Friday, August 22, 2008

Cappuccino ke Kopi Cina?


Tengah hari tadi kawan lama nekcun datang menziarahi nekcun di pejabat. Kebetulan dah masuk waktu makan, jadi nekcun pun ajaklah kawan nekcun tu pergi cafe yang ada di bawah pejabat nekcun. Bolehlah kami sembang sambil makan minum, baru syok!…
“Hei… ko nak makan apa?”
“Entah!... sebenarnya aku dah kenyang. Aku nak minum ajer” jawab kawan nekcun.
“Ko nak minum apa?” nekcun tanya kawan nekcun lagi.
“Apa ada?”
“Semua ada… teh, kopi, nescafe, cappuccino pun ada!” jawab si pelayan cafe.
“Apo? Kopi Cino pun ado?” kawan nekcun sengaja memandang tepat ke mata pelayan tu dengan loghat N9 nya, seolah kagum dengan kelebihan di restoran itu.
“Ada… panas ada, ice blended pun ada…” pelayan cafe tu mempromosikan lagi menu yang ada di cafe itu.
“Okey… kalau gitu, bagi saya Kopi Cino satu! Aku nak raso macam manolah kopi Cino kat sini!...” jawab kawan nekcun.
“Okeylah… cappuccino dua! Saya pun nak minum sajer” tambah nekcun kerana sebenarnya nekcun pun dah kenyang juga. Cuma nak ajak kawan nekcun minum-minum sahaja.
Tak lama kemudian pelayan pun datang membawa dua cawan cappuccino untuk kami. Tanpa membuang masa, kawan nekcun pun minum air yang ada di depannya. Baru seteguk dia meminum, hampir tersembur air cappuccino tu dari mulutnya.

“Alamak!... apo pahit bonar kopi Cino nih? Setahu aku teh Cino ajo tak bergulo, rupanya kopi Cino pun tak bergulo jugak ko?” sergah kawan nekcun sambil membeliakkan matanya pada pelayan cafe tadi seolah mamat tu telah melakukan kesilapan. Kesihan nekcun tengok mamat tu terkejut dengan sergahan itu.

“Hei… apa pulak pahit! Memang inilah rasa C a p p u c c i n o, cik kak ooi!” sanggah nekcun sambil tergelak bila pelayan restoran telah meninggalkan meja kami.

“Aku tahulah!... sengaja aku nak usik mamat tu!... handsome beb!...biar dia ingat kat aku…Mesti dia ingat aku ni tak pernah minum cappuccino kan?” balas kawan nekcun sambil turut tergelak dan menepuk bahu nekcun.

“Cantik benorlah ko punya ingat!... silap haribulan dia ingat ko ni datang dari hulu mana, hinggakan cappuccino dengan kopi Cina pun kau tak tau!...” nekcun berleter sekejap.

“Eh!… ada ke kopi Cina?” tiba-tiba kawan nekcun bertanya seolah hairan pulak.
“Laaa… kan ko yang mintak tadi, tak kan ko tak tahu?” nekcun tempelak balik kawan nekcun yang suka pot-pet-pot-pet tu.
“Hei… tu aku sajer nak ngusik mamat tu, tak sangka pulak betul ada kopi Cina…” jawab kawan nekcun.
“Kalau dah orang Cino yang bancuh kopi tu, kopi Cino lah namonyo… apo susah bonar ko nak cari samado ado ke tak kopi Cino tuh?” nekcun mengajuk loghat N9 kawan nekcun.
“Banyaklah ko punya Kopi Cino!… “ kawan nekcun menepuk bahu nekcun, lalu kami berdua ketawa berdekah-dekah.
Sekali sekala seronok juga kalau dapat kenakan kawan macam tuh!… hehehe…

Wednesday, August 20, 2008

Hukum atau Fesyen?



Ketika mahu bertolak ke ‘B’ tempoh hari, anak nekcun yang bungsu sempat berpesan untuk mencarikannya tudung yang sesuai untuk dipadankan dengan warna baju hari rayanya nanti kerana di sana terdapat banyak kain-kain tudung yang berbagai jenis dan cantik-cantik disamping harganya yang murah.

