab dan romantis yang ditunjukkan oleh Airil Amri telah berjaya
membuat hati Norsyazwani dengan penuh rela mengikuti suaminya merantau jauh ke
negara yang begitu asing baginya sebaik sahaja selepas pernikahan mereka.
Bagaimana pun kebahgiaan yang diimpikan Norsyazwani bagaikan hancur berkecai
apabila mengetahui cinta Airil Amri terhadapnya adalah palsu dan lelaki itu
telah menunjukkan belangnya sebaik mereka berjauhan dari kaum keluarga.
Di dalam memendam rasa yang
sendu dan pilu itu, Norsyazwani sering diusik dengan ketulusan pengakuan
Badrul. Namun tekad untuk menjadi seorang isteri yang solehah membuatkan
Norsyazwani terus tabah menghadapi segala ujian yang melanda hidupnya.
Sebaliknya Badrul pula tidak pernah putus asa untuk menjejaki Norsyazwani
sehingga membuatkan Airil Amri merasa hubungannya dengan isterinya tergugat
walaupun pada hakikatnya Norsyazwani tidak mengetahuinya.
Mengapakah Airil Amri menipu
Norsyazwani dan mengapakah dia perlu rasa tergugat apabila mendapat tahu Badrul
sedang menjejaki isterinya kalau dia tidak mencintai isterinya itu? Berjayakah
Badrul meraih cinta Norsyazwani dan mengapakah dia begitu bersungguh-sungguh
mahu hidup dengan wanita itu walaupun dia sedar mencintai isteri orang adalah
berdosa? Hanya AKU TAK SALAH dapat menjawab segala persoalan itu.
Macam mana? Suspense tak???... Hah!... Kalau suspense, sila dapatkan novel itu di kedai2 buku yang berhampiran sekarang.... Insya ALLAH, is tidak akan mengecewakan sahabat2 tetapi sahabat2 akan kecewa kalau tak memilikki atau membacanya kerana banyak ilmu dan tauladan yang boleh dititip darinya. Novel ini juga boleh dibaca oleh semua golongan & peringkat umur masyarakat & pembaca kerana tiada elemen2 yang terlarang di dalam cerita yang NekCun garapkan itu. Sebaliknya banyak elemen2 yang boleh dimanfaatkan oleh kita semua sebagai panduan menghadapi kehidupan harian yang penuh pancaroba sekarang ini. Selamat membaca & Terima kasih.
Posted by
Nek Cun
at
15:37
1 comments
Monday, June 16, 2014
You & Me in the Cyber world...
We are created and born as a different gender,
So we can naturally be paired off together.
Our feeling and soul are blown into our body,
So our emotion and desire can fill our heart.
Accidentally we are met in the digital world
Happily chatting although never see each other
Our mind and thinking keep talking similar phrases
Hoping the true feeling will get us together.
In the dream our heart and soul are always met
Causing emotion and desire are beating the same rhythm.
But… a dream is always a dream
Near at heart but far away in real world.
To hold our hands together seems a false hope
Although our love had grown deep in our heart
May be we are not meant for each other
Even how hard we tried to be together.
We are separated thousands of miles on land and sea
We can only hear voices and see faces virtually
We never stop hoping to meet each other eventually
And to ALLAH we always put our hope and pray.
My life will be wonderful if you’re here with me…
Indahnya hidup ini SEANDAINYA KAU ADA bersamaku…
Indahnya hidup ini SEANDAINYA KAU ADA bersamaku…
Posted by
Nek Cun
at
16:32
0
comments
Wednesday, May 28, 2014
Tak tahu atau tak ambil peduli???...
Tersentuh juga hati Nekcun bila ada sahabat yang hantar pantun giler-giler pasal isu 'DNA babi' yang sedang hangat berlaku di negaraku tercinta ini. Teringin gak Nekcun nak kongsikan dengan sahabat2 semua untuk kita fikir2kan. Sahabat2 nak baca tak?... OK lah... Nekcun kongsikan di sini...
Dua tiga babi berlari,
Manakan sama si babi tunggal,
Dah telan cadbury berlori-lori,
Tup-tup JAKIM kata ia tak halal...
Makan cadbury ada DNA babi,
Patutlah ramai yang susah mengaji,
Rupanya babi sudah sebati,
Hati gelap tidak terperi...
Orang Islam perlulah berhati-hati,
Benda syubhah perlu dijauhi,
Tengok sekarang apa dah jadi,
Ramai yang dah termakan babi...
Kerana kealpaan sebahagian kita orang Islam yang terlalu percaya kepada semua makanan yang asal sajer ada tanda 'HALAL' semuanya mereka sapu tanpa ragu-ragu, maka adalah pihak2 yang tidak bertanggung jawab mengambil kesempatan 'menangguk di air yang keroh' untuk mendapatkan keuntungan dengan jalan mudah...
Terfikir juga di hati Nekcun bahawa adakah fenomena 'kerosakan akhlak' anak2 & remaja yang semakin menjadi2 sekarang ini adalah akibat dari makanan haram yang telah menjadi darah daging mereka itu selama ini?...Wallahualam... Takut Nekcun nak memikirkannya.