“Alaahhh… kalau takat nak cari kain tudung, kat KL ni pun berlambak!” ujar nekcun. Malas nak tercari-cari yang sesuai nanti kerana tahu sangat perangai cerewet anak nekcun yang sorang ni.

“Eeeemmm… tak sama macam beli kat sana!” jawabnya sambil memuncungkan mulutnya. Merajuklah tuh!...

“Okey… nanti ayah carikan…” segera atok menyampok bila melihat anak kesayangan dah memuncung.

Memang begitulah selalunya… bila nekcun tak beri, atok pulak yang beriya-iya nak beri. Akhirnya si montel nekcun ni pun mulalah menjadi-jadi manjanya! Mungkin sebab anak bungsu kot!... betul ke semua anak bungsu manja begitu? Entahlah… sebab nekcun ni anak sulong, selalu tegas terhadap adik-adik dan terikut-ikut pula pada anak-anak, jadi bila anak bungsu sendiri manja-manja begitu, rasa rimas pulak!... Tapi bila atok dah layan begitu, nekcun ikut sajerlah!...

Bila cerita pasal pakai tudung nih, nekcun teringat satu seminar bagaimana nak mengikat tudung supaya nampak cantik tetapi tetap menutup aurat, yang pernah nekcun hadiri sedikit masa dulu. Kekadang, terfikir juga dihati nekcun, apakah motif sebenar kita memakai tudung kepala? Nak nampak cantik atau untuk menutup aurat? Nekcun pun tak berani nak jawab soalan ini kerana nekcun sendiri hanya mula benar-benar memakai tudung dalam tempoh hampir sedekad ini sahaja iaitu sejak nekcun kembali dari mengerjakan Ibadah Haji yang pertama dulu. Memang nekcun rasa berdosa sangat kerana masih jahil dengan hukum menutup aurat sebelum itu. Semoga Allah akan mengampunkan dosa-dosa nekcun di atas kejahilan itu.

Tetapi sekarang kita boleh lihat hampir 80% wanita Islam di negara ini memakai tudung kepala. Tak kiralah macam mana gayanya, tetapi apa yang penting aurat yang perlu ditutup tetap ditutup. Nekcun sendiri kekadang seronok melihat bermacam-macam gaya tudung dipakai. Tapi nekcun tetap pakai gaya yang sama walau ke mana kerana tak sempat nak berlama-lama di depan cermin… Bagaimanapun nekcun tetap bersyukur kerana Allah telah menurunkan hidayahnya pada nekcun supaya segera bertaubat dari kejahilan dulu, walaupun kekadang nekcun rasa masih belum sempurna.


Nekcun berharap sangat, di bulan Ramadhan yang mulia ini, kita semua umat Islam di Malaysia ini akan mendapat keberkatan dan Rahmat Allah di dalam memperbaiki amalan kita dan juga memerdekakan diri kita dari sebarang kejahilan di dalam menegakkan hukum-hukum Islam yang syumul. InsyaAllah!...



p/s: Geli hati juga bila tengok gambar nekcun baru mula belajar pakai tudung dulu...hehehe...

Thursday, August 14, 2008

PUASA ATAU HARI RAYA YANG KITA TUNGGU?

Dua tiga hari ni kerja di pejabat amat-amat menekan perasaan nekcun. Tengah hari tadi nekcun sampai tak sempat nak keluar ‘lunch’ kerana kena siapkan Business Plan 2009 yang perlu dikemukakan ke Unit berkaitan sebelum hujung minggu ini. Nekcun hanya sempat kirim pada staff beli buah dan sandwich untuk lapik perut.

“Hai nekcun… diet ke makan buah sahaja tengahari? Nak kurus macam mana lagi? Cukuplah tu… takut nanti abe pelok rasa tulang ajer!” usik kawan baik nekcun yang selalu datang nak bergebang ngan nekcun waktu lunch.

“Bukan diet tapi tengah practice untuk bulan puasa!” balas nekcun selamba.

“Oh iya lah… lupa pulak kita dah nak puasa lagi dua minggu! Eemmm… baju raya tak tempah lagi. Takut nanti tailor pun tak nak ambil dah!…” kawan nekcun terus merungut.

“Alaah… apa susah nak tempah-tempah baju… sekarang kan dah banyak baju dah siap, pilih sahajalah!” nekcun menyarankan.

“Badan macam aku ni nak beli baju dah siap? Takut satu komplek aku cari tak dapat saiz… lainlah macam engkau tu… pi tang mana pun, senang nak cari saiz!” ujarnya seolah rasa terkilan.

“Hei… bila dah puasa sebulan nanti, mesti engkau kurus. Jadi apa salahnya engkau beli baju yang kecil sikit. By the time hari raya, tentu engkau dah muat pakai…” saran nekcun.

“Banyaklah engkau punya kurus!… Bulan puasa lagi badan aku selalu naik kerana makan macam-macam, sebab bulan puasalah kita boleh dapat makanan yang selalunya tak ada tapi akan ada di jual semasa bulan puasa sahaja!… Itu belum lagi dengan kueh raya yang entah apa-apa jenisnya tuh…” kawan nekcun terus mengomel.

“Hai makcik-makcik… puasa pun belum dah sebuk cerita pasal kueh rayalah, baju rayalah… entah-entah puasa pun tak cukup, tapi persiapan raya mengalahkan orang berpuasa setahun! Orang sepatutnya fikir macam mana nak memanfa’atkan bulan puasa kali ini, bukan kira nak enjoy raya sahaja!” tiba-tiba kami dikejutkan oleh komen rakan sekerja yang kami gelar ‘jejaka tampan se Malaysia’ yang juga selalu suka datang ke meja nekcun kalau ada waktu terluang.

“Alaaahh… you dok komen kita orang, entah-entah isteri you pun cam tu jugak!” nekcun membidas.

Terfikir juga di hati nekcun akan kebenaran apa yang dikatakan oleh ‘jejaka tampan’ tu… memang selalunya begitulah kita orang perempuan… kita akan lebih sebuk berfikir macam mana nak menyambut hari raya dari bagaimana nak membaiki ibadah puasa itu sendiri. Walaupun Islam menyarankan agar kita bersederhana ketika menyambut hari raya, tetapi selalunya kita akan bertindak sebaliknya sehingga ada yang sanggup berhutang untuk menyambut hari raya.

Tetapi adakah salah kaum wanita sahaja? Nekcun rasa, peniaga-peniaga juga perlu dipersalahkan. Contohnya, walaupun bulan puasa belum pun tiba tapi telah banyak ‘mega sales’ yang menggunakan kemeriahan hari raya sebagai gimik promosi jualan seperti di Court Marmoth. Jadi mengapa mesti wanita sahaja yang dikaitkan dengan kegairahan menyambut hari raya?

Dalam keadaan ekonomi dan inflasi yang tidak menentu sekarang ini, perlukah kita berbelanja besar untuk menyambut hari raya? Entahlah… nekcun tak berani nak jawab kerana nekcun sendiri dah cadang pada atok untuk pergi shopping di “B” hujung minggu nih (nekun ambil cuti hari Isnin) dan atok telah pun setuju dengan cadangan nekcun itu…

Tuesday, August 12, 2008

Apa lagi yang boleh diwasiatkan kepada anak cucu kita?

Apabila YB Tan Sri Menteri Besar Selangor mencadangkan agar UiTM juga dibuka kepada Bukan Bumiputra, hati nekcun tiba-tiba jadi sedih. Geram pun ada juga. Walaupun telah agak lama nekcun meninggalkan UiTM dan telah pula ke lain-lain Universiti untuk menuntut ilmu, namun kasih nekcun pada UiTM tetap utuh. Maklumlah bak kata orang “cinta pertama memang susah nak dilupakan’.

Bagi kita orang Melayu, UiTM merupakan tunggak tempat anak cucu kita menangguk ilmu untuk berdaya saing dengan orang lain. Memang ada banyak menara gading di Malaysia ini, tetapi ianya tidak sama dengan UiTM. Tanya sahajalah kepada semua alumni UiTM, pastinya mereka merasa sedih, marah dan geram apabila satu-satunya lagi hak Melayu yang tinggal juga mahu dikongsi dengan “orang lain”. Tambahan pula orang lain itu bagaikan bagi betis nak kan peha. Sanggupkah kita membiarkan maruah kita tergadai dengan memberikan ‘peha’ kita yang sentiasa jadi idaman mereka.