Astagfirullahalazim... semoga ALLAH mengampunkan dosa-dosa kita kerana kealpaan itu selama ini dan semoga anak cucu kita dilindungi dari segala kejahatan & keburukkan itu... Amiiinnn...
Posted by
Nek Cun
at
22:06
0
comments
Sunday, April 27, 2014
INDAHNYA CINTA...
Cinta itu fitrah insani
Cinta itu anugerah Ilahi
Cinta itu sesuatu yang tidak nampak pada lahiriah
Tetapi sangat terkesan pada batiniah.
Masya ALLAh, Tabarakallah indahnya cinta,
Bukti kewujudan ALLAH.
Dengan cinta itulah kita kenal Pencipta Cinta
Dengan cinta itulah kita kenal Rasul tercinta
Dengan cinta itulah kita bersaudara
Dan dengan cinta itulah wujudnya bahagia…
Cinta kepada ALLAH itulah cinta yang utama
Jagalah cinta pada-NYA, nescaya akan beroleh cinta sesama manusia…
Cintailah ALLAH sebelum kita belajar untuk mencintai hamba ALLAH.
Selami hati, selami jiwa dimana kita letakkan ALLAH di hati kita?
Di mana DIA di hati kita?
Sering kita terlupa ALLAH, tika kita senang dan bergembira.
Rasa cinta kepada manusia itu akan hadir tanpa dipaksa
Rasa cinta kepada manusia itu akan wujud tanpa diminta
Rasa cinta kepada manusia itu adalah kebahgiaan yang ALLAH beri pada
kita
Namun, cintailah mereka kerana cinta kita kepada ALLAH yang Esa,
Dan bukan hanya kerana nafsu semata…
Usah ditagih kasih yang tak pasti
Usah diharap cinta insani, jika cinta kepada ALLAH sering kita nodai.
Bermunajatlah kepada Yang maha Pencipta cinta,
Berdoalah padaNYA,
Meminta yang terbaik daripadaNYA,
Merayulah keampunanNYA,
Mohonlah cintaNYA…
Cinta yang bertandang di lubuk hati itu fitrah
Namun apabila ia disusuli tindak tanduk yang tidak diredhai ALLAH
Ia pasti akan bertukar menjadi fitnah yang membarah…
Oleh itu, cintailah seseorang itu kerana ALLAH
Kerana ALLAH tidak akan menolak cinta insan yang beriman yang
mencintaiNYA dan RasulNYA
Dan cinta ALLAH itulah yang kekal abadi selamanya…
Ya ALLAH, anugerahkanlah kepada kami cinta yang suci,
Agar hari-hari yang kami lalui sentiasa indah,
SEINDAH TAKDIR CINTA yang KAU
aturkan untuk kami…
Posted by
Nek Cun
at
23:22
0
comments
Tuesday, April 22, 2014
DEMIMU NAZWA - BAB 5
Ketika sampai di pejabat pagi itu, Nazwa agak terkejut.
Beberapa orang pekerja sedang sibuk mengubah suai pejabat. Begitu juga di luar
bangunan. Beberapa orang kontraktor sedang sibuk mengecat bangunan pejabat dan
juga bangunan kilang Libur Kanan itu. Taman mini di sekeliling bangunan pejabat
juga dinaik taraf dengan pasu-pasu bunga yang lebih cantik dan menarik.
“Hei! Apa dah jadi dengan pejabat kita ni?” tanya
Nazwa dengan dahi berkerut-kerut.
Ketika itu Farina sedang melangkah menghampiri meja
Nazwa untuk mengajaknya sarapan di kafetaria.
“Mula-mula tadi aku pun terkejut. Aku tanya Azhar,
Penolong Pengurus di bahagian pentadbiran, kenapa pejabat kita jadi macam ni.
Dia kata pengurusan baru yang mahukan bangunan dan pejabat kita ini diubah suai
supaya ada imej korporat,” beritahu Farina.
“Oh, iya ke? Banyak betul modal Al-Khusyairy Mega
Holding sehingga sanggup mengubah suai semua pejabat dan kilang Libur Kanan
ni,” komen Nazwa sambil mengelap habuk-habuk halus yang kelihatan di skrin
komputernya.
“Alah syarikat besar macam tu, kalau takat nak ubah suai
pejabat yang ciput ni, memang tak jadi kudis pun pada mereka,” tambah Farina
lagi.
“Wah, pejabat Dato’ Razlan pun bukan main lagi diubah
suai. Macam mana dato’ nak buat kerja sementara dia orang ubah suai tu?” soal
Nazwa dengan nada yang agak teruja.
Nazwa terus memerhatikan beberapa pekerja binaan yang
keluar masuk dari bilik Dato’ Razlan yang terletak di bahagian hujung bangunan
pejabat mereka itu.
“Dato’ Razlan mana datang pejabat lagi?” ujar Farina.
“Dia ke mana?” soal Nazwa, hairan.
“Dato’ Razlan telah pun melepaskan jawatannya kepada
salah seorang pegawai tinggi Al-Khusyairy Holding. Shimah beritahu aku tadi
yang bos barunya akan datang ke pejabat dalam tempoh dua minggu lagi, bila
biliknya tu dah siap diubah suai,” jelas Farina lagi.