Nekcun masih ingat semasa selepas SPM dulu, ada beberapa orang kawan-kawan nekcun yang lebih bernasib baik kerana mereka boleh masuk terus ke Universiti melalui “matrikulasi’ iaitu satu-satunya lorong yang memberi ruang kepada anak Melayu untuk memasukki menara gading tanpa bersaing dengan “orang lain”. Tetapi, sekarang lorong itu juga telah kita kongsikan dengan “orang lain” yang tak puas-puas mahu merebut hak kita. Tak tahulah sampai bila mereka mahu menyakiti hati dan perasaan kita!…

Kekadang, nekcun terasa nasib kita orang Melayu ini tak ubah seperti “bawang putih yang sentiasa di dengki oleh bawang merah”. Padahal bapa kita adalah orang yang berkuasa, tetapi oleh kerana telah tergoda dengan pujuk rayu dan tipu muslihat emak si bawang merah, sehingga bapa kita tidak menyedari kita (orang Melayu) anaknya sendiri terseksa dan hak kita yang diwasiatkan oleh ibu asal kita hampir semuanya tergadai.

Pernah juga nekcun terfikir, mungkinkah orang-orang kita yang berkuasa itu terlalu baik dan pemurah sehingga sanggup berkongsi apa sahaja hak kita dengan orang yang dianggap ‘sahabat’ itu. Memang betul Islam menggalakkan kita umatnya supaya tidak kedekut dan rajin bersedekah, tetapi tidaklah sehingga menggadaikan maruah diri dengan berkongsi apa sahaja yang kita ada. Kalau semua telah tergadai, apa lagi yang kita ada untuk diwasiatkan kepada anak cucu kita nanti? Sanggupkah anak cucu kita nanti menjadi ‘pengemis’ di tanah air sendiri hanya kerana sikap bapa-bapa kita yang terlalu pemurah tak kena tempat!…

Wahai sahabat-sahabat nekcun… cubalah fikir-fikirkan apa yang nekcun coretkan ini dan apakah usaha kita untuk membendung si bawang merah terus menyakiti kita si bawang putih?… Marilah kita perteguhkan perpaduan ummah antara kita demi mempertahankan maruah kita. Kalau bukan kita yang berusaha, siapa lagi yang akan menolong kita? Nekcun harap coretan rasa nekcun ini akan sekurang-kurangnya dapat menyuntik kesedaran dalam diri kita dari terus menjadi ‘si bawang putih’. Semoga Allah akan sentiasa merahmati usaha kita ini.

**p/s: Semua alumni UiTM adalah dijemput untuk menghadiri "Nostalgia UiTM" pada 15-17/8/2008 di Kampus Induk Shah Alam. Untuk keterangan lanjut boleh hubungi: 019-4301741. InsyaAllah nekcun akan ke sana pada malam 15/8/08. Harap dapat jumpa kekawan semua.... Wak Khairol, engkau datang ke tidak?


Sunday, August 10, 2008

APA ISTIMEWANYA TARIKH 08-08-08?

Pagi Juma’at 08-08-08 tu nekcun rasa jalan kat rumah nekcun yang selalunya sesak kerana semua orang berebut-rebut nak pergi kerja, agak lengang pulak. Terfikir dalam hati… ke mana semua orang ni? Dah cuti sekolah ke?

Sampai di pejabat pun lebih kurang macam tu juga. Dengar sana sini ramai yang cuti. Dalam hati nekcun terus tertanya-tanya kenapa ramai orang cuti hari tu. Apa special nya hari tu…

Lebih kurang pukul 12.00 tengah hari, telefon nekcun berdering-dering. Terdengar suara anak sulong nekcun bertanya samada nekcun dan atok boleh balik awal tak hari tu. Nekcun pun hairan juga, kenapa pulak kena balik awal kerana selama ni tak pernah pun anak-anak nekcun bertanya begitu.

Along “ Mama lupa ke hari ni birthday Ersya!”
Nekcun “Oh ya!… hari ni 8hb August 2008”
Along “So, we want to celebrate her birthday tonight… she’s 3 yrs old today!”