“Oh, iya ke?” Lagi sekali Nazwa terkejut dengan berita
itu.
“Iyalah, cik adik oii. Apa yang nak dihairankan? Macam
yang kita dan Ed bincangkan hari tu, Al-Khusyairy Mega Holding pasti akan
meletakkan orang dia untuk mengetuai pengurusan baru Libur Kanan ni. Biasalah
kalau sesuatu syarikat tu diambil alih oleh pengurusan lain,” komen Farina
ketika mereka mula beriringan menuju ke kafeteria.
Oh... Al-Khusyairy Mega Holding memang benar-benar
mahukan perubahan pada Syarikat Libur Kanan ini. Adakah ini semua arahan
daripada Ahmad Saifulrizwan? Macam mana kalau dia tahu aku jugak bekerja di
Syarikat Libur Kanan ini? Mungkinkah dia akan memberhentikan aku dari terus
bekerja di sini? Desis hati kecil Nazwa terus berkecamuk dengan soalan-soalan
yang tidak mampu dijawab.
Sehari suntuk Nazwa tidak dapat menumpukan perhatian
pada kerja sebaliknya dia terus berfikir-fikir sama ada mahu meletakkan jawatan
sekarang sebelum Ahmad Saifulrizwan memecatnya ataupun membiarkan sahaja
perkara itu sehingga dia benar-benar telah dipecat kelak.
Nazwa benar-benar buntu sekiranya dia berhenti
sekarang. Bukan senang nak dapat kerja. Nazwa tidak boleh berhenti kerja
sewenang-wenangnya kerana dia perlu mencari wang untuk menampung kehidupan dua
beranak, iaitu dia dan ibunya.
Apa yang lebih membimbangkan Nazwa ialah kos perubatan
ibunya yang perlu diuruskan setiap bulan kerana keadaan kesihatan ibunya masih
belum stabil.
Tiba-tiba Nazwa teringatkan Suryani, kawan pejabatnya
dulu. Dia telah pun berhenti kerana dapat kerja yang lebih baik di salah sebuah
syarikat telekomunikasi yang terkemuka. Nazwa menarik nafas dalam-dalam sebelum
menekan nombor telefon Suryani.
“Assalamualaikum, Yani!”
“Waalaikumusalam. Siapa ni?”
“Akulah Naz. Kau dah tak ingat aku lagi ke?”
“Oh, Naz. Apa khabar? Siapa yang boleh lupakan kau.
Pegawai yang cantik manis kesayangan bos di Libur Kanan tu,” usik Suryani sambil
tergelak.
“Hisy, ada-ada ajelah kau ni. Mana pulak aku yang jadi
kesayangan bos. Kalau aku ni kesayangan bos, tentu dah lama aku naik pangkat
jadi pengurus,” jawab Nazwa sambil turut tertawa.
Dia faham benar dengan sikap Suryani yang suka
bergurau.
“Iyalah. Orang lain dah kerja bertahun-tahun pun, tak
dapat nak kerja direct bawah pengarah urusan tau. Tapi kau, walaupun
melapor bawah pengurus besar, tetap kena buat direct report pada
pengarah urusan. Maknanya, dia memang sayang kat kau tu,” usik Suryani lagi.
“Pasal dia tengok aku sama macam anak dia kot. Itulah
sebab dia selalu panggil aku tu agaknya,” sangkal Nazwa terus tertawa kecil
menjawab usikan Suryani.
“Macam anak dia ke atau macam bakal isteri muda dia?”
Kedengaran Suryani masih terkekeh-kekeh menyakat Nazwa. Seronok benar dia dapat
bergurau dengan Nazwa kerana telah lama tidak berhubungan.
“Hei, minta simpang malaikat 44. Biarlah aku jadi
andartu dari kahwin dengan orang tua macam tu. Buat susah aku aje nanti.
Lagipun macam mana dia nak panggil ibu aku ‘ibu’ kalau umur dia lebih tua
daripada ibu aku?” balas Nazwa sambil terkekeh-kekeh juga kerana geli hati
sangat dengan saranan Suryani itu.
“Tua-tua pun apa salahnya, kalau duit dia
berkepok-kepok. Apa kau nak, semua dia boleh beri.”
“Hei Yani, money cannot buy everything in this
world. Tak guna ada duit banyak kalau hidup tak bahagia.”
“Betul, betul. Aku setuju sangat dengan kau. Eh, apa
khabar orang tua tu hah? Sihat lagi ke dia?” tanya Suryani pula.
“Itulah yang aku telefon kau ni. Aku ada hal nak minta
tolong,” ujar Nazwa spontan.
“Oh, iya ke? Apa kena orang tua tu sampai kau telefon
aku nak minta tolong?” tanya Suryani, hairan.
“Kau tak dengar ke berita yang Libur Kanan telah
diambil alih syarikat baru?” soal Nazwa.
“Ada tapi apa kena-mengena dengan Dato’ Razlan? Dia
masih pengarah urusan kat situ kan?” tanya Suryani bertubi-tubi.
“Tak lagi. Dia telah melepaskan jawatannya kerana dia
bukan lagi pemegang saham terbesar Libur Kanan. Sekarang, semua pengurusan di
Libur Kanan telah diambil alih oleh Al-Khusyairy Mega Holding” terang Nazwa,
perlahan.