Segera nekcun telefon atok, beritahu yang dia pun kena balik awal kerana nak sambut harijadi cucu yang ketiga tahun pada 08-08-08. Terasa bersalah pula kerana terlalu sibuk dengan tugas pejabat yang begitu mendesak kebelakangan ini hingga hari jadi cucu yang seorang tu pun boleh terlupa. Nasib baiklah nekcun dan atok memang dah belikan hadiah untuk cucu kesayangan nekcun tu, jadi taklah terkilan sangat.

Apa yang nekcun nak coretkan kat sini bukanlah pasal harijadi cucu nekcun yang kebetulan juga jatuh pada 08-08-08 tu , tetapi adalah pengaruh nombor 08-08-08 tu kepada sesetengah golongan masyarakat kita. Ada kawan atok yang bekerja di Pejabat ugama memberitahu bahawa pada hari 08-08-08 tu kawan dia, seorang Tok Kadhi terpaksa ‘marathon’ menikahkan pasangan pengantin baru mula dari pukul 11.00 pagi sehinggalah 11.00 malam kerana semua pasangan mahu bernikah pada tarikh itu juga.

Itu belum lagi di gereja-gereja, kuil-kuil dan pejabat Pendaftaran Nikah kahwin… bersesak-sesak pasangan pengantin mahu melangsungkan perkahwinan mereka pada tarikh yang mereka anggap ‘keramat’ itu.

Sehingga ke hari ini nekcun masih berfikir-fikir kenapa ada golongan masyarakat yang begitu ‘taksub’ dengan nombor-nombor dan tarikh-tarikh tertentu? Mungkinkah ada rahsia di sebalik nombor-nombor itu? Entahlah… nekcun pun tak dapat nak beri jawapan tetapi nekcun dan atok pun kekadang terikut-ikut dengan ‘ketaksuban’ begitu bila semua kereta-kereta nekcun, atok dan anak-anak mempunyai nombor yang sama… hehehehe…bukan apa… supaya senang nak kenal… lagi pun nekcun pun ada juga darah keturunan bangsa yang suka nombor “8” tu…

Thursday, July 31, 2008

Berapa lama perlu menanti begini?...

Empat hari bertugas di luar kawasan memang amat memenatkan. Tambahan minggu lepas saya juga banyak ‘assignments & presentations’ sepanjang minggu di pejabat. Ingatkan, bila dapat keluar dari pejabat, bolehlah ‘ringankan’ sikit kepala atau sekurang-kurangnya menurunkan ‘stress level’ yang dah melompat-lompat minggu lepas. Rupanya, harapan saya meleset.

Hari Isnin tu, selepas subuh sahaja saya dah tergesa-gesa ke KLIA kerana kena kejar kapal terbang yang dijadualkan pukul 8.40 pagi. Sampai di KLIA ‘just in time’. Duduk menunggu untuk boarding sempat membelek-belek slides ceramah yang akan dibentangkan nanti. Tiba-tiba saya terasa lama sangat pulak menunggu dan tiada tanda-tanda panggilan untuk masuk ke kapal terbang. Saya lihat jam di tangan sudah pukul 8.35 pagi. Beberapa penumpang lain yang berhampiran saya duduk juga mula melihat jam tangan masing-masing. Dah!… don’t tell me flight delay… ceramah dijadualkan pukul 11.00 pagi… matilah aku… dengus saya dalam hati. Tiba-tiba kedengaran pengumuman yang menyatakan ‘flight delay due to technical error on one of the door’ dan perjalanan baru dijangkakan dalam tempoh sejam lagi iaitu pada jam 10.00 pagi. Bukan itu sahaja, kami juga kena bertukar pintu masuk dari ‘Gate A5 ke Gate A4’.

Huh!… macam mana ni?… Flight 10.00 am sampai sana 11.00am. Dari airport ke tempat ceramah lebih kurang setengah jam! Mana sempat? Saya dah menggelabah. Saya lihat penumpang lain juga ramai yang menggelabah. Mulalah masing-masing mula membuat panggilan kepada pihak-pihak di sana. Masing-masing mengeluh, minta semua yang dirancang di tunda masanya. Saya juga tidak ketinggalan, segera menelefon pihak penganjur untuk menunda masa. Nasib baiklah, mereka ada aktiviti lain yang sedang berjalan maka bolehlah mereka menunda ceramah saya pada pukul 2.30 petang. Fuuuhh… lega bila pihak penganjur faham dan bersetuju. Kalau tidak, tak tentu pasal ‘credibility’ saya tercalar.