Tiba-tiba wajah Ahmad Saifulrizwan dengan renungan
matanya yang tajam bagaikan menari-nari di tubir mata Nazwa. Hati Nazwa jadi
sendu.
“Jadi Dato’ Razlan dah tinggalkan Libur Kananlah ya?”
“Haah! Itulah sebab aku telefon kau, nak tanya
kalau-kalau ada kerja kosong kat syarikat tempat kau kerja tu yang boleh aku
cuba nasib.” Akhirnya Nazwa memberitahu akan hasratnya.
“Kenapa kau nak tinggalkan Libur Kanan? Pengurusan
baru tu nak buang pekerja Libur Kanan yang ada sekarang ke?” soal Suryani agak
terkejut.
“Buat masa ini, belumlah lagi tapi aku harus bersedia.
Manalah tahu kalau tiba-tiba nanti mereka nak buang pekerja. Selalunya kalau ada
pengambilalihan syarikat, pasti akan ada proses pengurangan pekerja. Aku pulak
agak baru di Libur Kanan, sudah pasti akulah yang kena buang dulu.” Dengan
suara agak lirih Nazwa menyuarakan kebimbangannya.
Kedengaran Suryani menarik nafas agak dalam seolah-olah
faham kerisauan sahabatnya itu.
“Err... buat masa sekarang ni, tak adalah aku dengar
apa-apa kekosongan lagi tapi kau hantar ajelah resume kat aku. Nanti aku
cuba berikan pada bahagian sumber manusia. Manalah tahu kalau tiba-tiba ada
keperluan yang berkaitan kelulusan dan pengalaman kau, jadi bolehlah mereka
pertimbangkan,” saran Suryani.
“Emm... terima kasihlah Yani kerana memahami keadaan
aku. Nanti aku sediakan resume aku dan e-melkan kat kau. Pakai e-mel
boleh, kan?” ucap Nazwa dengan nada teruja.
“Boleh, kau e-mel ajelah. Nanti kalau mereka mahu
dokumen-dokumen lain, barulah kau hantar salinannya,” jawab Suryani spontan.
Jelas kedengaran keikhlasan suaranya untuk membantu sahabatnya itu.
“Alhamdulillah, nasib baiklah aku dapat kawan yang
sedia bantu macam kau. Minta-minta adalah kerja kosong nanti,” ujar Nazwa
dengan harapan menggunung.
“Insya-ALLAH, kalau ada rezeki, adalah nanti.
Berdoalah semoga ALLAH sentiasa memurahkan rezeki kita.”
“Okey, lagi sekali terima kasih. Maaf kerana ganggu
kau.
Nanti aku e-melkan resume aku ya.
Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam. Nanti ada masa, kita jumpa ya,”
balas Suryani sebelum memutuskan talian.
Ya ALLAH, ya Rahman, ya Rahim, KAU
permudahkanlah segala usahaku ini, getus hati kecil Nazwa berdoa dan terus
menaruh harapan agar usahanya untuk mencari kerja di tempat baru itu akan
dimakbulkan ALLAH.
Posted by
Nek Cun
at
18:33
0
comments
Tuesday, March 18, 2014
DEMIMU NAZWA - BAB 4
Dalam dua tiga hari ini semua staf di
Syarikat Libur Kanan sibuk bercerita pasal pengambilalihan syarikat oleh
Al-Khusyairy Mega Holding. Ianya bukan lagi satu rahsia apabila cerita itu
telah pun tersiar di dalam Akhbar Sinar Harian.
Hati Nazwa bertambah rawan apabila mengenangkan
kedudukannya di dalam Syarikat Libur Kanan kelak. Cara perpisahan yang terjadi
antara dia dan Ahmad Saifulrizwan dulu amat tragis dan Nazwa tahu lelaki itu
tidak akan mudah memaafkannya.
Nazwa yakin apabila Ahmad Saifulrizwan nampak namanya
di dalam senarai tenaga kerja Syarikat Libur Kanan, sudah pasti lelaki itu akan
mengarahkan agar dia diberhentikan dari syarikat itu.
Oh... sebelum dia berhentikan aku, lebih baik aku
letak jawatan dahulu. Tak payahlah dia malukan aku. Tiba-tiba hati kecil Nazwa
berkata.
Tapi apalah sangat Syarikat Libur Kanan ini kalau
dibandingkan dengan lain-lain anak syarikat milik Al-Khusyairy Mega Holding
yang lebih besar dan terkenal itu. Sudah pasti, dia tidak ada masa untuk
menyemak semua nama pekerja. Entah-entah dia sendiri pun tak minat untuk buang
masanya di syarikat ini. Tentu dia perlu menumpukan lebih perhatian di syarikat
induk atau di anak-anak syarikat yang lebih besar.
Jadi, buat apa aku letak jawatan dulu? Tengok keadaan
dulu. Kalau aku tak tahan nanti, barulah aku letak jawatan, bisik hati kecil
Nazwa yang sebelah lagi bagaikan memberi pendapat.
“Hei Naz, kau tengoklah bakal bos baru kita ni bagi
komen dalam akhbar. Bukan main lagi yakin nak transformkan Libur Kanan
ni ke peringkat antarabangsa,” ujar Farina, menghulurkan Akhbar Sinar Harian ke
arah Nazwa.
“Eloklah tu. Sekurang-kurangnya kita tak perlulah
risau sangat pasal pembuangan pekerja,” jawab Nazwa, bagaikan acuh tak acuh.
“Haah, kalau macam itulah semangat dia, aku pun rasa
yakin yang dia pasti takkan buang mana-mana pekerja kat Libur Kanan ni. Dia
benar-benar bersemangat nak kembangkan perniagaan Libur Kanan yang dia kata
banyak potensi ini. Apa pandangan kau, Ed?” tanya Farina yang kebetulan turut
makan bersama mereka di kafeteria tengah hari itu.
“Aku pun rasa macam tu. Ada baca komen dia dalam
Akhbar Sinar Harian tempoh hari, memang aku tengok Ahmad Saifulrizwan ni
seorang yang bercita-cita tinggi. Penuh keyakinan dalam mencapai objektif
perniagaan yang diterajuinya.
Lihat sahajalah kemajuan yang dicapai Al-Khusyairy
Mega Holding. Sungguh memberangsangkan sejak dia menjadi CEOnya. Harap-harap,
dia betul-betul boleh transform Libur Kanan ke peringkat antarabangsa.
Taklah macam sekarang ni, asyik ditakuk yang sama aje,” ujar Edham dengan penuh
harapan.
“Alah dia masih muda. Baru setengah umur Dato’ Razlan,
mestilah bersemangat dan punya macam-macam idea,” komen Nazwa selamba.
Dia tahu benar akan keperibadian lelaki yang pernah
hidup bersamanya hampir lebih dua tahun itu.
“Berapa umur dia?” tanya Farina begitu teruja.
“Lebih kurang 32 tahun.” Dengan penuh yakin jawapan
itu terlontar dari bibir Nazwa.
“Macam mana Naz boleh tahu umur dia?” tanya Edham,
hairan.
Nazwa terkesima dengan soalan Edham. Dia benar-benar
tidak menyedari bahawa jawapannya itu hampir-hampir membuka rahsia peribadinya.
Hati Nazwa jadi bergetar tidak keruan.
“Haah, mana kau tahu umur bakal bos baru kita tu?”
celah Farina pula, turut hairan.
“Err...aaa...aku ada terbaca profile dia dalam satu business
magazine tak berapa lama dulu,” jawab Nazwa agak tergagap-gagap.
“Business magazine apa dan bila? Hairan jugak sebab Ed tak pernah pun
nampak artikel pasal Ahmad Saifulrizwan tu di mana-mana,” sangkal Edham.
“Emm... magazine apa namanya, Naz dah tak
ingat, tetapi ianya lebih kurang dua tiga bulan lalu. Oleh kerana masa tu kita
tak tahu apa-apa pun pasal pengambilalihan ini, maka Naz pun taklah kisah
sangat pasal cerita dia tu.” Nazwa cuba menstabilkan suaranya agar Farina dan
Edham tidak dapat mengesan pembohongannya itu.
Farina dan Edham hanya mengangguk-angguk. Tanda
menyetujui apa yang dikatakan Nazwa.
“Hmm...mungkin jugak. Sebab itulah Ed pun tak berapa perasan
ada artikel pasal Ahmad Saifulrizwan tu dalam magazine,” ujar Edham
akhirnya.
Perlahan-lahan Nazwa menarik nafas lega sambil
pura-pura terus membaca artikel dalam akhbar yang disuakan Farina tadi. Tidak
berani dia memandang Edham yang sedang memerhatikannya. Khuatir apa yang dirasa
akan terpancar di matanya. Nazwa tidak mahu ada sebarang syak wasangka dalam
hati Edham mahupun Farina. Rahsia dia dengan Ahmad Saifulrizwan perlu disimpan
rapi.
“Ed, kau agak siapalah yang akan ambil alih tempat
Dato’ Razlan?” Tiba-tiba Farina bertanya.
“Tak tahulah siapa. Mungkin salah seorang pengurusan
kanan dari pejabat induk Al-Khusyairy Mega Holding. Tapi...” Edham seolah-olah
tidak pasti akan apa yang hendak dikatakannya.
“Tapi apa Ed?” soal Nazwa.
“Tapi tidak mustahil jugak kalau Al-Khusyairy Mega
Holding akan mengekalkan Dato’ Razlan sebagai pengarah urusan kat sini, sebab
Dato’ Razlan masih mempunyai saham dalam Libur Kanan,” ujar Edham cuba menerangkan
apa yang ada di fikirannya.
“Err... elok jugak kalau Dato’ Razlan masih kat sini
tapi larat ke dia nak ikut rentak pengurusan baru tu?” tanya Nazwa lagi.
Dia agak sangsi dengan apa yang dikatakan Edham.
“Eh, aku dengar Shimah kata Dato’ Razlan dah tak mahu
lagi masuk campur dalam urusan Libur Kanan ni, walaupun ditawarkan Al-Khusyairy
Mega Holding. Itu yang Shimah agak bimbang. Dia tak tahu macam mana perangai
bos barunya nanti,” ujar Farina.