“Really aahhh… alamak, if like that, we’ll miss the chance loo…” saya terdengar seorang lelaki Cina separuh umur yang duduk di sebelah saya bercakap di telefonnya. Nampak jelas riak kecewa pada wajahnya. “I think, I’m going to sue MAS for the delay if we cannot get through that tender!” kedengaran lelaki Cina itu merungut lagi.

“Haiya… ini macam susah oooo…” katanya sambil cuba melemparkan senyuman kelat kepada saya bila kebetulan kami berpandangan. Saya hanya membalas dengan senyuman hambar kerana saya juga kecewa dengan kelewatan itu. Saya terpaksa mengatur semula semua aktiviti saya sepanjang hari itu dan hari-hari seterusnya di sana kerana kelewatan yang bukan sebab saya.

Aktiviti yang dirancangkan pukul 2.30 ptg terpaksa di tunda ke pukul 5.00 ptg kerana anjakkan aktiviti yang sepatutnya di adakan pada pukul 11.00 pagi. Saya sudah bayangkan macam mana saya terpaksa terkejar ke sana terkejar ke sini kerana satu aktiviti dan aktivit yang lain adalah di tempat yang berbeza dan agak jauh jaraknya. Dan sebagaimana yang saya sudah jangkakan, hingga pukul lapan malam saya masih belum dapat berehat pada hari itu. Akhirnya saya solat jamak taqhir sahaja untuk magrib dan isyak. Nasib baiklah pada lebih kurang pukul 6.20 ptg itu ada seorang sahabat yang memang saya selalu rindu nak jumpa tiba-tiba menelefon (Tak kiralah samada dia sengaja atau tak sengaja menelefon saya!… ada hal baru nak telefon kiter yer?). Terhibur sikit hati yang tengah ‘tension’ bila mendengar suara dia yang ‘humurous & romantic’ tuh!… hehehe…

Kekadang, kita secara tidak sedar terlalu bergantung kepada sesuatu yang kita rasakan terbaik selama ini sehingga tidak menyedari bahawa ada ‘alternative’ lain yang mungkin lebih baik. Dalam kes yang saya ceritakan, ramai penumpang yang bersama saya merasakan perkhidmatan MAS boleh dianggap sebagai yang terbaik (More reliable compared to Air Asia in terms of time schedules! Betul ke?) dengan itu kami semua memilih untuk menggunakan MAS untuk urusan rasmi/perniagaan yang mana masa merupakan faktor penting. Ramai di kalangan penumpang pagi itu membuat penerbangan pagi dengan harapan akan sampai ke destinasi pada masa yang dijangkakan untuk urusan rasmi atau perniagaan yang dirancangkan tanpa perlu mengeluarkan lebih belanja untuk hotel sekiranya datang lebih awal pada hari sebelumnya. Namun apa yang terjadi amatlah mendukacitakan, malah ada yang terpaksa menanggung lebih kerugian bila masa yang sepatutnya dia berada tidak dapat dihadiri dan menyebabkan mereka kehilangan peluang perniagaan.

Terfikir juga di hati saya, sampai bilakah perkara sebegini akan dapat diperbaikki sepenuhnya? Isu kelewatan penerbangan ini saya rasa sudah terlalu kerap diperkatakan dan macam-macam janji oleh pihak-pihak yang berkenaan telah disuapkan kepada kita, tetapi nampaknya hanya ‘indah khabar dari rupa’ dan ‘cakap tak serupa bikin’.

Eemm… entahlah, mungkin saya sahaja yang selalu terkena ‘flight delay’ nih atau pun, ada tak kekawan lain yang pernah merasa? Very frustrating kan? Lebih-lebih lagi bila macam-macam perancangan yang telah di atur di tempat yang di tuju dan kita pula terpaksa membazirkan masa tak tentu hala di airport menunggu jadual penerbangan baru!… alangkah senangnya kalau ada jet sendiri macam… tuuuuuuttttt…

Sunday, July 20, 2008

Ingatlah 5 perkara....

Setelah beberapa hari tak boleh nak membuka mata, nekcun terasa terlalu lemah dan tidak bermaya. Penyakit migraine yang sudah lama tidak menyerang nekcun tiba-tiba datang kembali menduga kesabaran nekcun hanya beberapa hari setelah nekcun balik dari tanah suci Mekah Mukarramah.

Ketika berbicara dengan doctor pada hari Khamis lalu, dia kata migraine yang menyerang nekcun ni ada dua sebab. Satu mungkin panas yang ada dalam tubuh nekcun ketika di Mekah tempoh hari baru nak keluar (walaupun sudah hampir 2 minggu) dan yang satu lagi mungkin badan nekcun yang belum pun sempat berehat telah dikejutkan dengan kerja yang bertimbun-timbun di pejabat yang menyebabkan level stress nekcun melompat tinggi. Almaklumlah…. Bila hampir 2 minggu tiada di pejabat, timbunan kerja memang tidak dapat dielakkan lagi.

Tambahan nekcun tidak berehat langsung. Nekcun sampai pada hari Isnin dan hari Selasa terus nekcun pergi ke pejabat tanpa sempat berehat untuk memberi ruang kepada jet-lack. Tapi… nak buat macam mana… kerja di pejabat perlu juga dibereskan kerana ‘date-line’ kena juga di patuhi. Kesihan juga melihat pembantu-pembantu nekcun yang bertungkus lumus semasa nekcun bercuti tempoh hari.

Hari Rabu (16/7/08) nekcun dah terasa kepala nekcun berpusing-pusing macam nak pecah, tetapi nekcun tahankan sahaja kerana nekcun kena memberi ‘presentation’ pada hari Khamis. Alhamdulillah, sempat juga nekcun menyelesaikan ‘presentation’ nekcun pada pagi Khamis tu… dan sebaik sahaja selesai kira-kira jam 12.30 tengahari, kepala nekcun dah tak boleh bertahan lagi. Nasib baik nekcun sempat ke klinik yang berada di bawah bangunan pejabat nekcun. Terus doktor beri ubat untuk turunkan panas badan nekcun dan ubat menahan sakit kepala yang berdenyut-denyut tu. Terpaksalah nekcun balik naik teksi dan tinggalkan kereta di pejabat kerana dah tak larat nak memandu sendiri.

Hampir empat hari nekcun terlantar tidak boleh bangun dan membuka mata pada cahaya yang terang. Memang macam tulah kalau penyakit migraine menyerang. Nekcun tidak boleh buka mata, nekcun terasa dunia berpusing-pusing. Ubat yang diberi oleh doktor juga akan sentiasa membuatkan nekcun tertidur. Doktor kata ianya untuk memastikan nekcun mendapat rehat yang secukupnya… entahlah! Walaubagaimana pun Alhamdulillah… pagi ini nekcun rasa kepala nekcun sudah lega. Nekcun sudah boleh bangun dengan selesa dan badan pun rasa dah segar setelah nekcun mandi pagi-pagi tadi…

Sudah beberapa hari juga nekcun tidak mengadap screen computer ni… terasa amat rugi kerana tidak sebaris ayat pun yang dapat nekcun coretkan sejak beberapa hari ni… Dan dalam ketenangan petang Ahad ini… nekcun cuba berkongsi perasaan nekcun yang amat merindui kekawan semua setelah terlantar di katil beberapa hari melawan migraine yang mencemburui nekcun lagi setelah agak lama dia menghilang…. Bagaimana pun ia amat menginsafkan nekcun supaya lebih menjaga kesihatan. Teringat lagu nasyid Raihan yang menyebut 5 perkara dalam hidup iaitu:
Muda sebelum tua,
Kaya sebelum miskin,
Senang sebelum susah,
Sehat sebelum sakit… dan…
Hidup sebelum mati…

Kepada kekawan semua, terima kasih di atas ingatan semua semasa nekcun tidak dapat berkomunikasi dengan anda semua. Nekcun selalu ingat pada semua kekawan nekcun ketika sehat dan ketika sakit... Diharap kekawan nekcun pun begitu juga!