“Iya ke? Habis tu, siapa yang akan menggantikan Dato’
Razlan?” tanya Nazwa kembali.
“Tak payahlah kita bimbangkan siapa yang akan gantikan
tempat Dato’ Razlan. Apa yang penting sekarang, kita telah dapat pengurusan
baru yang lebih dinamik dan aku harap kita akan dapat peluang yang lebih luas
untuk membina kerjaya yang cemerlang di syarikat ini kelak,” ucap Edham dengan
penuh semangat.
“Betul kata kau tu, Ed. Aku setuju. Eh, aku tengok kau
memang bersemangat betul nak kerja dengan pengurusan baru ni. Kenapa ya?”
Farina sengaja menduga apabila melihat riak Edham yang begitu bertenaga.
“Mestilah! Harap-harap bila pengurusan baru, syarikat
pun maju, jadi peluang naik pangkat pun mungkin semakin luas. Bila dah naik
pangkat, bolehlah aku segera kahwin dengan buah hati aku ni.”
Sambil tersenyum riang dan tanpa segan silu Edham
berkata. Seronok benar dapat meluahkan perasaannya pada Nazwa di hadapan
Farina. Edham tahu, pasti Farina sudah tahu hubungan rapat dia dengan Nazwa.
Nazwa terkedu. Tidak sangka Edham begitu berani
meluahkan hasrat hatinya di hadapan Farina. Segera Nazwa membulatkan biji
matanya sambil menentang anak mata Edham seolah-olah memprotes.
“Alah Naz, betullah apa yang Ed cakapkan tu. Takkanlah
itu pun kau nak malu. Lagipun, kalau dah sama-sama setuju, apa lagi yang nak
ditunggu-tunggu? Perkara yang baik tu, eloklah disegerakan,” ujar Farina sambil
menepuk-nepuk lembut bahu Nazwa.
Mendengar kata-kata Farina, Edham terus tersenyum
sambil mengangkat kening beberapa kali. Seolah-olah mencabar pendirian
kekasihnya itu.
“Insya-ALLAH, kalau ada jodoh, tak ke mana,” jawab
Nazwa akhirnya walaupun hatinya menidakkan kata-kata Edham.
“Emm... Fina, kau tolong doakan semoga kami cepat
disatukan,” ujar Edham lagi dengan penuh harapan.
“Dah pasti tapi jangan pulak lupakan aku bila tiba
hari bahagia nanti. Kalau kau orang lupakan aku, aku takkan teragak-agak
pancitkan tayar kereta kau orang,” ugut Farina, sengaja mengusik.
“Hei! Ada-ada ajelah kamu ni Fina! Dahlah tu. Tak
usahlah disebut-sebut perkara yang belum tentu tu. Ni fikirlah macam mana kita
nak hadapi bos baru kita ni nanti,” sangkal Nazwa sambil menepuk-nepuk bahu
Farina.
Edham turut tertawa kecil dengan gurauan Farina tadi.
Kemudian dia merenung Nazwa sambil mengerutkan dahi seolah-olah tidak memahami
mengapa Nazwa berkata begitu.
“Emm... Ed, kau agak Encik Ahmad Saifulrizwan tu akan
menggantikan Dato’ Razlan ke?” Tiba-tiba Farina bertanya, bagaikan turut
menyetujui kata-kata Nazwa.
Jantung Nazwa bagaikan tiba-tiba berhenti berdenyut
apabila mendengar nama lelaki yang pernah mewarnai hidupnya itu. Luka lama
bagaikan berdarah kembali. Segera Nazwa tunduk, tidak mahu Edham ataupun Farina
mengesani geteran di hatinya.
“Aku tak fikir dia mahu menumpukan banyak masanya di
Libur Kanan. Tenaganya pasti diperlukan lebih di syarikat induk. Tapi tak
tahulah. Mungkin kalau dia ingin pastikan Libur Kanan ini benar-benar boleh
memasuki pasaran antarabangsa, mungkin dia akan selalu datang ke sini,” jawab
Edham dengan jujur.
Farina hanya mengangguk-angguk.
Aku
harap lelaki itu tak akan datang ke pejabat ini bila-bila masa pun, getus hati
kecil Nazwa terus berdoa dan berharap.
Posted by
Nek Cun
at
18:46
0
comments
Thursday, February 13, 2014
MANISNYA PERSAHABATAN YANG IKHLAS...
Hati Nekcun memang rasa amat tersentuh apabila seorang sahabat yang telah lama menghilangkan diri dari kehidupan Nekcun tiba-tiba muncul di dalam 'Telegram' Nekcun. Memang Nekcun amat terkejut kerana dia masih menyimpan nombor telefon Nekcun dan sebab itu dia boleh menghubungi Nekcun kembali melalui Telegram apabila Nekcun menyertai sistem itu.