Wednesday, July 9, 2008

Mencari Keredhaan Allah SWT.







Alhamdulillah, nekcun & family telah selamat balik ke rumah setelah hampir dua minggu berada di Madinah dan Mekah kerana mengerjakan ibadah Umrah. Walaupun telah beberapa kali nekcun dan suami ke sana kerana mengerjakan ibadah haji dan umrah, tetapi hati ini tidak pernah jemu untuk ke sana lagi pada bila-bila masa.

Pemergian nekcun kali ini amat mencabar ketahanan dan keupayaan nekcun kerana keadaan cuaca yang amat panas ketika itu. Semasa nekcun berada di Madinah, pernah cuaca panas mencecah 49 C dan di Mekah pula 43 C. Bayangkanlah kalau di KL ni 34 C pun kita rasa dah panas sangat, bagaimana pula kalau 49 C? Tapi, Alhamdulillah, nekcun percaya apa yang kita hadapi di sana adalah semua berbalik kepada amalan dan rezeki kita!… jadi nekcun rasa panasnya di sana lebih kurang sahaja dengan panas di KL nih!…

Kali terakhir nekcun dan suami berada di Madinah dan Mekah adalah pada February 2006. Baru dua tahun nekcun tidak ke sana, tapi banyaknya perubahan yang berlaku pada infrastruktur kawasan di sekeliling Masjidilharam memang amat terserlah. Banyak hotel-hotel yang berhampiran telah dirobohkan dan sekarang pihak Arab Saudi sedang dalam proses membina lebih banyak hotel-hotel yang lebih canggih, mungkin untuk mempastikan keselesaan tetamu-tetamu Allah ketika berada di sana nanti. Begitu juga sekitar Baitullah, lebih banyak ruang-ruang yang sedang dilebarkan dan dicantikkan. Mungkin untuk memberi lebih ruang kepada tetamu-tetamu Allah untuk beribadah dengan lebih selesa.

Walaupun dalam keadaan cuaca panas yang agak menyengat, tetapi kehadiran tetamu Allah ke MasjidilHaram dan Masjid Nabawi tetap bertambah ramai. Dulu-dulu semasa nekcun ke sana kalau bukan musim Haji, keadaannya tidaklah seramai sekarang. Pernah nekcun boleh masuk ke Raudhah dan dapat melihat makam Rasullullah, bersolat sunat dan berdo’a dengan tanpa berebut-rebut. Tetapi sekarang tidak lagi semudah itu. Manusia bersesak-sesak, berebut-berebut untuk memasukki Raudhah sehinggakan untuk membaca do’a pun kita agak terganggu bila orang ramai sentiasa menolak-nolak kita, apatah lagi untuk bersolat sunat dengan khusyuk. Memang amat mencabar.

Begitu juga keadaan di Baitullah. Untuk bertawaf pun kita terpaksa bersesak-sesak, lebih kurang sama semasa musim Haji. Ketika bersolat di hadapan Multazam juga amat mencabar bila orang ramai lalu lalang di hadapan kita ketika rukuk atau sujud. Terasa benar semua orang berebut-rebut mahu mendapat keredhaan dari Allah, bagaikan hari kiamat sudah hampir benar!

Walau macam mana banyak dugaan yang dihadapi ketika mengerjakan Ibadah Haji atau Umrah, ditambah dengan keadaan cuaca dan persekitaran yang agak mencabar ketahanan tubuh seseorang, tetapi setiap orang yang pernah ke sana tidak akan pernah serik dan tetap akan sentiasa rindu untuk menjadi tetamu Allah. Begitu juga nekcun… walaupun telah banyak kali ke sana tetapi tidak pernah serik atau jemu. Kalau boleh, tidak mahu lagi balik ke M’sia dan mahu terus mengabdikan diri untuk mendapatkan keredhaan Allah. Hati nekcun terasa begitu tenang ketika menghadap Baitullah sehinggakan amat berat untuk meninggalkannya. Nekcun amat bersyukur kerana Allah sudi menerima nekcun dan keluarga untuk menjadi tetamunya dan sentiasa berdo’a agar kami akan diterima lagi di tahun-tahun hadapan. InsyaAllah.