Itulah yang dinamakan takdir dan hidayah. Kalau ALLAH mahu memberi hidayah kepada seseorang itu untuk kembali mengiratkan silaturrahim yang telah terputus kerana 'fitnah' yang tidak mampu kita hendak menunjukkan kebenarannya, maka tidak mustahil ianya akan terjadi dan kebenaran tetap terbukti. Itu jugalah yang dikatakan takdir kerana walaupun sudah hampir 15 tahun terpisah tanpa sebarang komunikasi, tiba-tiba sahaja hati kita terbuka untuk berbaik dan bertemu kembali bagi memberi ruang kepada 'kebenaran' melenyapkan 'fitnah' yang menyakitkan itu. Syukur, Alhamdulillah... Semoga silaturrahim kami kembali bertaut dan mendapat kerahmatan dan keberkatan dari ALLAH yang maha Esa.
Posted by
Nek Cun
at
08:05
0
comments
Sunday, January 12, 2014
Novel DEMIMU NAZWA - Bab 3
“KENAPA senyap aje ni, sayang? Tak seronok
jumpa Ed ke?” usik Edham ketika mereka sedang makan malam di sebuah restoran
yang biasa mereka kunjungi.
Memang begitulah selalunya, Edham dan Nazwa akan
keluar makan berdua-duaan terutamanya kalau sudah lama tidak bertemu. Kalau
ikutkan hati, memang Nazwa agak keberatan tetapi tidak sampai hati pula untuk
menghampakan permintaan lelaki yang begitu baik dan amat memahami perasaannya
itu.
Dalam tempoh lebih setahun perkenalan mereka, belum
pernah Edham menyakiti hati Nazwa. Sebaliknya, Nazwa yang agak kasar dengan
Edham. Nazwa tahu yang Edham amat mencintainya dan dia tidak sanggup
menghampakan hasrat lelaki itu.
Sebenarnya Nazwa buntu. Tidak tahu bagaimana nak
terangkan kepada Edham. Selama ini, Edham hanya tahu yang dia sudah berkahwin
dan telah berpisah dengan suaminya. Namun pada hakikatnya, Edham tidak tahu
bahawa Nazwa sebenarnya masih terikat dengan suaminya. Ahmad Saifulrizwan tidak
pernah melafazkan talak dan mengikut hukum syarak Nazwa masih lagi isteri
lelaki itu.
Tidak ada sebarang dokumen pernikahan yang
disimpan.Malah Nazwa sendiri tidak tahu bahawa dokumen itu amat penting untuk
sebarang urusan berkaitan tuntutan perkahwinan dari segi undang-undang negara.
Dan sebab itulah Nazwa tidak pernah minta dokumen itu semasa hidup bersama
dahulu. Tambahan, pada umur 20 tahun, Nazwa tidak pernah terfikir bukti
pernikahan itu amat penting baginya.
Sehingga sekarang, Nazwa tidak boleh buat apa-apa atas
status pernikahan mereka. Dia tidak mempunyai satu pun bukti bahawa dia pernah
bernikah dengan lelaki bernama Ahmad Saifulrizwan Al-Khusyairy. Namun dari
hukum syarak, Nazwa tahu bahawa mereka masih suami isteri yang sah kerana
lelaki itu telah menerima ijab kabul mereka secara sah di hadapan Imam Masjid
London Central di Kota Metropolitan lebih kurang enam tahun yang lalu.
“Err...tak adalah! Kenapa Ed cakap macam tu?”
“Dari tadi Ed tengok Naz senyap sahaja. Tak ceria
macam selalu. Nampak macam Naz tak rindu pada Ed walaupun dah dua minggu kita
tak jumpa.”
“Ed, siapa kata Naz tak rindu? Tapi kalau rindu pun
apa yang boleh Naz buat sekarang?” usik Nazwa sambil tersenyum nakal.
“Itulah, dah berapa kali Ed ajak Naz kahwin cepat,
tapi Naz asyik minta tangguh. Kalau tak, kita dah...” Terhenti Edham di situ.
Lidahnya kelu untuk meneruskan kata-katanya.
“Kita dah apa?” tanya Nazwa, tiba-tiba rasa seronok
mahu menduga perasaan Edham.
“Naz, Ed tahu Naz faham apa yang Ed maksudkan. Tapi
kenapa Naz mahu kita derita begini?” tanya Edham dengan nada agak lirih.
“Ed! Ooo...” Nazwa tidak mampu menjawab melainkan
mengeluh lemah sebagaimana selalu apabila Edham mendesak begitu.
Nazwa perasan Edham telah meletakkan sudu yang
dipegang. Tangannya mahu menyentuh jari-jemari Nazwa yang berada di atas meja
namun cepat-cepat dia menarik kembali tangannya apabila mendengar keluhan Nazwa
itu.
Memang begitulah Edham. Terlalu jujur dengan hubungan
sehingga tidak pernah menyentuh jari-jemari Nazwa kerana menghormati pendirian
gadis itu dalam menjaga tatasusila dan hukum agama di dalam pergaulan.
Hati Nazwa jadi amat sendu dan pilu setiap kali
melihat reaksi Edham itu. Tambahan pula lelaki itu sering menyuarakan hasrat
mahu mengahwininya. Kalaulah bukan sebab apa yang terjadi padanya hampir empat
tahun dulu, mungkin Nazwa dengan senang hati menerima lamaran Edham itu. Nazwa
sedar, tidak ramai lelaki yang jujur seperti Edham di dalam menjalinkan
hubungan.
Maafkan aku, Ed! Aku benar-benar tak berdaya sekarang,
bisik hati kecil Nazwa dengan rasa penuh sendu.
Lantaran desakan Edham yang begitu mengharap, Nazwa
terpaksa berterus terang dengan Edham mengenai dirinya yang pernah berkahwin.
Kemudian berpisah ketika belajar di UK dulu, walaupun itu adalah satu rahsia
yang tidak ada siapa pun mengetahuinya walaupun ibunya sendiri.
Pada mulanya Edham agak terperanjat namun dia amat
menghargai kejujuran Nazwa dan berjanji tak akan menceritakannya pada sesiapa
pun. Kejujuran Nazwa itulah yang menguatkan lagi cinta Edham pada wanita itu.
Sudah beberapa kali Edham menegaskan bahawa dia tidak
kisah akan status ‘janda’ Nazwa itu. Tiada siapa pun yang akan tahu bahawa
Nazwa pernah berkahwin dan kemudian bercerai ketika berada di luar negara
dahulu. Dan sebab itulah Edham tidak mahu ambil tahu siapa bekas suami Nazwa.
Baginya yang penting, adalah keikhlasannya mencintai Nazwa dan mahu mengahwini
wanita itu seberapa segera. Cinta yang hadir dalam hati Edham ketika pertama kali
menatap wajah Nazwa setahun yang lalu, adalah cinta yang amat agung baginya.
“Kenapa susah benar Naz nak terima Ed? Adakah Naz
masih tak percaya pada Ed ataupun Naz memang tak pernah mencintai Ed?” soal
Edham lagi.
“Ed, janganlah cakap macam tu. Naz amat menghargai
cinta Ed tapi...”
“Tapi apa Naz?”
“Naz masih takut akan perkara ngeri yang telah menimpa
perkahwinan Naz dulu. Naz tak berani nak menghadapinya untuk kali kedua,”
beritahu Nazwa sambil menundukkan kepala.
Dia tidak tahan dengan renungan Edham yang bagaikan
menembusi jantungnya.
“Naz, tidak semua lelaki sama. Lagipun, masa tu
mungkin Naz masih terlalu muda untuk memikul tanggungjawab sebagai isteri. Tapi
sekarang Naz sudah lebih matang. Ed yakin kita boleh bina sebuah rumah tangga
yang bahagia kerana kita telah sama-sama tahu tanggungjawab masing-masing,”
pujuk Edham lagi.
“Tapi Ed...”
“Tapi apa Naz? Apa lagi bukti cinta kalau bukan
melalui perkahwinan?” ucap Edham seolah-olah mahu mencabar kejujuran Nazwa.
Nazwa merenung anak mata Edham. Dia tidak nampak yang
lain melainkan cinta yang luhur dalam mata lelaki itu. Hati Nazwa jadi
bertambah sendu dan pilu.
“Berilah Naz masa. Insya-ALLAH kalau ada jodoh kita,
tak ke mana.” Akhirnya Nazwa berkata perlahan, bagaikan memohon simpati.
“Ed akan beri berapa banyak masa yang Naz perlukan
walaupun seribu tahun lagi. Cuma Ed mahu Naz tahu bahawa berakhirnya sesuatu
itu, bukan bermakna tiada lagi permulaan. Permulaan yang baru mungkin akan
lebih baik dari yang telah berakhir. Lupakanlah segala yang pernah menjadi
mimpi ngeri Naz itu. Buka lembaran baru. Kita bina kebahagiaan baru bersama,”
ujar Edham, membalas renungan Nazwa dengan penuh kasih sayang.
“Ed jugak mahu cinta kita ini subur dalam keadaan yang
mendapat keredhaan ALLAH. Dan sebab itu, Ed mahu kita berkahwin secepat
mungkin. Berapa lama lagikah perlu kita menanggung derita jiwa, menahan
perasaan rindu begini? Kita bukan lagi pasangan remaja yang masih belum tahu
hala tuju kehidupan. Ed harap Naz fikirkanlah apa yang Ed kata ni,” pujuk
Edham, bagaikan tidak pernah kenal erti putus asa.
“Insya-ALLAH Ed. Doakanlah agar niat suci kita ini
akan diredhai dan dipermudahkan ALLAH.”
Dengan suara yang agak perlahan Nazwa membalas agar
Edham tidak dapat mengesani getaran yang sedang memukul dinding jantungnya.
Oh... bagaimanakah boleh aku mengahwini kau, Ed? Kalau
kau tahu keadaan aku yang sebenarnya, mungkin kau takkan desak aku begini, hati
kecil Nazwa terus merintih pilu.
Memang Nazwa amat menyenangi kehadiran Edham tetapi
sama ada dia benar-benar mencintai lelaki itu, Nazwa sendiri tidak tahu. Dia
masih belum boleh memadamkan wajah Ahmad Saifulrizwan dari ingatannya.
Cinta
pandang pertama bagi kedua-dua mereka bagaikan tidak boleh dipisahkan. Itulah
yang membuatkan mereka terperangkap dalam perkahwinan mereka dahulu.
Posted by
Nek Cun
at
15:29
0
comments
Subscribe to:
Posts (Atom)






